antologi.dunia: Rintik-rintik Hanya Singgah - Bab 47

Sabtu, 24 Mac 2012

Rintik-rintik Hanya Singgah - Bab 47




Gerimis Nan Datang Ini Petang Bukan Berlenggang, Teh Panas dan Cucur Goreng Ada Dijinjit Ada Dibentang, Gerimis Petang Ialah Kisah untuk Dikenang – Sebuah Masa Nanti, Bila Tiba Nanti, Sebuah Janji
Takkan diduga kita sebuah peristiwa, takkan tahunya oleh kita...


Hujan turun - rintik-rintik - tadah dengan tangan. Kredit.


Gerimis turun, gerimislah turun... Turun dengan perlahan, dengan perlahan-lahan ia turun... Pejam mata, pejamlah mata... Biar ia lalu, menimpa muka, membasah dunia, mengalir ke tangan...

Biarlah ia, biarlah... Tiada duka kerana gerimis.
Tidak luka pada kita.

***

Gerimis berkertap-kertap bila bertemu dengan atap. Perlahan bunyinya tenang rasanya – seperti ibu yang mendodoikan anak di dalam buai, tenang si anak kerana hadir dan dendang ibu. Dari atas gerimis yang halus dan kecil bergabung-gabung. Menjadi satu-satu dan akhirnya dari hujung atap – ia meluncur jatuh menimpa batu dan tanah, menimpa bumi, bertakung di selipar hitam dan sandal berwarna hijau, membasahi daun, dan kuntum-kuntum bunga warna-warni di pinggir serambi.

Begitulah resmi si gerimis turun.

Dia memerhati gerimis turun. Seraya bersandar pada kerusi rotan. Diam dan diam dia, memerhati sekali asap yang berkepul-kepul naik – daripada cawan teh panasnya yang berjernih merah. Hilang di serambi – asap itu – dalam gerimis yang turun sedari lama tadi.

“Apa yang kamu sedang lamunkan itu, teman?”

Dia menggelintar mata ke punca suara. Tercegat seseorang yang dia amat kenal. Memandang dari tepi pintu – sambil menyilang tangan – sambil menyandar di tiang pintu. “Tiada apa-apa... Cuma terkenangkan peristiwa lama...” Dia memberi senyum mesra. Dua-dua lesung pipit di pipi kelihatan. Kelopak mata menutup sebahagian mata, bagai orang memikir jauh – seperti layu keadaannya, tapi bukan layu seperti daun yang layu.

Bening ia seperti air sungai mengalir jernih dari mata puncanya. Dari dalam bercahaya ia seperti matahari di langit tinggi.

“Lamakah kenangan sampai jauh sebegitu menungnya?” Tanya lagi insan yang berdiri. Dalam gerimis ia bertambah erti.

“Kamu mahu mengusikkah?” Lesung pipit di pipi semakin jelas lesungnya. Gigi dia di kerusi rotan itu tampak baris dan susunnya dari sandar pintu.

“Kalau bukan usik apa lagi?”   

Dia diam. Dia mencicip sedikit teh panas sebelum diletakkan kembali di atas meja. Terhidang sekali sepiring cucur goreng yang masih tidak tersentuh. Dia mengalih matanya lagi. Kali ini dibiar tenggelam dalam gerimis yang turun.

“Kalau kenangan adalah bukan sembarangan, tidakkah berbaloi untuk mengenang si kenangan?” Dia pula yang beralih menjadi tanya.

“Tiada salah bagi sesiapa. Kenanglah jika ia baik untuk diri...” Insan yang berdiri turut sama mengeluk mesra.

Gerimis turun ibarat gurindam dalam geram, seperti seloka ketika duka. Gerimis turun berjujai-jujai – tidak ada henti. Insan yang memerhati masih lagi di tepi pintu. Teh panas merah dengan asap kepul-kepul dan cucur bilis goreng tetap berada di atas meja.

Masa gerimis masih turun lagi itu dia sudah berada di tepi serambi – menadah gerimis – seperti yang dia ada lakukan suatu ketika waktu dahulu. Lesung pipit bertambah-tambah dalam lekukannya, perlahan-lahan. Kerana itu dia mengenang jauh..

Kerana kita menjadi rindu... sebab itu kita mengenang...
Biarlah kita menanggung rindu.

Selalunya kisah yang bakal datang itu tidak jauh benarnya daripada kita. Kisah yang makan tahun itu hanya sekedip mata.

Dia tidak bena untuk merasa bena kerana kisah lama tidak akan dapat dibuang.



p/s: Ini antara bab 'hati' saya dan bab yang menjadi 'janji' saya.

11 ulasan:

Rafi Harumin berkata...

Menarik tuan, sangat menarik. Saya menanti naskhahnya.

Jamal Ali berkata...

@Ashrafi

InsyaAllah, saya tidak lupakan janji. :)

Jamal Ali berkata...

Ini adalah kesiratan yang saya letak pada bab 47.

Kalau dibaca kelak novel fizikalnya dan dijengahnya bab 47, kebanyakan pembaca pasti akan tertanya-tanya dan tidak faham. Kerana bab 47 tidak berlangsung pada masa berlangsung peristiwa novel. Ia bab yang 'standing alone'.

Jikalau pembaca hendak melihat kesamarataan yang menyambungkan dengan masa peristiwa, lihat pada ayat:
'Masa gerimis masih turun lagi itu dia sudah berada di tepi serambi – menadah gerimis – seperti yang dia ada lakukan suatu ketika waktu dahulu.'

Malah pada ayat:
'... seperti yang dia ada lakukan suatu ketika waktu dahulu.',

dan ayat:
'Selalunya kisah yang bakal datang itu tidak jauh benarnya daripada kita. Kisah yang makan tahun itu hanya sekedip mata',

pembaca boleh mengagak ada dua kesiratan di sini.

Ini juga kenapa bab 47 adalah 'hati' dan 'janji' saya.

Tanpa Nama berkata...

tidak sabar menantikan 'kelahirannya'.

~ila husna

Unknown berkata...

menadah gerimis


hujan menitis dari atap membahagi dua sempadan antara air dan tanah

*xsabar menanti keluaran pertama kamu ^^,

Jamal Ali berkata...

@Ila Husna

InsyaAllah, mohon doa untuk kejayaannya. :)

Jamal Ali berkata...

@Titisan Hujan

InsyaAllah. Moga hujan dan gerimis itu membawa berita gembira - buat hati dan jiwa.

umairah safiyyah berkata...

Assalamualaikum.

Subhanallah.

bahasa yang cukup indah.

teruskan menulis , sgt menarik ^_^

Jamal Ali berkata...

@umairah safiyyah

Segala puji dan puja kepada Allah, Tuhan sekalian alam. :)

Moga yang ditulis itu dapat memberi kepada pembacanya, insyaAllah.

tehr berkata...

hujan sedang turun sekarang ni
hanya ada bunyi hujan je...

Jamal Ali berkata...

@tehr

Hujan turun sedap bunyinya~ :)