antologi.dunia
Hidup kita bukan kisah yang biasa-biasa.
Rabu, 22 Mei 2013
Sebuah Rak
Buku-buku yang ada di rak kutubkhanah; disusun dengan fikiran harmoni - pada perasaan saya - dan diletak di satu sudut buku-buku rujukan untuk penulisan seterusnya; dilihat dari jauh - bagi seorang bibliofil sederhana - ianya cukup menguja dan menenangkan sebarang perasaan berbuncah.
Buku-buku itu tujuannya bukan setakat pelaburan masa depan, bahkan ia sebuah pintu kembara bagi saya yang tak punya kewangan dan kekuatan untuk berjalan jauh melihat orang merasa dunia. Pada sentiasa waktu - bukan sahaja dalam senggang dan kebosanan - acapkali buku-bukulah yang mengasak saya untuk duduk dan mengulit dengan tekun serta baik sesebuah peristiwa dan pemikiran untuk mereda dogmatik (pendapat yang mengata bahawa diri sendiri sahaja yang betul) dan menjauhkan stigma (sifat dan sesuatu yang menjatuhkan maruah; keaiban).
Benar-benar angkatan buku mampu memberi keajaiban. Suatu kesombongan mampu ditunduk jika keikhlasan dalam ber-buku disapu pada hati. Kendatipun, buku-bukulah yang membikin sekalian hati yang mencari ditemukan dengan penghujung yang sentiasa menanti dengan pelawaan yang cukup terbuka.
Saya - begitu juga orang-orang seperti saya - adalah segolongan insan yang memerhati langit dan berkata (seperti Anna Marie Guindlen, dalam How Reading My Life, 1998), "Dunia buku adalah cinta abadiku. Watak-watak rekaan itu sentiasa mennati kupulang dan membawa kukembali ke dalam kehidupan." [1]
[1] Shaharom, T. S, (2011). Biblioholisme: Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Penciptanya. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Selasa, 21 Mei 2013
Dialog
"Saya menjadikan sekian-sekian tanah dan bangunan ini sebagai wakaf."
"Untuk siapa tuan?"
"Untuk emak saya, ayah saya, embah saya serta suaminya, begitu juga dengan kedua ibu bapa kepada emak saya, paman saya, adik-beradik saya, ibu saudara saya, saudara-mara saya, dan sekalian sobat saya."
"Begitu banyak tuan?"
"Saya tak tahu sama ada saya akan ke sorga, tapi saya tak mahu saya menjadi punca orang-orang yang saya sayang dan kasih dituntun ke neraka."
"Tuan harus bersangka baik kepada Allah. Sesungguhnya Dia menurut persangkaan hamba-hamba-Nya."
"Sebegitulah tuan, saya harap dengan keredhaan Allah mereka yang akan jadi pemimpin saya ke sorga. Saya tahu, kerinduan dan bahagia tidak kekal di dunia. Dan sebab itu, saya berdoa sungguh-sungguh kepada Allah, syurga itu penyambung kami."
"Kasih sayang dan kemurahan Allah itu lebih besar daripada kemurkaan-Nya."
"Selaku hamba yang tak berupaya, saya tak lekang daripada rasa takut dan bimbang kerana dosa-dosa saya. Saya... hanya mampu memohon kepada Dia."
"Percayalah, Tuhan itu tidak pernah meminggir hamba-hamba-Nya yang meminta. Berdoalah tanpa putus asa, Dia tahu apa yang cukup baik untuk hamba-Nya."
"Ya, Allah tak pernah menyisih hamba yang berharap kepada-Nya."
Sabtu, 18 Mei 2013
Malam (Sial?)
Malam itu panas. Aku di atas kerusi tak keruan. Tumpuan tidak lagi pada komputer riba yang dihadap. Dalam hati aku menyumpah seribu rasa. Malam terasa sial. Bajuku kain tetra cotton. Jenis memerengkap haba. Malam-malam sebegini membuat aku hampir menggelupur.
Lantas, aku capai buku dan nota. Pensel dan pen mana yang tercapai oleh tangan. Segera aku turun dari bilik. Mahu lari daripada bahang yang entah aku seorang sahaja rasa (aku rasa teman sebilikku jenis kebal dengan panas sebab dia buat tak tahu sahaja sedangkan aku sedikit lagi mahu menjegil mata.
Aku turun ke common room. Meditasi sekejap (terasa mahu memuhasabah diri).
Cerita aku bukan tentang aku belajar atau buat apa malam itu. Terus ke matlamat cerita (plot cerita) - pada subuh malam itu.
Aku sudah dengar azan subuh. Aku tak bangun. Handset aku ambil, aku anjak jam penggera hingga pukul 6.30. Mahu tidur yang efektif kononnya - jadi aku cuba tidur-tidur ayam. Dan waktu itu, perlahan-lahan, aku dengar hujan turun daripada langit. Lebat sekali. Malah sekali juga dengan guruh kuat.
Hujan dan guruh buat aku terus bangun. Tak jadi untuk menganjak tidur.
Aku keluar bilik. Jengah anjung. Memang, hujan sungguh lebat pagi tu. Bermula selepas azan subuh.
Yang membuat aku terfikir waktu tu adalah, hati aku sangat celupar malam tadi - tak bersyukur langsung kepada Tuhan. Kerana panas sedikit aku menyumpah. Sedangkan ia bukan panas neraka. Akhirnya, Tuhan jawab sumpah-seranah aku bukan dengan menambah panas. Tapi Dia menurunkan hujan. Malah lebat.
Dan di situ aku terasa terpukul.
p/s: Ini sebuah post eksperimentasi.
Langgan:
Catatan (Atom)