antologi.dunia: Julai 2013

Rabu, 17 Julai 2013

Bak Kata (Mat Luthfi)



"Pencapaian akademik itu bukanlah penentu berjayanya hidup seseorang ataupun tak, kita ada banyak manusia-manusia pandai yang keluar daripada top universities dalam dunia ni tapi end up being someone manipulative, menindas dan tak pernah kisah dengan orang lain. ...cek rasa satu kejayaan sepatutnya diukur dengan sejauh mana seseorang itu mampu menyumbang kembali kepada masyarakat..."*
Mat Luthfi (Soalan Ramalan Pasca SPM)

*bukan quote secara terus


Jumaat, 12 Julai 2013

Malam-malam



#Ulang tulis
Kerna malam-malam sebegini - menjelang subuh dengan panggilan - setelah dibawa angin untuk menyelusuri peristiwa lepas, dan hujan turun tadi yang bagaikan kasihan, saya terasa cukup kerdil sekali. Di atas katil saya meladeni, akan bagaimana kisah lalu yang menjentik fikiran cukup membuat kita terasa kuat; saya makin terasa bahawa kita memang tak dapat lari daripada peristiwa dahulu.

Ya, bukankah kisah-kisah dahulu itu asalnya kita?


Selasa, 9 Julai 2013

Aset



Buku-buku itu aset saya. Kenangan dan memori (orang-orang yang dekat) adalah aset saya. Nasihat-nasihat adalah aset saya. Harapan sama ada diluah atau didiamkan, secara pandangan atau dibaca pada wajah-wajah, tersurat mahu tersirat, ianya menjadi impian dan janji; itulah jua aset saya. Barang kenderaan berkaki atau yang dikenderai dengan setia - adalah aset saya.

Aset-aset saya banyak. Dikurniakan Tuhan untuk kemudahan dan alat untuk mencapai sejahtera. Bahkan dengan aset-aset yang itu, untuk mencapai 'erti hidup pada memberi' saya tidak dihadangi dengan kesulitan.

Oleh itu, kenapa saya perlu berdolak-dalih? Hanya duduk diam tanpa berusaha. Beralasan seratus serba satu.

Sedang juga, ingatan dan kehadiran ar-Razzak yang lebih dekat daripada urat leher adalah aset (kekuatan) saya bahawa saya perlu bergerak ke depan bukan seorang diri - mementingkan diri semata.

Isnin, 8 Julai 2013

Kekuatan



Satu malam; malam yang lepas. Bawa motor. Merentas jarak sejauh ufuk. Seorang diri. Dalam ingatan sendiri; berfikirnya bagaimanapun bukan untuk masa depan sendiri semata.

Saya berfikir tentang orang lain - orang yang saya kenang. Berfikir , tentang kekuatan, inspirasi dan semangat, yang diberikan mereka kepada saya. Orang-orang yang saya dekat - selalu dalam hati (mereka tidak tahu, mereka jarang nampak pada wajah saya) - mereka itulah pembakar sumbu yang menerangi jalan gelita saya. Mereka, dalam senyap, dalam ketidaktahuan mereka sendiri, adalah penguat-penguat saya.

Kenapa saya berfikir lagi perkara yang sama dan selalu saya fikiri; lalu diluah di sini?

Seperti yang lain-lain, tujuannya sama - ianya pengingat yang perlu sering mengingat.

Kadang kala orang yang saya kenang itu akan berubah tingkah dan cara. Dia akan berasa lain. Dia akan berbuat lain. Dan sebab itu saya mungkin akan terasa; satu perkara lompong kerana perkara kebiasaan itu sudah tidak lagi singgah - jadi berbeza. Orang yang saya kenang menjadi lain, lalu saya pun akan terjadi lain.

Fikiran kenangan barangkali akan jadi fikiran wasangka. Mungkin akan jadi membengis - itulah diri yang saya tak mahu.

Biar kenangan asal dan indah itu menjadi terus teguh. Itu adalah pembina kekuatan. Tidak boleh dilupa. Jika lupa maka kita akan jadi orang berbeza. Kita jadi orang pelupa - pada asal, usul dan teman-teman. Kita akan jadi orang yang tak sama dengan dahulu - pengingat asal, usul dan teman-teman (yang itulah adalah sebenarnya kita ini).

Satu malam; malam yang lepas itu saya berfikir. Dalam rentas jauh dan seorang. Berfikir tentang memori asal, pertemuan pertama, saat semangat itu mula bercambah, susah yang membikin kekentalan hati, senang yang dikongsi dalam syukur. Berfikir bahawa hidup perlulah dikongsi.

Fikiran yang sebegitulah yang mengutus terus dan kembali - kekuatan, inspirasi dan semangat - daripada orang yang saya kenang.

Bila mahu berjaya, kita tak boleh jadi pelupa.