antologi.dunia: Oktober 2012

Rabu, 17 Oktober 2012

Puisi Sendiri


Puisi itu biarkan ia datang sendiri,
mengetuk memberi salam,
tak boleh dipaksa,
demi dan demi, satu atau segugus,
itu lebih bererti, bila berteman hati.


Duduk di malam dengan nikmat yang dicurah sekali beserta guyuran hujan membuat saya ingin berpuisi. Tapi sebenarnya saya tak mahir berpuisi. Jikalau berpuisi, puisi saya masih lagi tak cukup rencahnya. Walaupun demikian, saya punya sebuah buku puisi juga - nukilan dicoret semata-mata untuk diri - juga salah satu anak tangga yang ditekal untuk menjadi penulis puisi yang baik.

Untuk menjadi seorang penulis puisi yang baik ianya perlukan masa yang bukan singkat. Usahanya bertahun, ia tak datang sekelip mata pejam dan buka.  Saya ketahui, untuk menulis puisi yang baik-baik, ia perlukan pemerhatian lebih pada alam dan jua latihan yang berpanjangan; begitu juga harus membaca karya-karya terdahulu yang baik, oleh penulis yang baik-baik.

Setiap orang akan berbeza puisinya sebagaimana penulisnya adalah seorang manusia, yang dijadikan Tuhan tak sama dengan yang lain. Inilah yang indah - mencantikkan.

Jadi, di sini, saya turunkan pra-puisi di halaman awal-awal buku coretan saya. Sebuah puisi yang hanya biasa. Di sini ianya untuk menguatkan diri ini dan sesiapa - semula.


Puisi itu biarkan ia datang sendiri,
mengetuk memberi salam,
tak boleh dipaksa,
demi dan demi, satu atau segugus,
itu lebih bererti, bila berteman hati.


Selasa, 9 Oktober 2012

Warkah Yang Makin Jauh


Menunggu yang dahulu itu

Waktu itu – masa yang dahulu – saat malam makin larut, tapi hati saya masih tak berlarut. Saya masih di bawah pondok – duduk menunggu – di tepi tasik bening, yang tidak jauh dari pintu pagar masuk, yang tidak hilang berhening. Jalan raya di luar pagar masih sibuk malam itu. Menjelang musim perayaan, ramai yang pulang ke desa halaman. Tapi saya masih menunggu – tidak ke mana-mana – akan seorang teman.

Di bawah pondok saya menanti. Di tepi tasik berkocak sepi. Bersebelah dendang keridik dan riang-riang malam. Bersama kelip-kelip yang terbang menerang. Nun jauh sayup-sayup masjid universiti putih benderang. Tak alah lampu neon perang di padang lapang.

Sayup sayu.

Pada malam yang tidak hilang berhening itulah saya menanti teman yang seorang, yang akan pulang terlebih dahulu.

Sahabat pulang jauh dari sini. Dan sahabat nan seorang itu jua pulang membawa hati saya sekali.
Pulangnya saya tak tahu. Apakah  lama atau singkat? Kerana masa depan di tangan Tuhan. Segalanya berlaku kerana jalan yang telah ditentukan.

Pulangnya sahabat saya tidak ketahui. Apakah ia pulang yang yang sementara? Atau pulang yang selamanya? Pulangnya adalah yang terakhir? Menuju ke tempat asalnya datang lahir. Yang kerananya kita tak akan dapat saling melihat lagi, tak akan berjumpa lagi – kerana Tuhan lebih mengasihi – memisah kita, membawa jauh dari sini.

Pulang yang sungguh tak kembali.

Sebegitulah, sebab itu saya menunggu. Untuk melihat sahabat yang pulang dahulu – yang membawa hati saya sekali. Apakah tungguan saya ini adalah tungguan yang terakhir? Perpisahan yang tak akan melanjutkan penantian.

Jika ia adalah yang terakhir saya tidak akan jadi menyesal di hari sudah.

Bertemu yang tak bertentang

Di bawah pondok itu saya menanti. Melihat jalan yang masih tak lengang dan bersunyi. Tak endah pada nyamuk dan serangga yang membatasi. Saya tetap ada – menanti.

Saya menunggu bas yang berselisih. Kerana di dalamnya saya tahu – dengan itulah teman yang seorang akan pulang ke jauh tuju.

Namun saya tak tahu, mana satu bas yang menjadi diam oleh sahabat yang pulang? Demikian saya lalu tidak meminggir kerana tidak tahu – saya tetap menunggu. Setiap bas yang berselisih satu-satu. Yang berhenti di perhentian pengawal, yang perlahan dek bonggol di jalan. Satu-satu saya perhati bas yang pergi. Rupa dan bentuk, warna dan lambang – yang sekinadipercik lampu jalan. Saya menjangka dan menilik, adakah bas itu adalah basnya?

Yang dinaiki oleh teman setia?

Walau saya masih tahu, saya tetap menunggu. Setiap sekian bas yang lalu, sehingga tiada lagi bas yang akan lalu – pergi jauh menuju tuju – pada malam itu.

Walau kita tak bertemu bertentang jasad dalam perpisahan ini, tapi dengan tunggu ini saya tahu saya tak akan lepas untuk pemergian sahabat yang melewati. Walaupun hanya sekadar memerhati – tiada nampak jasad dan sahabat yang tidak mengetahui – saya tak terlepas untuk bersama-sama, melambai pergi.

Ya, sahabat yang seorang itu tak mengetahui saya menunggu, di pondok di hujung tasik yang satu itu. Dan sahabat jua tak mengetahui dia membawa sekali hati ini ke pulang jauh – yang mereda akan pemergiannya.

Pulang bukan hanya pulang
 
Tapi saya tahu dan jelas, akan perkara yang sungguh satu ini.

Iaitu setiap pertemuan ada perpisahan.

Seperti daun di hujung ranting. Ia tidak selamanya melambai bersama angin. Daun nan pucuk daripada kecil menjadi besar. Hijaunya muda menjadi hijau berusia. Sampai satu ketika daun nan pucuk jadi tua, dan berputuslah ia pada ranting dan pokok. Tiba masa untuk angin pula mengucap tinggal padanya. Jatuh ke tanah menjadi kering dan mati. Bersisa hancur dimamah bumi.

Seperti jua rumah tempat kelahiran. Hari ini kita lahir di situ, esoknya kita akan tiada lagi di rumah itu. Kita akan jadi pergi dari situ atau rumah itu yang menjadi tinggal sementara. Rumah kelahiran menjadi kenangan.

Dan jua lagi, pertemuan itu memadankan dan mengisi, dan bila tiba perpisahan, ia makin merekatkan, menambahkan - tidak mengurangi.

Seperti sebuah kisah yang ditulis. Pada awal ia kosong bahkan tiada berbaris. Tapi lama-lama, kerana penulis yang tekal hati yang memulai – kisah jadi siap ditulis. Kisah yang ditulis tidak selamanya berada di tangan penulis. Bila tempohnya tiba, ia harus direla pergi. Kerana ia telah siap, bak anak yang kecil menjadi besar, ia tidak selama dalam genggam tangan emak dan ayah. Ia harus pergi untuk menjadi dewasa. Menjadi sesuatu yang baik yang dicari oleh pencari yang kehausan budi.

Kisah yang dilepaskan tidak mengurangi penulis yang merelakan. Bahkan ia memulangkan kembali kisah yang baik bertambah-tambahan.

Perpisahan membuat kita lebih dekat. Kerana teman yang tiada di depan mata membuat kita lebih mengingat berbanding sewaktu teman ada. Jarak menjadi suatu abstrak. Menjadi khayalan yang tak terasa. Kita mengingat waktu bersama. Sekian peristiwa sejuta warna – yang tak boleh diganti dengan emas permata.

Sungguh, pulang sahabat di malam nan dahulu itu bukan sekadar pulang. Ia pulang yang menguji. Apakah malam-malam mendatang kita akan duduk di tempat yang sama? Melemparkan pandang dan harapan – pada sahabat?

Dan jua pada Tuhan?

Ini warkah yang makin dekat

Suatu yang pergi tidak akan menghilang selagi kita membenanya. Suatu yang mula untuk jauh tidak akan menjadi semakin jauh sekiranya kita tidak meletakkan jauh – perasaan kita.

Sekeping gambar akan terus hidup seribu tahun jika ia dikongsi tidak disimpan seorang diri. Ia akan terus dirasa dan terasa pada sesiapa yang memandangi.

Seperti warkah ini, ia tidak menjauhkan kita, memadamkan kewujudan kita. Kerana warkah ini adalah warkah yang semakin mendekat pada hati – hati ini yang walau ia dibawa sahabat pergi. Kerana warkah ini adalah ingatan, kenangan yang dikongsi.

Sungguh, semuanya berkaitan dengan kita – pilihan kita. Warkah semakin dekat kerana apa yang menjadi pilihan hati.

Dan kerana ingatan kitalah warkah ini bukan jadi warkah yang nian menjauh pergi.

Sungguh, ini warkah yang makin dekat - duhai sahabat. Kerana, ingatlah, selepas setiap perpisahan pastinya ada pertemuan pula menyusul kemudian.


Sabtu, 6 Oktober 2012

Tunggu-menunggu



Sewaktu membacanya mula-mula, ianya seperti memberi semangat kepada saya. Bila sudah lama membaca, dan hampir kepada penghabisan - saya mula merasa lain. Saya terhenti lama kerana perasaan terumbang-ambing. Cukup lama. Namun, saya paksakan diri saya untuk menghabisi walaupun tersekat-sekat - terhenti membaca - cukup kerap.

Hingga ke hujung kisah, Faisal Tehrani dengan larikan tangannya dalam TTD membuat saya cukup cemburu.

Terasa nak lari jauh. Bersembunyi dan diam daripada manusia-manusia.

[Pembacaan][Tamat]