antologi.dunia: Mei 2013

Jumaat, 31 Mei 2013

Kembali - Pada Tuhan



Sahabat-sahabat, bila kita ditimpa suatu musibah yang menyulitkan - kecil atau besar - katakanlah, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan hanya kepadaNya kami akan kembali)." Dan kemudian berdoalah kepada, "Ya Allah, berilah ganjaran atas musibah yang menimpaku dan gantilah musibah itu dengan suatu yang lebih baik."

Sungguh, Tuhan yang Maha Mendengar tak akan meminggirmu.


Pantun Rintik-Rintik


Pantun di dalam Rintik-Rintik Hanya Singgah adalah kehidupan yang mendidik. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengumpulkan pantun-pantun yang terkandung sekali dengan penerangan ringkas dalam satu medium sebagai penghayatan.

Sudut lain Rintik-Rintik Hanya Singgah. Kredit RakBuku

Bulan malam datang bersimpuh,
Simpuh datang menuju tuan,
Bukankah kelam jiwanya ripuh,
Asal dibuang hati ber-Tuhan.[1]
Rifqi Sabran dalam duka, dan pemuda berambut putih mengingatkan dia - bahawa Allah itu ada. Dan hujung pertemuan sesudah seminggu, bukankah kau sudah sedia?

Kisah kita di dunia,
Bagai pohon tepi jalan,
Tumbangnya tak diduga,
Hatta cerah atau hujan.[2]
Duhai Rifqi, hidup kita ini seperti berjalan untuk kembara satu dunia, meski perjalanan jauh, tapi dari tempat kita bermula, kita akan bertemunya kembali. Teringat kisah lalu di tempat itu, jangan lupa.

Gemulah Wah ada berpesan,
Jiwa emak datang mengingatkan,
Kisah abah kita lurutkan,
Kerana Tuhan jadilah sematan.[3]
Duduk di serambi, seraya kaki melunjur melepasi lantai simen serambi, keluar menyentuh pucuk bunga yang  mengusap manja bersama angin. Rifqi Sabran... apakah kau masih mengingat kisah Wah, emak dan abah? Tentang hidup ini tak akan wujud kerana Tuhan?

Usah berkeluh jangan berkesah,
Cerita dunia sebuah fana,
Bukannya ini sebarang kisah,
Jiwa ada kalbu pun beserta.[4]
Orang tua buta, tapi hatinya terang - melihat terang. Duduklah, dia orang lama. Sudah jenuh makan asam dan garam. Sudah lama melihat dan merasa alam. Anak muda - wahai Rifqi Sabran -  bak kata hujung, "Berkekalanlah ia, untuk seribu tahun lamanya... hingga ke hujung dunia..."

Malam datang dengan hujan,
Bawa keridik sekali menyanyi,
Pada dua kisahnya tangan,
Ada hidup untuk memberi.[5]
Ini ingatan untuk masa depan. Apa janjimu Rifqi? Hidup ini tak hanya tentang kita, bahkan hidup kita ini adalah jua kisah-kisah orang yang kita sayang - yang punya jiwa dalam tubuh badan kita.


Di atas adalah lima rangkap pantun yang terkandung dalam novel Rintik-Rintik Hanya Singgah.

[1] Bab 5, halaman 27 | Diulang di Bab 60, halaman 356
[2] Bab 17, halaman 94
[3] Bab 33, halaman 199
[4] Bab 41, halaman 240
[5] Bab 57, halaman 338

*Menelusuri Rifqi Sabran (Rintik-Rintik Hanya Singgah) dalam berkelana mencari pengertian adalah sebagai anak yang perlu ingat jati dan asal-usul, serta kehadiran Azza wa Jalla, yang membikin hati. Kisah Rifqi Sabran - dalam fitrah kegagalan - adalah sama seperti kita semua.

Selasa, 28 Mei 2013

Fragmen-Fragmen Idea



"Kebanyakan fragmen-fragmen ini terpisah daripada satu idea dengan idea yang lain (yakni sama ada idea utama mahupun sub-idea, antara idea dengan idea, atau sub-dea dengan sub-idea) yang bercambah. Untuk mengumpulkannya, kita perlu bina satu medium kolektif sebagai penyudah dan penyenang di masa depan serta untuk mengelak pembaziran [1]."*


*Satu buah fikiran Jamal Ali

[1] Ibnu Abbas melaporkan, Nabi Muhammad SAW berkata, "Dua nikmat antara nikmat-nikmat Allah yang sering dilupakan oleh manusia ada nikmat kesihatan dan masa lapang." Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

 

Khamis, 23 Mei 2013

Kita Ini Orang Jauh



Kita ini orang jauh, dan orang jauh perlu sentiasa mengenang.

Hari-hari kita perlu mengenang. Kalau tiada hari yang kita tak mengenang, tak lengkap kita jadi orang jauh. Malah kerana kita tak mengenang, takutnya kita bukan lagi jadi orang jauh.


Hilang Ingatan (Melupa)



Berhadapan dengan orang yang hilang ingatan (melupa) adalah sesuatu yang mendukacitakan. Pertama, kenangan kita tak akan sama lagi disuka-digembira-dirai bersama-sama. Kedua, kita akan jadi asing dalam dunia yang kita pernah kenal. Ketiga, kehilangan adalah suatu yang cukup menyakitkan.

Namun, berhadapan dengan Mathin Arnold membuat kita tertempelak. Kata-katanya, "Kami lupa kerana kami wajib melupakannya dan kami tidak ingin mengingatinya." [1]

Dalam mata sayu, kita dihinggap suatu yang menyata: orang-orang yang hilang ingatan (melupa) kadang-kadang selalu tak berhati perut. Kerana kita masih dimatasayukan; bukan begitu?


[1] Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2013). Hebatnya Kuasa Hafazan. PTS Islamika

Rabu, 22 Mei 2013

Sebuah Rak



Buku-buku yang ada di rak kutubkhanah; disusun dengan fikiran harmoni - pada perasaan saya - dan diletak di satu sudut buku-buku rujukan untuk penulisan seterusnya; dilihat dari jauh - bagi seorang bibliofil sederhana - ianya cukup menguja dan menenangkan sebarang perasaan berbuncah.

Buku-buku itu tujuannya bukan setakat pelaburan masa depan, bahkan ia sebuah pintu kembara bagi saya yang tak punya kewangan dan kekuatan untuk berjalan jauh melihat orang merasa dunia. Pada sentiasa waktu - bukan sahaja dalam senggang dan kebosanan - acapkali buku-bukulah yang mengasak saya untuk duduk dan mengulit dengan tekun serta baik sesebuah peristiwa dan pemikiran untuk mereda dogmatik (pendapat yang mengata bahawa diri sendiri sahaja yang betul) dan menjauhkan stigma (sifat dan sesuatu yang menjatuhkan maruah; keaiban).

Benar-benar angkatan buku mampu memberi keajaiban. Suatu kesombongan mampu ditunduk jika keikhlasan dalam ber-buku disapu pada hati. Kendatipun, buku-bukulah yang membikin sekalian hati yang mencari ditemukan dengan penghujung yang sentiasa menanti dengan pelawaan yang cukup terbuka.

Saya - begitu juga orang-orang seperti saya - adalah segolongan insan yang memerhati langit dan berkata (seperti Anna Marie Guindlen, dalam How Reading My Life, 1998), "Dunia buku adalah cinta abadiku. Watak-watak rekaan itu sentiasa mennati kupulang dan membawa kukembali ke dalam kehidupan." [1]


[1] Shaharom, T. S, (2011). Biblioholisme: Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Penciptanya. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.



Selasa, 21 Mei 2013

Dialog



"Saya menjadikan sekian-sekian tanah dan bangunan ini sebagai wakaf."

"Untuk siapa tuan?"

"Untuk emak saya, ayah saya, embah saya serta suaminya, begitu juga dengan kedua ibu bapa kepada emak saya, paman saya, adik-beradik saya, ibu saudara saya, saudara-mara saya, dan sekalian sobat saya."

"Begitu banyak tuan?"

"Saya tak tahu sama ada saya akan ke sorga, tapi saya tak mahu saya menjadi punca orang-orang yang saya sayang dan kasih dituntun ke neraka."

"Tuan harus bersangka baik kepada Allah. Sesungguhnya Dia menurut persangkaan hamba-hamba-Nya."

"Sebegitulah tuan, saya harap dengan keredhaan Allah mereka yang akan jadi pemimpin saya ke sorga. Saya tahu, kerinduan dan bahagia tidak kekal di dunia. Dan sebab itu, saya berdoa sungguh-sungguh kepada Allah, syurga itu penyambung kami."

"Kasih sayang dan kemurahan Allah itu lebih besar daripada kemurkaan-Nya."

"Selaku hamba yang tak berupaya, saya tak lekang daripada rasa takut dan bimbang kerana dosa-dosa saya. Saya... hanya mampu memohon kepada Dia."

"Percayalah, Tuhan itu tidak pernah meminggir hamba-hamba-Nya yang meminta. Berdoalah tanpa putus asa, Dia tahu apa yang cukup baik untuk hamba-Nya."

"Ya, Allah tak pernah menyisih hamba yang berharap kepada-Nya."



Sabtu, 18 Mei 2013

Malam (Sial?)



Malam itu panas. Aku di atas kerusi tak keruan. Tumpuan tidak lagi pada komputer riba yang dihadap. Dalam hati aku menyumpah seribu rasa. Malam terasa sial. Bajuku kain tetra cotton. Jenis memerengkap haba. Malam-malam sebegini membuat aku hampir menggelupur.

Lantas, aku capai buku dan nota. Pensel dan pen mana yang tercapai oleh tangan. Segera aku turun dari bilik. Mahu lari daripada bahang yang entah aku seorang sahaja rasa (aku rasa teman sebilikku jenis kebal dengan panas sebab dia buat tak tahu sahaja sedangkan aku sedikit lagi mahu menjegil mata.

Aku turun ke common room. Meditasi sekejap (terasa mahu memuhasabah diri).

Cerita aku bukan tentang aku belajar atau buat apa malam itu. Terus ke matlamat cerita (plot cerita) - pada subuh malam itu.

Aku sudah dengar azan subuh. Aku tak bangun. Handset aku ambil, aku anjak jam penggera hingga pukul 6.30. Mahu tidur yang efektif kononnya - jadi aku cuba tidur-tidur ayam. Dan waktu itu, perlahan-lahan, aku dengar hujan turun daripada langit. Lebat sekali. Malah sekali juga dengan guruh kuat.

Hujan dan guruh buat aku terus bangun. Tak jadi untuk menganjak tidur.

Aku keluar bilik. Jengah anjung. Memang, hujan sungguh lebat pagi tu. Bermula selepas azan subuh.

Yang membuat aku terfikir waktu tu adalah, hati aku sangat celupar malam tadi - tak bersyukur langsung kepada Tuhan. Kerana panas sedikit aku menyumpah. Sedangkan ia bukan panas neraka. Akhirnya, Tuhan jawab sumpah-seranah aku bukan dengan menambah panas. Tapi Dia menurunkan hujan. Malah lebat.

Dan di situ aku terasa terpukul.

p/s: Ini sebuah post eksperimentasi.

Jumaat, 17 Mei 2013

Kisah-kisah Orang Yang Bertemu (Ditakdirkan Tuhan)



Kredit kepada Galeri Ilmu.
Ini kisah orang yang duduk dan sentiasa diperhatikan oleh Tuhan di kaunter.

Impian anak remaja, di bawah asuhan dengan hati-hati, hingga dewasa.

Membawa kepada pekerjaan yang sedia sudah ditulis di lauh mahfuz, yang menurun rezeki yang dijanji Ilahi - setelah berusaha dengan baik - dan sekarang diusaha untuk mencapai redha Tuhan.

Kisah tentang semalam hari, kisah tentang hikmah dari Tuhan.

Perjalanan ke esok hari dan perjalanan untuk esok hari.

Setiap perkara dan perbuatan, sentiasa menjadi catatan.

Sebuah amalan penentuan - di hadapan Rabbul Jalil, 'Bahawa, apakah kamu sudah sempurna?'

Inilah catatan insan, seorang hamba, yang memerhati, kerana memerhati itu adalah pendekat seorang hamba kepada Pencipta.

Kisahnya berdikit matang. Pada tulisan, bahkan pada ingatan. Sekalipun jua, ianya turut mematang manusia yang mengikuti.

Pekerjaan yang diusahakan dengan baik, dan sekarang tiba - penulisnya - berusaha untuk mencari taqwa; impian orang yang sudah mengetahui bahawa dia hanya sekejap sahaja di dunia.

Penulis: Tn Rafi Harumin.


Sobat



Orang bersuka - teman-teman - saya mahu serta sekali.

Rezeki orang; ada yang berjalan jauh kakinya, ada jua yang duduk di rumah, tapi fikirannya berjalan jauh. Rezeki masing-masing.

Dan sukaan orang itu jua berbeda. Ada yang mahu berdua, mahu seorang, ada juga yang suka berseorang tapi lebih gemar memerhati.

Bersama dengan orang yang dikasih, hilang semua dengki dan cemburu, yang wujud hanya impian untuk meneruskan bahagia.

Tapi, hidup di dalam bilik, berdua, dengan kerja sendiri, dengan perhatian Tuhan - kadang-kala cukup membahagiakan.



Khamis, 16 Mei 2013

Seorang Petani




Seorang petani, berteduh di bangsal,
di tengah ladang, kacang panjang dan nanas.

Emak datang, dengan pimpin ayah,
dari jauh, embah hadir, berteman adik dan abang.

 Seorang petani, berteduh, jangan melupa,
tentang kacang panjang dan nanas.



Seorang petani, berteduh di bangsal,
di tengah ladang, kacang panjang dan nanas.


Sabtu, 11 Mei 2013

Balik Malam



Hari kelam serta berangin, barang dicari susah dijumpa; 
balik malam sekali dingin, seorang diri penuh rahsia.