antologi.dunia: Sebuah Rak

Rabu, 22 Mei 2013

Sebuah Rak



Buku-buku yang ada di rak kutubkhanah; disusun dengan fikiran harmoni - pada perasaan saya - dan diletak di satu sudut buku-buku rujukan untuk penulisan seterusnya; dilihat dari jauh - bagi seorang bibliofil sederhana - ianya cukup menguja dan menenangkan sebarang perasaan berbuncah.

Buku-buku itu tujuannya bukan setakat pelaburan masa depan, bahkan ia sebuah pintu kembara bagi saya yang tak punya kewangan dan kekuatan untuk berjalan jauh melihat orang merasa dunia. Pada sentiasa waktu - bukan sahaja dalam senggang dan kebosanan - acapkali buku-bukulah yang mengasak saya untuk duduk dan mengulit dengan tekun serta baik sesebuah peristiwa dan pemikiran untuk mereda dogmatik (pendapat yang mengata bahawa diri sendiri sahaja yang betul) dan menjauhkan stigma (sifat dan sesuatu yang menjatuhkan maruah; keaiban).

Benar-benar angkatan buku mampu memberi keajaiban. Suatu kesombongan mampu ditunduk jika keikhlasan dalam ber-buku disapu pada hati. Kendatipun, buku-bukulah yang membikin sekalian hati yang mencari ditemukan dengan penghujung yang sentiasa menanti dengan pelawaan yang cukup terbuka.

Saya - begitu juga orang-orang seperti saya - adalah segolongan insan yang memerhati langit dan berkata (seperti Anna Marie Guindlen, dalam How Reading My Life, 1998), "Dunia buku adalah cinta abadiku. Watak-watak rekaan itu sentiasa mennati kupulang dan membawa kukembali ke dalam kehidupan." [1]


[1] Shaharom, T. S, (2011). Biblioholisme: Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Penciptanya. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.



Tiada ulasan: