antologi.dunia: Februari 2013

Isnin, 25 Februari 2013

Sobat




Aku, bukanlah watak utama dalam kisah, tetapi dikau. Aku ini seorang penulis yang menyusun plot-plot, meletak latar dan suasana, membikin permulaan – tetapi aku tidak menulis watak, dan bukan aku yang menulis pengakhiran – tetapi dikau. Tugas aku adalah pembawa, dan tugas dikau adalah menghidupkan kisah. Aku ini adalah watak sampingan. Yang ada sesuatu tempat ini dalam kisah, kemudiannya menjadi tiada. Tapi muncul semula di tempat ini atau tempat sana, selepas itu. Atau aku ini watak yang wujud untuk mengisi kejedaan perjalanan, dan selepas itu, tidak didengari lagi, selama-lamanya. Hidup aku berperkataan hanya beberapa patah.

Tugas aku adalah membawa dikau, kerana kisah ini adalah kisah tentang dikau – hidupmu.

Bagaimana aku mengetahui? Dikau tak perlu tahu serba-serbi. Sudah pasti ianya takdir. Takdir yang mencantum dua jalan daripada pelbagai arah bertentangan, menjadi persimpangan yang menyobok semua. Sepucuk surat yang kulampirkan di bawah pintu itu sudah mencukupi, mewakili diriku. Sama ada dikau mahu atau tidak, aku akan mengerti kemudiaannya. Hubungan dikau yang itu aku tak alami, dan aku, menjadi cemburu. Aku sudah lama menjadi pemerhati jauh. Dalam kalangan manusia-manusia, aku juga manusia. Sebab itu dikau tidak perasan, bahawa mataku menjadi bersipongan yang tiada suara. Namun aku bersyukur, setelah mengetahui kisahnya, walau aku menjadi watak yang tak akan wujud, aku tak menjadi kesal.

Tugas aku, adalah impianmu, untuk membawa dikau bertemu dengan seorang sobat. Ya dikau, sobat, sobatmu...

 ***

Mahukah kalian mengetahui satu kisah, tentang beberapa jiwa yang hilang dalam jejak masa? Jiwa-jiwa yang  sebenarnya mengulang sesuatu yang telah berlaku. Jiwa-jiwa yang telah dialamkan dengan peristiwa yang belum berlaku, yang masanya masih tidak tiba – tetapi sudah diawali awal-awal, sebelum tarikh yang sebenar. Mahukah kalian?

Kerana, yang membawanya adalah aku, dan aku yang akan mengisahkan.



Ahad, 24 Februari 2013

Surat Dari Kota Maghfirah di Gen-Q Februari


Surat Dari Kota Maghfirah. Asal gambar daripada sahabat - Muhammad Fitri.


Tak dijangka, dan cerpen ini hanyalah biasa. Namun, bila Tuhan sudah mengizinkan, semua akan terjadi.


Inginku pulang ke pangkal jalan, tapi hati ini berat untuk melangkah. Mungkin kerana diriku hakir yang semakin hina, aku jadi seorang yang tidak punya semangat? Jika aku pulang apakah maafku akan diterima? 
-Surat Dari Kota Maghfirah-




Selasa, 12 Februari 2013

Tentang Cerita Lain




Ada cerita baru yang telah dibikin, tetapi kerana Tuhan tidak mengizin ianya perlu dihentikan buat sementara. Alang-alang kelapangan masa, ada cubaan untuk membikin cerita baru yang lain. Asal idea cerita ini cerita mudah, cerita pendek tetapi filsafati dan berkehidupan. Tapi, setelah merangka, merendam, mengapung, merangka, memendam dan seterusnya merangka semula saya telah dikejutkan - cerita ini makin jadi kompleks. Alamak!

Justeru, saya harus merangka lebih dalam lagi, bukan setakat merangka di luar. Seperti melorek dan mewarna di tengah-tengah sehelai kertas lukisan manakala tepi dan hampir keseluruhan masih lagi putih tak terusik. Saya harus kompakkan kekompleksitian itu menjadi sebuah kesimpelan. Solusinya, dengan merangka dengan lebih berperinci.

Punca utama, saya mahukan lebih ramai orang yang membaca karya saya dan seterusnya mendapat apa yang saya mahu sampaikan. Erti kata lain, lebih ramai orang mampu membaca - tetapi masih lagi mengekalkan ciri-ciri jati diri penulis. (Rintik-Rintik Hanya Singgah dikatakan orang sebuah cerita yang berat)

Cerita ini - yang sedang dirangka - saya impikan suatu cerita yang mudah tetapi masih lagi penuh filosofi dan (terutamanya) memberi kesan (pada hati).

Ya, hati, saya mahukan membikin sebuah cerita yang membuat ingatan sampai bila-bila.

Oh ya, juga, saya dedahkan, cerita ini judulnya SOBAT. Moga ianya jadi kenyataan.


Isnin, 11 Februari 2013

Jangan Bimbang Pada Hujan Yang Tak Turun




Bukankah engkau ada berkata Rifqi? Yang kehidupan ini bukan mengenai dirimu sahaja, bukan kita sahaja? Dan aku masih mengingati, apa yang engkau dapat pada pemberian ayahmu; tentang kejayaan yang sebenar bukan setakat belajarmu, bukan setakat engkau mendapat markah dan gred yang baik dalam akademikmu, atau memperolehi kerjaya dengan gajian puluh ribu, tapi ianya lebih daripada itu.

Aku memetik kata-katamu sahabatku, bahawa kejayaan itu melebih apa engkau fikir tentang hidupmu. Daripada pesanmu, aku mengerti bahawa kejayaan ini bukannya satu. 


Wahai Rifqi, semenjak engkau pergi aku sering apa yang kau titipkan padaku dahulu, yang 'kejayaan' itu bukan sahaja terisi dalam kejayaan, bahkan terbenam dalam pasangan kepada kejayaan itu jua. Engkau lagi berkata, siapa yang mengenal dan memahami tentang maksud itu, dia adalah orang yang paling berjaya.

Duhai Rifqi, pada hari ini aku bertambah percaya, benarlah kata-katamu itu, temanku.


"Jika engkau membaca ini wahai Rifqi, sahabatku... walau engkau berada di mana-mana pelusuk dunia, ketahuilah, yang aku sungguh ingat padamu."



Ahad, 10 Februari 2013

Mana Pergi Semangat Yang Dahulunya?



Cita-cita adalah suatu yang membuat manusia untuk terus tekal berjalan. Walau cita-cita itu bertampak kecil, sekecil-kecilnya ia tetap memberi semangat. Manusia yang tak mempunyai cita-cita ibarat manusia yang berhenti di tengah-tengah persimpangan, tak tahu dan tak mahu untuk memilih laluan yang mana.

Cita-cita yang ditulis di atas kertas adalah suatu yang amat memberi harga kepada jati diri kita, hatta kertas yang sudah lama berpesuk-pesuk harganya tak pernah menjadi nil atau kosong. Bahkan ia juga bukan suatu lelongan, yang harganya ditentukan oleh pembida - sama ada sedikit atau banyak, atau dipandang sepi. Harga cita-cita itu makin berganda selari dengan masa, walau ia suatu cita-cita puluhan tahun lampaunya.Cita-cita di zaman-zaman kecilan, adalah cita-cita yang telah diselaputi emas dan berlian di zaman mendatang.

Cita-cita itulah yang menjadikan kita seorang manusia.

Lalu, kenapa didiamkan ia? Kenapa, dengan semua keistimewaan cita-cita, kita tidak bercita-cita?