Isnin, 25 Februari 2013

Sobat




Aku, bukanlah watak utama dalam kisah, tetapi dikau. Aku ini seorang penulis yang menyusun plot-plot, meletak latar dan suasana, membikin permulaan – tetapi aku tidak menulis watak, dan bukan aku yang menulis pengakhiran – tetapi dikau. Tugas aku adalah pembawa, dan tugas dikau adalah menghidupkan kisah. Aku ini adalah watak sampingan. Yang ada sesuatu tempat ini dalam kisah, kemudiannya menjadi tiada. Tapi muncul semula di tempat ini atau tempat sana, selepas itu. Atau aku ini watak yang wujud untuk mengisi kejedaan perjalanan, dan selepas itu, tidak didengari lagi, selama-lamanya. Hidup aku berperkataan hanya beberapa patah.

Tugas aku adalah membawa dikau, kerana kisah ini adalah kisah tentang dikau – hidupmu.

Bagaimana aku mengetahui? Dikau tak perlu tahu serba-serbi. Sudah pasti ianya takdir. Takdir yang mencantum dua jalan daripada pelbagai arah bertentangan, menjadi persimpangan yang menyobok semua. Sepucuk surat yang kulampirkan di bawah pintu itu sudah mencukupi, mewakili diriku. Sama ada dikau mahu atau tidak, aku akan mengerti kemudiaannya. Hubungan dikau yang itu aku tak alami, dan aku, menjadi cemburu. Aku sudah lama menjadi pemerhati jauh. Dalam kalangan manusia-manusia, aku juga manusia. Sebab itu dikau tidak perasan, bahawa mataku menjadi bersipongan yang tiada suara. Namun aku bersyukur, setelah mengetahui kisahnya, walau aku menjadi watak yang tak akan wujud, aku tak menjadi kesal.

Tugas aku, adalah impianmu, untuk membawa dikau bertemu dengan seorang sobat. Ya dikau, sobat, sobatmu...

 ***

Mahukah kalian mengetahui satu kisah, tentang beberapa jiwa yang hilang dalam jejak masa? Jiwa-jiwa yang  sebenarnya mengulang sesuatu yang telah berlaku. Jiwa-jiwa yang telah dialamkan dengan peristiwa yang belum berlaku, yang masanya masih tidak tiba – tetapi sudah diawali awal-awal, sebelum tarikh yang sebenar. Mahukah kalian?

Kerana, yang membawanya adalah aku, dan aku yang akan mengisahkan.



4 ulasan:

Jamilah Mohd Norddin berkata...

Adakah tidak lama lagi sobat akan diterbitkan?

Jamal Ali berkata...

@Jamilah Mohd Norddin

Maaf ya, SOBAT masih lagi dalam proses penulisan. Dan penulisan yang sebelum ini saya hentikan dahulu kerana tiada perasaan.

Jamilah Mohd Norddin berkata...

Semoga dipermudah urusan menulis.

Jamal Ali berkata...

@Jamilah Mohd Norddin

Terima kasiha atas doanya. ^_^