Khamis, 2 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Pandang Ke Langit II


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Melihat pada langit sering membuatkan saya lebih berfikir dan lebih untuk merasa. Sama ada pada langit pagi atau petang, atau tatkala malam menyelubungi, yang sama disertai dengan bulan dan bintang, atau yang hanya bergelap semata-mata.

Langit yang berubah daripada cerah kepada mendung dan hujan kepada terang, acapkali turut membuat diri turut berubah sama.

Ya, kerana langit yang berubah, fikir dan perasaan saya juga berubah, sebagaimana langit yang berubah cerah menjadi mendung. Dan begitu juga apabila siang beransur-ansur menghilang dan malam pula mendatang perlahan, ia beransur-ansur juga mengalihkan duduk dan tenung saya.

Kisah langit - kisah manusia. Kredit.

Langit itu ibarat hati, ini yang saya fikir. Dan langit itu juga umpama kehidupan manusia.

Langit yang berubah suasana tatkala angin menghembus awan untuk bergerak dan bergumpal hitam, dan langit yang berubah kerana fitrah masa dan kehidupan yang perlu dipatuhi – matahari dan bulan perlu bersilih ganti – memang tidak jauh ubah seperti manusia, yang bertukar kerana sekitarnya, isi dan luar.

Saya lihat lagi, kadang-kala hati itu akan lemas dengan perubahan. Namun, lama-lama ia – hati itu – akan biasa, akan pandai berenang dalam genangan air itu. Sama juga dengan langit dan kehidupan di dadanya. Tatkala melangak ke langit membuatkan saya tertanya-tanya. Bukan tanya berkenaan langit tetapi mengenai manusia.

Apakah langit itu dilihat pula oleh insan-insan lain, dan dirasai sama seperti dirinya juga, sebahagian daripada kehidupannya?

Sebegitulah.

4 ulasan:

Deru Ombak berkata...

Kita semua berbumbungkan langit yang sama.. Walaupun awannya tidak serupa. Setiap kejadian dimuka Bumi ini adalah juga kehidupan yang harus dimengerti dengan mata hati.

Jamal Ali berkata...

@Deru Ombak

Betul kata-kata itu. Walau di sini mendung dan di sana cerah, langit tetap sama.

Hariz Khair Ad-Deen berkata...

^_^ (xreti nk mengomen.. klu senyum je bleh?)

Jamal Ali berkata...

@HKA

Boleh sahaja. (Ana juga tengah senyum sekarang ini)