Selasa, 24 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Reda Hujan Yang Mula-mula


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Jika selepas hujan, reda pula akan ada. Jika reda sudah ada, untuk hujan turun semula, tidak mustahil baginya.

Kisah manusia itu menganggap, jika tanda itu baik pada mula-mula, maka sehingga ke akhir ia akan sentiasa baik-baik. Pada imaginasinya mungkin ya, tapi pada realiti dunia yang dipijak kaki dan dilihat mata, ia boleh menjadi tidak.

Begitu yang jadi pada langit. Dan sebagai seorang manusia – yang hanya mampu merancang – saya mengalami kisah yang tidak disangka-sangka, kisah yang telah menunggu lebih awal dalam cuaca.

Kala itu hujan dan cerah sedang beradu tenaga, dan selepas hujan sudah lama berada di kemuncak, cerah pula mengganti menjadi juara. Saya pula sememangnya menanti, untuk hujan menjadi reda, kerana ada suatu kerja yang perlu dilunaskan di pekan berhampiran. Setelah sekian masa menunggu, bila sahaja rintik-rintik mula-mula membuat irama pada atap zink, terus saya bergerak untuk menuju ke tujuan. Hujan telah reda, matahari pula sedang memancar cerah.

Gembiralah saya, sebab hasrat tertunggak bakal lunas juga.

Pada awal perjalanan, tiada apa-apa yang turun daripada langit menghalang. Saya senyum sepanjang panduan.

Pada pertengahan perjalanan, terasa titis-titis air kecil menitik pada lengan. Tiada apa-apa yang dirasakan perlu dibimbangkan, saya meneruskan perjalanan.

Namun, ibarat jangan disangka air nan tenang tiada buaya, seperti juga dengan langit, jangan dijangka jika hujan reda, tiada lagi hujan akan turun. Jika ditakdirkan, puting beliung mampu ada, tapi, ketentuan Tuhan itu hanya mahukan hujan lebat sahaja.

Bila hujan turun... Kredit

Dalam perjalanan, kerana hujan lebat yang tidak disangka-sangka ketika matahari sedang memancar cerah, dalam cuaca yang terang tiada langsung awan mendungnya, diri saya basah kuyup menjadi. Hendak pulang, sudah jauh jaraknya, hendak meneruskan perjalanan – walau dekat – makin kuyup akan jadinya. Akhirnya, saya meneduh di bawah sebuah pondok menunggu bas bersama seseorang yang juga senasib dengan saya.

Di situ, sambil duduk memandang langit cerah, tapi hujan lebat, saya terkebil-kebil. Jangan bersangka mudah dengan tanda yang awal-awal, itu yang saya fikiri.

Terperangkap, dan mengenang hidup dan hujan yang tiba-tiba – saya menjadi senyum di situ.
Itulah kehidupan.

Tiada ia melainkan ada erti.

2 ulasan:

Deru Ombak berkata...

Indahnya kehidupan, walaupun apa yang terjadi tidak seperti apa yang dijangka.

Jamal Ali berkata...

Begitulah Deru Ombak, hidup ini indah. Cuma kita yang memilih untuk menjadikan ia tidak indah.