Jumaat, 13 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Pandang Ke Langit


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Sewaktu dalam sebarang perjalanan, tak kira jauh atau dekat, tak kira pagi atau petang, ada satu perkara yang saya tidak lepas untuk dipandang mata saya. Tidak lepas untuk mengikuti saya ke mana saya tuju dalam dunia.

Langit yang terbentang luas, itulah ia.

Sewaktu saya perhati dan perhati akan langit, ada saya perasan akan birunya langit. Lama saya perhati, tidak betah untuk dilepaskan olehnya mata. Lambaian langit membuatkan langit yang tinggi terasa dekat untuk dicintuh tangan. Dengan awan-awan putih yang berarak bergumpal, perlahan-lahan. Dengan perlahan-lahan juga ia bersatu dengan langit. Awan-awan putih seolah-olah hidup – seperti manusia – bergerak perlahan dan berubah rupanya kerana angin.

Ada masanya, saya menjadi tercegat – seketika – dalam memerhati.

Langit yang biru hanya diam, bagai tersenyum  kerana telatah awan-awan putih. Tidak ia berubah kerana awan-awan. Tiada ia mengeluh kerana angin yang lalu. Ia juga bagai tidak kisah bila dilitupi awan-awan – hilang daripada pandangan mata-mata. Setia menunggu dalam sorokannya. Gembira jika bertemu hari cerah. Menunggu dengan sabar bila hari menjengah mendung dan hujan.


Waktu itu, tatkala saya melihat ke langit dengan perasan seperti anak kecil yang baru mengenal dunia, barulah saya sedar setelah sekian lama hidup.

Bahawa langit dan kehidupannya itu cukup indah.

Pandang ke langit, pandanglah.

Tiada ulasan: