antologi.dunia: ANTOLOGI UNTUK HATI - Anak Kecil

Jumaat, 13 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Anak Kecil



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Kisah anak kecil semua orang sudah tahu. Kerana kehidupan anak kecil setiap manusia telah lalu. Tiada terkecuali.

Anak kecil hidup dalam ruangnya tersendiri. Kalau bermain, mainlah ia tanpa henti. Kalau gembira, sentiasalah ia gembira. Kalau menangis, sekejap sahaja ia menangis. Jikalau merajuk, akan hilang juga rajuknya nanti sendiri. Tiadalah anak kecil memikir susah. Kerana ia tidak sesekali memikir susah. Sebegitulah hidup si anak kecil. Cukup mudah, sungguh senang, tiada gundah, tidak bermasalah.

Dan ini, setiap kali, sebenarnya, adalah tanggapan saya – orang yang bukan lagi anak kecil – apabila melihat kehidupan anak-anak kecil.

Apakah kehidupan anak-anak kecil berbeza daripada yang saya – orang yang tidak akan lagi menjadi anak kecil – fikirkan?

Bila anak kecil melalui kehidupannya, anak kecil juga melihat sekitarnya. Anak kecil pandang wajah ibunya, anak kecil pandang wajah ayahnya. Apakah anak kecil tidak memikir sesuatu?

Anak kecil bukan sebarang anak kecil. Kredit: ohnurre

Bila kita mengalih wajah, saat itulah, anak kecil akan datang untuk mengelap peluh di dahi ayah, anak kecil akan datang ke sisi ibu timpuh untuk sekali menggetis sayur. Apakah saya – orang yang dikatakan dewasa – tidak melihat sebegitu?

Apakah saya – orang yang tidak jauh daripada hidup anak kecil – memikirkan bahawa anak kecil hanya melihat dirinya sendiri, tidak memikir akan perihal hidup?

Hidup anak kecil – setiap mereka-mereka sentiasa melihat hidupnya – tidak tertanding oleh saya kini. Jika dibanding antara saya dengan anak kecil, sudah pasti saya akan alah terduduk di sudut tepi. Kisah anak kecil juga membuatkan saya kembali mengingat.

Kini, bila sudah menjadi dewasa, saya membuang jauh-jauh kisah anak kecil. Sungguh, saya menjadi lupa bahawa dahulunya saya pernah hidup sebagai anak kecil.

2 ulasan:

MF berkata...

rasa bes pla jd bdak kcil.. mgkin krn hatinya yg bersih dr sifat suka menghukum, dan bersangka buruk pd mnusia.. sbb tu, hati mrk slalu bhagia shj (tertampak dr wajah)

keep it up! perkara yg kdang kita nmpak kcil, nmun pemerhatian yg tlihat pd pnulisan nta pnuh rinci!

Jamal Ali berkata...

HKA:

Itulah kita selaku insan yang sudah tidak lagi bergelar anak kecil, perkara yang kecil sudah tak nampak daripada mata lagi.