antologi.dunia

Selasa, 28 Februari 2012

Manusia dan Kata-kata


Ini huruf - kumpulan yang asalnya kata-kata.

Manusia itu bertindak dengan kata-kata. Kebanyakan kita menafsir mula-mula niat penuturnya yang tidak diketahui oleh kita - ditafsir bersandarkan situasi penutur - dan bukan kata-kata itu yang diambil kira terlebih dahulu oleh kita.

Maka, dengan itu ia tidak baik untuk dicontohi kerana niat penutur hanya dia - penutur itu - dan Tuhan sahaja yang tahu.

Justeru, tafsirlah dengan maksud kata-kata itu pertama-tama - bukan niat penuturnya pertama-tama. Jangan ambil kira dan rungsing akan hal niat, tetapi ambillah maksud yang tersurat yang ada pada kata-kata yang keluar.

Ambilnya makna yang boleh difaham baik-baik. Untuk disemat dalam hati - untuk dijadikan pedoman.

Sabtu, 25 Februari 2012

[Memoir Anak Desa] Saya Anak Desa di Hujung Daerah


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Adik di petang hari...

Petang ini saya melihat lagi.

Berbatas-batas tanah yang sudah digembur hampir sebulan lalu dan kacang panjang yang baru hendak berbunga menjadi saksi. Ini tempat bermain saya mengutip kata-kata untuk peri dan budi diri. Ini tempat saya bergalang untuk melangkah ke depan.

Tempat yang sudah kenal dan jenuh dengan jatuh dan luka ini bukan sebarangan tempat pada saya yang kembali berdiri hari ini.

Mengertikan kembali masa silam untuk mencakna masa depan, saya berada di sini untuk menggetis apa rasa yang ada. Di hujung daerah ini, desa yang tidak banyak diketahui orang, saya mula-mula belajar terbang untuk menggapai awan tinggi.

Di sini, bunga-bunga kacang panjang yang kecil bercitra kuning turut gembira kepalang - bahawa saya masih lagi mengingat masa yang telah berlalu.

(Entri ulang tayang semula)

Jumaat, 24 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Harapan dan Kita di Sini


Harapan itu ibarat menguntum bunga pada sahabat yang lalu di hadapan kita. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Untuk pulang dari universiti – ke desa halaman – biasanya saya akan mengambil perjalanan bas di lewat petang. Saya selalu berseorang, kerana saya satu-satunya anak kampung yang menuntut di universiti di mana saya belajar ketika ini.

Sewaktu kepulangan itu, ketika rewang matahari di langit mula memunculkan diri, kala saya bersendirian – di dalam bas selalunya hanya tinggal saya seorang waktu itu tidak terkecuali pemandu bas – hanya memandang dada langit yang penuh dengan biasan perang mentari daripada jendela bas yang dilapisi gentian kaca lutsinar. Keadaannya diam, dan kala suasana menjelang senja itu acap kali tidak membuatkan saya untuk tidak mengimbau.

Kisah dunia, kisah hidup, kisah-kisah mereka yang berada di sekeliling saya, teman-teman yang saya tinggalkan di universiti – kala itu, petang yang perang itu membuat ingatan menjadi warna nostalgia, seakan sudah jauh masa itu ditinggalkan.

Kirmizi di kaki langit yang cantik – langit yang mula gelap menjadi malam.

Saya bersendirian – tidak bersuara.

Buku catatan yang terbuka di peha – pensel mekanikal di tangan kanan.

Semuanya menjadi sebab imbauan dan ingatan saya – sehingga sampai ke destinasi pertama – stesen bas di bandar besar yang menjadi perhentian untuk saya turun.

Dan sewaktu turun daripada bas itu, kala itu hari senja sudah menjadi malam, lampu neon sudah mengganti suria, lampu kenderaan bersimpang-siur, hiruk-piruk kota masih tidak mati, dan harapan yang tidak pernah menjadi kenyataan – menjadi impian saya.

Ia adalah harapan untuk pertemuan.

Ketika turun daripada bas, saya cukup-cukup berharap dapat bertemu dengan sahabat yang pernah dikenali. Sahabat yang sudah lama tidak ditemui. Sahabat yang dahulunya pernah menyandar di bahu, hidup bersama di dunia jauh tanpa keluarga. Sahabat yang pernah makan dan melihat langit bersama. Sahabat yang pernah menjadi janji dan hati saya. Hatta sahabat sekarang atau tahunan yang lepas.

Itulah yang menjadi harapan saya, bila ketika kaki turun menjejak bumi semula, bila saya tinggal benar-benar bersendirian – dalam gelap, kerana saya diturunkan jauh dari stesen bas.

Ingin benar saya bertemu dengan mereka. Sekadar cukuplah pertemuan yang singkat. Kerana hati saya tengah gembira saat itu – kerana pulang – dan saya mahu berkongsi dengan mereka kegembiraan itu. Namun, impian itu tidak pernah menjadi nyata, harapan itu hanya tinggal harapan. Saya tetap menjadi sendirian kala itu, menanti untuk diambil pulang.

Namun.

Saya tidak akan mengalah. Tidak akan putus asa. Kerana saya percaya, pada malam ini, atau malam-malam yang mendatang yang saya tidak ketahui, Tuhan itu pasti akan memberi kisah gembira itu juga nanti.
Pasti.

Tuhan itu Maha Mendengar. Saya akan sentiasa dan tetap berharapan untuk pertemuan itu – selama-lamanya.

Setiap ketika dan masa, setiap kali saya turun di sini.

Sabtu, 18 Februari 2012

Seti Kayu di Bawah Rimbun


Hati mana yang gadang itulah yang akan mencapai cita. Seperti rimbun gadang di tepi sawah. Kredit.




Seti kayu itu sudah lama. Pokok rambutan kawin itu juga sudah lama. Sepuluh tahun. Lagi tua daripada seti kayu di bawah naungannya. Seti kayu sepanjang masa – sebenarnya seluruh kehidupannya – hanya diam. Diam bak juga seperti rimbun pokok rambutan kawin yang menaung. Namun, kadang kala pokok rambutan kawin itu ada juga tidak diam. Bila angin menderu kuat atau ribut datang terkoncoh-koncoh, waktu itu pokok rambutan kawin galak sungguh geraknya. Tidak seperti seti kayu, yang tetap diam, tidak berkuik langsung. Kerana lama, tiga kaki – daripada empat – seti kayu sudah dipanjat anai-anai. Walakin, seti kayu tetap utuh untuk menongkah alam. Bagai berjanji dengan pohon yang rimbun di atasnya. Kamu pergi aku pergi. Kamu ada aku ada, ibarat sebegitu. Pokok rambutan kawin masih sihat masih tegap, walau ada beberapa dahan didugang dengan batang tiang sebesar cakupan dua tangan. Sama juga dengan perihalnya seti kayu di bawah, masih lagi kejap, masih lagi teguh.

Seperti hari-hari nan sudah, ia tetap biasa. Bak masa yang berlalu, ia hanya disedari – sesetengah manusia. Bak bumi dan langit, ia sudah jadi lali pada manusia. Pandang sudah tak kisah, lalu tak lagi duduk. Itulah kisah si seti kayu. Namun, ada juga manusia yang tidak membiar.

Pada hari ini ada seorang manusia yang duduk di atasnya bertanya, “Jikalau yang dewasa mahu menjadi kecil kembali, apa yang akan jadi pada si kecil pula?” Seti kayu mendengar benar-benar tanyaan itu – jelas dan terang. Bahkan manusia itu ada bertanya lagi, “Jikalau yang besar itu sudah menjadi kecil semula, apa bakal berlaku pada yang kecil itu pula demikian?” Berulang-ulang.

Seti kayu kendatipun hanya mampu diam. Seti kayu hendak menjawab – tidak mampu bersuara – hanya boleh diam.  Lalu, manusia yang duduk di atasnya, di bawah rimbun pokok rambutan kawin yang rendang dan lebat itu menjadi menunggu.

Seti kayu, kendatipun – kerana manusia itu –  tidak hanya membiar. Seti kayu, mewasitkan angin untuk menjawab bagi pihaknya “Usah khuatir, kalau hati itu besar, takkan ia menjadi sia-sia,” kata angin – kata daripada seti kayu sebenarnya. “Biarlah musim berganti. Buah yang muda menjadi masak. Buah yang sebutir menjadi segugus. Biarlah tali air berpasang dan surut. Tapi, jangan sesekali biarkan hati menjadi mati.” Angin menderu-deru membuatkan manusia yang duduk memejam mata.

“Mahukah kamu mendengar sebuah kisah? Ini kisah biasa-biasa pada mata, tapi pada hati ia bukan biasa-biasa. Ini kisah mengenai manusia-manusia seperti kamu juga,” lagi angin berkata menyampaikan apa yang dikata seti kayu.

“Ini kisah mengenai apa?” Manusia yang duduk itu bertanya – membuka mata.

“Ini adalah kisah mengenai dua jiwa. Dan ini juga kisah tentang hati yang besar. Iaitu yang akan menang, pada akhirnya.”

Saujana sawah menguning di depan seti kayu berayun-ayun. Burung ruak-ruak menyudu lopak di celah rumput sumbu. Langit biru dengan awan menyilih santun. Seti kayu tetap di situ. Di bawah rimbun seti kayu ia terus menabur bakti, bersama angin lembut menyapa pelupuk mata, bersama rimbun yang menaung redup.

Bagi manusia yang duduk, dengan bait-bait pada desir angin yang lalu – yang bawanya daripada seti kayu yang sudah mengetahui kebenaran kehidupan yang dilihat – dia jadi tidak betah untuk tidak tersenyum lebar.