Hidup selalu berubah.
Tahun ini berbeza daripada tahun lepas. Tahun depan entah pula bagaimana bentuknya.
Hari-hari yang dilalui ada saja yang terisi. Sibukkah sifatnya?
Sibuk yang tak hasilkan produktiviti. Sibuk saja-saja.
Bagi orang lain, sibuk sebegini (seperti yang disebut di atas) tak bagus. Membazir masa. Namun pada sesetengah manusia, sibuk sebeginilah yang membuatnya untuk terus hidup.
Dia sibukkan saja-saja dirinya supaya di masa depan dia tidak sibuk saja-saja -- sebab dia akan jadi sibuk yang ada-ada.
Khamis, 30 September 2021
Sibuk Hari-hari Sampai Jadi Tak Sibuk
Isnin, 6 Januari 2020
Sampai Pulang
![]() |
| Berpetualang di Slim River. |
Apabila berpulangan ke asal bertandang, perlu betul-betul sampai pulang. Jangan melencong ke tempat lain. Jangan bermain di perkarangan rumah orang. Jangan melepas lelah lalu tidak pulang. Kena pulang. Sebab ada orang menunggu dengan setia dan bimbang. Yang sentiasa memanjatkan doa selamat dan berkenang-kenangan (yang menjenguk di balik daun pintu, tertonjol-tonjol wajahnya memandang ke luar rumah dan menanti, bilakah abang akan sampai pulang?).
Apabila pulang waktu senja-senja begini, beginilah jua perasaan. Ufuk langit dan bertukar rembang. Mentari dah mula mengundur diri. Burung-burung bahkan manusia-manusia pulang ke sarang serta pangkuan yang tersayang.
Dan itulah, saya dalam berperjalanan - sebab mahu merasa begitu.
Khamis, 8 Ogos 2019
Enam Tahun Lepas dan Tahun-tahun Depan
Enam tahun sudah berlalu. Saya jua sudah melihat daripada sudut lain kini. Pemikiran dan peluang sudah bercambah. Saya ingin meraih perkara yang saya tak dapat (lagi) bertahun-tahun sudah. Percaya kepada Allah, perlu diiringi dengan usaha, saya yakin tentang masa depan.
Setiap yang terjadi ada hikmah Tuhan. Jangan bersedih atas apa yang sudah berlalu. Fokuskan dirimu untuk masa mendatang saja sekarang.
Setiap yang terjadi ada hikmah Tuhan. Jangan bersedih atas apa yang sudah berlalu. Fokuskan dirimu untuk masa mendatang saja sekarang.
Selasa, 6 Ogos 2019
Ke Masa Depan
Apabila saya meneliti posting terakhir di blog ini, rupanya - sudah enam tahun yang lepas. Masa yang dirasakan panjang (tapi terasa singkat juga). Banyak perkara telah berlalu, kegembiraan, kesedihan - semuanya hanya Tuhan sahaja yang benar-benar tahu.
Dan hari ini, apabila saya melihat sosok badan, rupanya - saya masih hidup lagi.
Dengan izin Azza wa Jalla, saya mahu menyambung semula coretan di sini. Supaya saya boleh hidup lagi.
Dan hari ini, apabila saya melihat sosok badan, rupanya - saya masih hidup lagi.
Dengan izin Azza wa Jalla, saya mahu menyambung semula coretan di sini. Supaya saya boleh hidup lagi.
Sabtu, 14 Disember 2013
Mahasiswa, Graduan dan Universiti
'Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, ketakutan saya ialah apabila mahasiswa yang ada kini sibuk bermain Dota, Facebook, menonton Raja Lawak atau sibuk memuat turun siri kegemaran drama Korea. Graduan harus berfikir lebih jauh daripada kerja, kahwin, beli kereta, rumah dan 'settle down'.'
Zul Fikri Zamir. (2013). Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang. Mahasiswa Dan Kebebasan Akademik. Halaman 38.
Jumaat, 22 November 2013
Rintik-Rintik; Tak Akan Berhenti, Tak Hanya Di Satu Tempat
Rintik-rintik tak akan berhenti. Pada hari ini langit berintik-rintik, pada hari-hari kemudian rintik-rintik pasti akan ada. Selagi manusia masih ada, atau ditakdirkan satu hari nanti manusia sudah jadi tiada, tapi dunia masih ada - hingga tarikh tamat, rintik-rintik tetap akan turun.
Rintik-rintik tidak hanya di satu tempat. Di sini turun rintik-rintik, di balik teduh sana barangkali juga turun rintik-rintik. Rintik-rintik di atas gunung, rintik-rintik juga di tengah padang menimpa pengembara.
Itulah dia rintik-rintik - tak akan habis, tak hanya setempat.
Sabtu, 16 November 2013
Warkah Ke Masa Depan (Mengenang)
Sekeping kertas baru
Hari itu kita masih lagi muda belia beramai-ramai berhadapan sebuah mesin yang sedia mengetik masa untuk berhenti. Masing-masing dengan kerenah dan gaya, yang mahu ianya – masa yang dihentikan itu – menjadi suatu kelainan dan terutamanya sekali, suatu yang indah.
Masa yang berhenti – menjadi sekeping memori.
Sungguh, masa itu benar-benar berhenti, dan di hujung waktu menjengah senja kita menerima sehelai memori yang boleh diusap licin dek tangan, dihidu harum dan ditatap selagi mata masih mampu menatap, sembari bibir tak lekang dengan senyum. Memori itu yang mana warna petang di dalamnya tak akan berlalu gerak sampai bila-bila, tetap kekal dengan warna asal – warna petang perang dan sungguh muda – selama-lamanya, tak makan dek gerak masa.
Ya, waktu hari itu kita masih muda.
Bila kita sudah bubar, memori yang setiap kita terima tanpa beza, apa di dalam helaian hanya tinggal sejarah lama. Apa yang ada di dalam helaian, apakah mampu diputar kembali, berulang-ulang, berkali-kali, seperti mana yang telah berlaku, tiada beza pun walau seinci, walau sedikit?
Kerana masa akan bergerak, tak punya daya ditahan-tahan.
Manusia akan berubah, bersilih ganti, hidup dan mati.
Cuma, kebanyakan kita, memori nan sekeping tak lama di tangan. Barangkali tangan menjadi jemu.
Disimpan memori dalam lipatan, disendirikan di situ berteman gelap dan hingga kala semut yang membuat sarang. Lama sekali.
Sebegitu, banyak orang selalu buat.
Sekeping kertas kusam
Hari ini, kita belek koleksi-koleksi memori. Kita terjumpa memori hari itu. Kepingan itu kita usap, tatap dan hidu, seperti kali pertama dahulu saat ianya masih tak berwarna kusam. Masih dengan bau ceria, rasa hangat, penuh dengan hati waja, terisi semangat bertinggi langit, tampak kaki nan cekal, mata cemerlang. Hari itu waktu gemilang.
Wajah seorang-seorang masih muda.
Wajah seorang-seorang masih ada di dunia.
Dan kini kita pula sudah di sini. Dengan wajah berbeza, kulit berbeza, rambut berbeza, dan apa yang kita ada di tangan sekarang juga berbeza – tak sama seperti dahulu, dalam memori hari itu. Apa di tangan sudah makin bertambah – pelbagai perkara.
Keping memori nan sehelai barangkali bakal menguja, dan membuat kita sedikit kagum tentang perkara yang lepas yang kita bandingkan dengan perkara yang sekarang – yang kita telah usahakan dan kita dapat.
Apa yang kita usahakan, dan apa yang kita telah dapat?
Di dalam sehelai kusam barangkali saat kita masa kecil diri dan tak punya apa-apa. Tapi saat itu Tuhan jadikan masa yang terbaik. Masa usaha – untuk merubah dunia dengan merubah diri pertama-tama. Masa cita-cita di mana kita mahu membawa sekali sesiapa yang pernah berada di sisi – bersama-sama ke puncak tertinggi. Bukankah waktu itu masa kita berjanji untuk tidak sia-sia?
Yang penting, hari itu adalah waktu kita beramai-ramai – bersama-sama.
Suatu masa yang tak akan lagi menjadi sama.
Pada hari ini kita bukan lagi muda belia. Sudah dua juta langkah kita meninggalkan hari itu, dan apakah dua juta langkah boleh diundur begitu mudah? Sungguhpun, langkah-langkah itu seiring dengan tahun, lalu pastinya langkah-langkah itu tak sedikit pun boleh disentuh. Bahkan ianya tak sesekali mampu disentuh – untuk diubah, untuk kembali dari hari ini ke hari itu.
Cuma, di hari ini, kita hanya mampu untuk mengenang, mengimbau. Suatu kisah di mana kita bercita-cita, berimpian mulia.
Namun, helaian memori nan sekeping jangan terus disimpan sahaja di dalam koleksi. Teperuk, terperam lalu bila sampai ke tangan generasi mendatang – tak ada langsung ia bererti. Helaian memori, bukalah dan lekatlah di dinding dengan kata-kata perangsang bahawa itulah harta yang kita mahu amal dibawa ke anak cucu. Waktu kita beramai-ramai, pusakakan kepada generasi baru.
Helaian memori sekeping kusam, tataplah sebelum pergi untuk bertanggungjawab mahupun mencari rezeki. Tataplah kembali ketika pulang – ketika membuka pintu ianya terpampang. Tataplah sebelum pergi berjuang. Tataplah ketika datang generasi baru, moga ia menguatkan. Tataplah sebelum beradu, tak mustahil ianya kali terakhir.
Kita jangan sekali menyesal. Ingatlah peristiwa hari itu, hari asal dan usul, hari siapa diri kita yang sebenar, hari di mana kita beramai-ramai sebelum kita menambah lagi ramai-ramai.
Hari di mana kita beramai-ramai sebelum kita menjadi seorang.
Semoga, di hari mendatang kita akan menjadi kembali beramai-ramai, bertemu semula dengan puas – mulia dan abadi – sesudah perjuangan pikul lelah masing-masing tamat serta lunas, kala Tuhan menjadi saksi.
Inilah moga masa depan terakhir.
Rabu, 13 November 2013
Bila Tiba Musim Hujan
Bila tiba musim hujan, sungai melimpah dan parit-parit dinaiki air membikin ramai orang sibuk. Ada atap bocor yang mahu diganti. Ada pokok-pokok tumbang yang perlu dialih, bahkan pokok-pokok yang tinggi menjulang selalu dijenguk bimbang - lebih-lebih lagi yang mempucuk dekat sebelah rumah. Ada orang yang sudah bersiap-siap; sampan, baju hujan, lilin mahu ubat. Turut sekali yang sudah bersiap-siap tentang perkakas dan perabot rumah;sudah ditelek-telek mana-mana ruang yang sesuai kalau air nanti masuk ke rumah.
Bila tiba musim hujan ramai orang sibuk, dan saya tak terkecuali. Lebih-lebih lagi apabila banyak barang dikendong sekali dek badan.
Rabu, 17 Julai 2013
Bak Kata (Mat Luthfi)
"Pencapaian akademik itu bukanlah penentu berjayanya hidup seseorang ataupun tak, kita ada banyak manusia-manusia pandai yang keluar daripada top universities dalam dunia ni tapi end up being someone manipulative, menindas dan tak pernah kisah dengan orang lain. ...cek rasa satu kejayaan sepatutnya diukur dengan sejauh mana seseorang itu mampu menyumbang kembali kepada masyarakat..."*
Mat Luthfi (Soalan Ramalan Pasca SPM)
*bukan quote secara terus
Jumaat, 12 Julai 2013
Malam-malam
#Ulang tulis
Kerna
malam-malam sebegini - menjelang subuh dengan panggilan - setelah
dibawa angin untuk menyelusuri peristiwa lepas, dan hujan turun tadi
yang bagaikan kasihan, saya terasa cukup kerdil sekali. Di atas katil
saya meladeni, akan bagaimana kisah lalu yang menjentik fikiran cukup
membuat kita terasa kuat; saya makin terasa bahawa kita memang tak dapat
lari daripada peristiwa dahulu.
Ya, bukankah kisah-kisah dahulu itu asalnya kita?
Ya, bukankah kisah-kisah dahulu itu asalnya kita?
Selasa, 9 Julai 2013
Aset
Buku-buku itu aset saya. Kenangan dan memori (orang-orang yang dekat) adalah aset saya. Nasihat-nasihat adalah aset saya. Harapan sama ada diluah atau didiamkan, secara pandangan atau dibaca pada wajah-wajah, tersurat mahu tersirat, ianya menjadi impian dan janji; itulah jua aset saya. Barang kenderaan berkaki atau yang dikenderai dengan setia - adalah aset saya.
Aset-aset saya banyak. Dikurniakan Tuhan untuk kemudahan dan alat untuk mencapai sejahtera. Bahkan dengan aset-aset yang itu, untuk mencapai 'erti hidup pada memberi' saya tidak dihadangi dengan kesulitan.
Oleh itu, kenapa saya perlu berdolak-dalih? Hanya duduk diam tanpa berusaha. Beralasan seratus serba satu.
Sedang juga, ingatan dan kehadiran ar-Razzak yang lebih dekat daripada urat leher adalah aset (kekuatan) saya bahawa saya perlu bergerak ke depan bukan seorang diri - mementingkan diri semata.
Isnin, 8 Julai 2013
Kekuatan
Satu malam; malam yang lepas. Bawa motor. Merentas jarak sejauh ufuk. Seorang diri. Dalam ingatan sendiri; berfikirnya bagaimanapun bukan untuk masa depan sendiri semata.
Saya berfikir tentang orang lain - orang yang saya kenang. Berfikir , tentang kekuatan, inspirasi dan semangat, yang diberikan mereka kepada saya. Orang-orang yang saya dekat - selalu dalam hati (mereka tidak tahu, mereka jarang nampak pada wajah saya) - mereka itulah pembakar sumbu yang menerangi jalan gelita saya. Mereka, dalam senyap, dalam ketidaktahuan mereka sendiri, adalah penguat-penguat saya.
Kenapa saya berfikir lagi perkara yang sama dan selalu saya fikiri; lalu diluah di sini?
Seperti yang lain-lain, tujuannya sama - ianya pengingat yang perlu sering mengingat.
Kadang kala orang yang saya kenang itu akan berubah tingkah dan cara. Dia akan berasa lain. Dia akan berbuat lain. Dan sebab itu saya mungkin akan terasa; satu perkara lompong kerana perkara kebiasaan itu sudah tidak lagi singgah - jadi berbeza. Orang yang saya kenang menjadi lain, lalu saya pun akan terjadi lain.
Fikiran kenangan barangkali akan jadi fikiran wasangka. Mungkin akan jadi membengis - itulah diri yang saya tak mahu.
Biar kenangan asal dan indah itu menjadi terus teguh. Itu adalah pembina kekuatan. Tidak boleh dilupa. Jika lupa maka kita akan jadi orang berbeza. Kita jadi orang pelupa - pada asal, usul dan teman-teman. Kita akan jadi orang yang tak sama dengan dahulu - pengingat asal, usul dan teman-teman (yang itulah adalah sebenarnya kita ini).
Satu malam; malam yang lepas itu saya berfikir. Dalam rentas jauh dan seorang. Berfikir tentang memori asal, pertemuan pertama, saat semangat itu mula bercambah, susah yang membikin kekentalan hati, senang yang dikongsi dalam syukur. Berfikir bahawa hidup perlulah dikongsi.
Fikiran yang sebegitulah yang mengutus terus dan kembali - kekuatan, inspirasi dan semangat - daripada orang yang saya kenang.
Bila mahu berjaya, kita tak boleh jadi pelupa.
Jumaat, 28 Jun 2013
Peneman
“Maksud lainya, aku ini teman dia. Bukan dia teman aku.” Sembari kuntum mesra kau menerang. “Aku selalu melihat daripada sudut diri aku mula-mula. Teman itu adalah pekata lain buat peneman. Peneman itu seseorang yang mengiringi dan mendampingi seseorang yang lain. Teman ini adalah orang yang sentiasa berkait pada orang lain. Iaitu orang yang berharap, orang yang memerlukan bantuan dan petunjuk. Kerana orang yang sebegitu, maka akulah yang sebenarnya teman kepada dia.”
“Oleh itu, orang yang sentiasa kau kenang itu siapa?”
“Dia sobatku. Orang yang selalu menghulur sama ada secara terbuka atau diam. Orang yang selalu menghulur sama ada menyedari atau tak perasaan.”
Selasa, 18 Jun 2013
Rezeki Lewat
Berkenaan rezeki, tak siapa yang mampu menduga. Kata orang, pergilah cepat-cepat, lagi cepat lagi bagus, pergi lewat mana yang bagus (emas permata) akan dahulu dicekup orang. Itu kata orang, dan apakah 'kata orang' itu berbuah emas? Apakah kerana pergi lewat, tiada lagi yang bagus-bagus (emas permata) yang tinggal?
Mahu dengar kata Tuhan?
"... Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah, 2:216) [1]
Tidak kira sama ada seseorang itu pergi awal atau lewat, jika rezeki itu sudah ditentukan Allah menjadi miliknya, ianya tetap akan berlaku. Rezeki sudah diketahukan oleh Tuhan, untuk lebih tahu alamat tuannya. [2]
[1] Al-Quran, kalam Tuhan.
[2] Fathuri Salehuddin. (2012). Mudahnya Menjemput Rezeki. Galeri Ilmu.
Isnin, 17 Jun 2013
Rintik-Rintik Di Negeri Kecil
Walau kau duduk di jauh sana - benua hujung, atas dan bawah - apakah kau di sana masih merasa hujan yang turun (dan pernah) di negeri sendiri?
Sabtu, 8 Jun 2013
Membaca III
Kata saya kepada seorang sahabat, bahawa saya ini banyak membaca. Tetapi pembacaan saya seperti membuang masa. Perkara yang lebih penting (pengoptimuman masa) tidak diberi masa yang betul. Berkuantiti, namun hasil bacaan itu seakan tak ke mana, tiada guna, kualitinya entah ada.
Balas sahabat, saya ini yang telah membaca tetap menghasilkan sesuatu. Tetapi masanya belum tiba. Masanya tidak pada masa ini. Bacaan saya tetap akan berhasil kejayaan.
Walakin juga, pesannya sahabat, berkuantiti perlulah dengan kualiti. Pilihlah bacaan yang baik. Pilihlah bacaan yang mendidik. Pilihlah bacaan yang seiring dengan masa.
Terima kasih sahabat, kerana pesanmu itu saya akan terus membaca.
Selasa, 4 Jun 2013
Sesudah Rintik-Rintik Burung Berkicau
Tak salah untuk mengenang . Kerana sesudah hujan turun, hujan itu tak akan turun lagi - buat kali kedua. Turunnya hanya sekali. Tak ada ganti. Hujan memang tetap akan turun, tapi turun seterusnya tak akan sama. Berbeza sekali. Jauh rasanya daripada yang awal.
Lalu, tak salah untuk mengenang - apatah lagi daripada sobat sendiri.
Sabtu, 1 Jun 2013
Membaca II
Kita ini selaku manusia berhidup dengan tunjuk ajar, pengaruh dan paduan orang lain; sebegitu juga dengan hidup membaca.
Seorang saudara (teman yang tak pernah bertemu) ada menyata, bahawa kita ini apabila membaca selalu berkeluh-kesah dan menyesal. Kata kita, tak guna membaca sekiranya tak mengingati isi dan pengajaran yang ada dalam buku.
Saudara itu (teman yang selalu diperdengarkan buah fikirannya dari jauh) lagi menyata, buku itu bukan mendidik kita untuk mengingat, tapi buku itu mendidik kita untuk membuka fikir - kreatif dan kritis.
Kita ini - hampir kesemuanya - bukan manusia dengan eidetic memory atau kata lainnya berminda fotografik. Sungguhpun sekiranya kita hanya mengikuti bulat-bulat - setelah ingat kesemua - kita ini tak ubah seperti sebuah mesin tanpa perasaan dan perbezaan yang merupakan keistimewaan yang lebih hebat yang dihadirkan oleh Allah pada setiap manusia.
Ya, memang photographic memory itu hebat. Dan memori yang biasa-biasa, itu juga merupakan satu kehebatan.
Bagaimana kita menerima - berbeza-beza setiap individu - dan kemudian kita menafsir dan berbuahkan fikiran daripada penerimaan kita - juga berbeza-beza; bukankah itu adalah satu keindahan, daripada Tuhan?
Dan inilah - yang diajar oleh buku.
Jumaat, 31 Mei 2013
Kembali - Pada Tuhan
Sahabat-sahabat, bila kita ditimpa suatu musibah yang menyulitkan - kecil atau besar - katakanlah, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan hanya kepadaNya kami akan kembali)." Dan kemudian berdoalah kepada, "Ya Allah, berilah ganjaran atas musibah yang menimpaku dan gantilah musibah itu dengan suatu yang lebih baik."
Sungguh, Tuhan yang Maha Mendengar tak akan meminggirmu.
Pantun Rintik-Rintik
Pantun di dalam Rintik-Rintik Hanya Singgah adalah kehidupan yang mendidik. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengumpulkan pantun-pantun yang terkandung sekali dengan penerangan ringkas dalam satu medium sebagai penghayatan.
![]() |
| Sudut lain Rintik-Rintik Hanya Singgah. Kredit RakBuku |
Bulan malam datang bersimpuh,
Simpuh datang menuju tuan,
Bukankah kelam jiwanya ripuh,
Asal dibuang hati ber-Tuhan.[1]
Rifqi Sabran dalam duka, dan pemuda berambut putih mengingatkan dia - bahawa Allah itu ada. Dan hujung pertemuan sesudah seminggu, bukankah kau sudah sedia?
Simpuh datang menuju tuan,
Bukankah kelam jiwanya ripuh,
Asal dibuang hati ber-Tuhan.[1]
Rifqi Sabran dalam duka, dan pemuda berambut putih mengingatkan dia - bahawa Allah itu ada. Dan hujung pertemuan sesudah seminggu, bukankah kau sudah sedia?
Kisah kita di dunia,
Bagai pohon tepi jalan,
Tumbangnya tak diduga,
Hatta cerah atau hujan.[2]
Duhai Rifqi, hidup kita ini seperti berjalan untuk kembara satu dunia, meski perjalanan jauh, tapi dari tempat kita bermula, kita akan bertemunya kembali. Teringat kisah lalu di tempat itu, jangan lupa.
Bagai pohon tepi jalan,
Tumbangnya tak diduga,
Hatta cerah atau hujan.[2]
Duhai Rifqi, hidup kita ini seperti berjalan untuk kembara satu dunia, meski perjalanan jauh, tapi dari tempat kita bermula, kita akan bertemunya kembali. Teringat kisah lalu di tempat itu, jangan lupa.
Gemulah Wah ada berpesan,
Jiwa emak datang mengingatkan,
Kisah abah kita lurutkan,
Kerana Tuhan jadilah sematan.[3]
Duduk di serambi, seraya kaki melunjur melepasi lantai simen serambi, keluar menyentuh pucuk bunga yang mengusap manja bersama angin. Rifqi Sabran... apakah kau masih mengingat kisah Wah, emak dan abah? Tentang hidup ini tak akan wujud kerana Tuhan?
Jiwa emak datang mengingatkan,
Kisah abah kita lurutkan,
Kerana Tuhan jadilah sematan.[3]
Duduk di serambi, seraya kaki melunjur melepasi lantai simen serambi, keluar menyentuh pucuk bunga yang mengusap manja bersama angin. Rifqi Sabran... apakah kau masih mengingat kisah Wah, emak dan abah? Tentang hidup ini tak akan wujud kerana Tuhan?
Usah berkeluh jangan berkesah,
Cerita dunia sebuah fana,
Bukannya ini sebarang kisah,
Jiwa ada kalbu pun beserta.[4]
Orang tua buta, tapi hatinya terang - melihat terang. Duduklah, dia orang lama. Sudah jenuh makan asam dan garam. Sudah lama melihat dan merasa alam. Anak muda - wahai Rifqi Sabran - bak kata hujung, "Berkekalanlah ia, untuk seribu tahun lamanya... hingga ke hujung dunia..."
Cerita dunia sebuah fana,
Bukannya ini sebarang kisah,
Jiwa ada kalbu pun beserta.[4]
Orang tua buta, tapi hatinya terang - melihat terang. Duduklah, dia orang lama. Sudah jenuh makan asam dan garam. Sudah lama melihat dan merasa alam. Anak muda - wahai Rifqi Sabran - bak kata hujung, "Berkekalanlah ia, untuk seribu tahun lamanya... hingga ke hujung dunia..."
Malam datang dengan hujan,
Bawa keridik sekali menyanyi,
Pada dua kisahnya tangan,
Ada hidup untuk memberi.[5]
Ini ingatan untuk masa depan. Apa janjimu Rifqi? Hidup ini tak hanya tentang kita, bahkan hidup kita ini adalah jua kisah-kisah orang yang kita sayang - yang punya jiwa dalam tubuh badan kita.
Bawa keridik sekali menyanyi,
Pada dua kisahnya tangan,
Ada hidup untuk memberi.[5]
Ini ingatan untuk masa depan. Apa janjimu Rifqi? Hidup ini tak hanya tentang kita, bahkan hidup kita ini adalah jua kisah-kisah orang yang kita sayang - yang punya jiwa dalam tubuh badan kita.
Di atas adalah lima rangkap pantun yang terkandung dalam novel Rintik-Rintik Hanya Singgah.
[2] Bab 17, halaman 94
[3] Bab 33, halaman 199
[4] Bab 41, halaman 240
[5] Bab 57, halaman 338
*Menelusuri Rifqi Sabran (Rintik-Rintik Hanya Singgah) dalam berkelana mencari pengertian adalah sebagai anak yang perlu ingat jati dan asal-usul, serta kehadiran Azza wa Jalla, yang membikin hati. Kisah Rifqi Sabran - dalam fitrah kegagalan - adalah sama seperti kita semua.
Langgan:
Catatan (Atom)




