Sabtu, 16 November 2013

Warkah Ke Masa Depan (Mengenang)



Sekeping kertas baru

Hari itu kita masih lagi muda belia beramai-ramai berhadapan sebuah mesin yang sedia mengetik masa untuk berhenti. Masing-masing dengan kerenah dan gaya, yang mahu ianya – masa yang dihentikan itu – menjadi suatu kelainan dan terutamanya sekali, suatu yang indah.

Masa yang berhenti – menjadi sekeping memori.

Sungguh, masa itu benar-benar berhenti, dan di hujung waktu menjengah senja kita menerima sehelai memori yang boleh diusap licin dek tangan, dihidu harum dan ditatap selagi mata masih mampu menatap, sembari bibir tak lekang dengan senyum. Memori itu yang mana warna petang di dalamnya tak akan berlalu gerak sampai bila-bila, tetap kekal dengan warna asal – warna petang perang dan sungguh muda – selama-lamanya, tak makan dek gerak masa.

Ya, waktu hari itu kita masih muda.

Bila kita sudah bubar, memori yang setiap kita terima tanpa beza, apa di dalam helaian hanya tinggal sejarah lama. Apa yang ada di dalam helaian, apakah mampu diputar kembali, berulang-ulang, berkali-kali, seperti mana yang telah berlaku, tiada beza pun walau seinci, walau sedikit?

Kerana masa akan bergerak, tak punya daya ditahan-tahan.

Manusia akan berubah, bersilih ganti, hidup dan mati.

Cuma, kebanyakan kita, memori nan sekeping tak lama di tangan. Barangkali tangan menjadi jemu.
Disimpan memori dalam lipatan, disendirikan di situ berteman gelap dan hingga kala semut yang membuat sarang. Lama sekali.

Sebegitu, banyak orang selalu buat.

Sekeping kertas kusam

Hari ini, kita belek koleksi-koleksi memori. Kita terjumpa memori hari itu. Kepingan itu kita usap, tatap dan hidu, seperti kali pertama dahulu saat ianya masih tak berwarna kusam. Masih dengan bau ceria, rasa hangat, penuh dengan hati waja, terisi semangat bertinggi langit, tampak kaki nan cekal, mata cemerlang. Hari itu waktu gemilang.

Wajah seorang-seorang masih muda.

Wajah seorang-seorang masih ada di dunia.

Dan kini kita pula sudah di sini. Dengan wajah berbeza, kulit berbeza, rambut berbeza, dan apa yang kita ada di tangan sekarang juga berbeza – tak sama seperti dahulu, dalam memori hari itu. Apa di tangan sudah makin bertambah – pelbagai perkara.

Keping memori nan sehelai barangkali bakal menguja, dan membuat kita sedikit kagum tentang perkara yang lepas yang kita bandingkan dengan perkara yang sekarang – yang kita telah usahakan dan kita dapat.

Apa yang kita usahakan, dan apa yang kita telah dapat?

Di dalam sehelai kusam barangkali saat kita masa kecil diri dan tak punya apa-apa. Tapi saat itu Tuhan jadikan masa yang terbaik. Masa usaha – untuk merubah dunia dengan merubah diri pertama-tama. Masa cita-cita di mana kita mahu membawa sekali sesiapa yang pernah berada di sisi – bersama-sama ke puncak tertinggi. Bukankah waktu itu masa kita berjanji untuk tidak sia-sia?

Yang penting, hari itu adalah waktu kita beramai-ramai – bersama-sama.

Suatu masa yang tak akan lagi menjadi sama.

Pada hari ini kita bukan lagi muda belia. Sudah dua juta langkah kita meninggalkan hari itu, dan apakah dua juta langkah boleh diundur begitu mudah? Sungguhpun, langkah-langkah itu seiring dengan tahun, lalu pastinya langkah-langkah itu tak sedikit pun boleh disentuh. Bahkan ianya tak sesekali mampu disentuh – untuk diubah, untuk kembali dari hari ini ke hari itu.

Cuma, di hari ini, kita hanya mampu untuk mengenang, mengimbau. Suatu kisah di mana kita bercita-cita, berimpian mulia.

Namun, helaian memori nan sekeping jangan terus disimpan sahaja di dalam koleksi. Teperuk, terperam lalu bila sampai ke tangan generasi mendatang – tak ada langsung ia bererti. Helaian memori, bukalah dan lekatlah di dinding dengan kata-kata perangsang bahawa itulah harta yang kita mahu amal dibawa ke anak cucu. Waktu kita beramai-ramai, pusakakan kepada generasi baru.

Helaian memori sekeping kusam, tataplah sebelum pergi untuk bertanggungjawab mahupun mencari rezeki. Tataplah kembali ketika pulang – ketika membuka pintu ianya terpampang. Tataplah sebelum pergi berjuang. Tataplah ketika datang generasi baru, moga ia menguatkan. Tataplah sebelum beradu, tak mustahil ianya kali terakhir.

Kita jangan sekali menyesal. Ingatlah peristiwa hari itu, hari asal dan usul, hari siapa diri kita yang sebenar, hari di mana kita beramai-ramai sebelum kita menambah lagi ramai-ramai.

Hari di mana kita beramai-ramai sebelum kita menjadi seorang.

Semoga, di hari mendatang kita akan menjadi kembali beramai-ramai, bertemu semula dengan puas – mulia dan abadi – sesudah perjuangan pikul lelah masing-masing tamat serta lunas, kala Tuhan menjadi saksi.

Inilah moga masa depan terakhir.

Tiada ulasan: