Jumaat, 28 Jun 2013

Peneman



“Maksud lainya, aku ini teman dia. Bukan dia teman aku.” Sembari kuntum mesra kau menerang. “Aku selalu melihat daripada sudut diri aku mula-mula. Teman itu adalah pekata lain buat peneman. Peneman itu seseorang yang mengiringi dan mendampingi seseorang yang lain. Teman ini adalah orang yang sentiasa berkait pada orang lain. Iaitu orang yang berharap, orang yang memerlukan bantuan dan petunjuk. Kerana orang yang sebegitu, maka akulah yang sebenarnya teman kepada dia.”

“Oleh itu, orang yang sentiasa kau kenang itu siapa?”

“Dia sobatku. Orang yang selalu menghulur sama ada secara terbuka atau diam. Orang yang selalu menghulur sama ada menyedari atau tak perasaan.”



Selasa, 18 Jun 2013

Rezeki Lewat




Berkenaan rezeki, tak siapa yang mampu menduga. Kata orang, pergilah cepat-cepat, lagi cepat lagi bagus, pergi lewat mana yang bagus (emas permata) akan dahulu dicekup orang. Itu kata orang, dan apakah 'kata orang' itu berbuah emas? Apakah kerana pergi lewat, tiada lagi yang bagus-bagus (emas permata) yang tinggal?

Mahu dengar kata Tuhan?

"... Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah, 2:216) [1]

Tidak kira sama ada seseorang itu pergi awal atau lewat, jika rezeki itu sudah ditentukan Allah menjadi miliknya, ianya tetap akan berlaku. Rezeki sudah diketahukan oleh Tuhan, untuk lebih tahu alamat tuannya. [2]


[1] Al-Quran, kalam Tuhan.
[2] Fathuri Salehuddin. (2012). Mudahnya Menjemput Rezeki. Galeri Ilmu.

Isnin, 17 Jun 2013

Rintik-Rintik Di Negeri Kecil




Walau kau duduk di jauh sana - benua hujung, atas dan bawah - apakah kau di sana masih merasa hujan yang turun (dan pernah) di negeri sendiri?


Sabtu, 8 Jun 2013

Membaca III



Kata saya kepada seorang sahabat, bahawa saya ini banyak membaca. Tetapi pembacaan saya seperti membuang masa. Perkara yang lebih penting (pengoptimuman masa) tidak diberi masa yang betul. Berkuantiti, namun hasil bacaan itu seakan tak ke mana, tiada guna, kualitinya entah ada.

Balas sahabat, saya ini yang telah membaca tetap menghasilkan sesuatu. Tetapi masanya belum tiba. Masanya tidak pada masa ini. Bacaan saya tetap akan berhasil kejayaan.

Walakin juga, pesannya sahabat, berkuantiti perlulah dengan kualiti. Pilihlah bacaan yang baik. Pilihlah bacaan yang mendidik. Pilihlah bacaan yang seiring dengan masa.

Terima kasih sahabat, kerana pesanmu itu saya akan terus membaca.


Selasa, 4 Jun 2013

Sesudah Rintik-Rintik Burung Berkicau



Tak salah untuk mengenang . Kerana sesudah hujan turun, hujan itu tak akan turun lagi - buat kali kedua. Turunnya hanya sekali. Tak ada ganti. Hujan memang tetap akan turun, tapi turun seterusnya tak akan sama. Berbeza sekali. Jauh rasanya daripada yang awal.

Lalu, tak salah untuk mengenang - apatah lagi daripada sobat sendiri.



Sabtu, 1 Jun 2013

Membaca II




Kita ini selaku manusia berhidup dengan tunjuk ajar, pengaruh dan paduan orang lain; sebegitu juga dengan hidup membaca.

Seorang saudara (teman yang tak pernah bertemu) ada menyata, bahawa kita ini apabila membaca selalu berkeluh-kesah dan menyesal. Kata kita, tak guna membaca sekiranya tak mengingati isi dan pengajaran yang ada dalam buku.

Saudara itu (teman yang selalu diperdengarkan buah fikirannya dari jauh) lagi menyata, buku itu bukan mendidik kita untuk mengingat, tapi buku itu mendidik kita untuk membuka fikir - kreatif dan kritis.

Kita ini - hampir kesemuanya - bukan manusia dengan eidetic memory atau kata lainnya berminda fotografik. Sungguhpun sekiranya kita hanya mengikuti bulat-bulat - setelah ingat kesemua - kita ini tak ubah seperti sebuah mesin tanpa perasaan dan perbezaan yang merupakan keistimewaan yang lebih hebat yang dihadirkan oleh Allah pada setiap manusia.

Ya, memang photographic memory itu hebat. Dan memori yang biasa-biasa, itu juga merupakan satu kehebatan.

Bagaimana kita menerima - berbeza-beza setiap individu - dan kemudian kita menafsir dan berbuahkan fikiran daripada penerimaan kita - juga berbeza-beza; bukankah itu adalah satu keindahan, daripada Tuhan?

Dan inilah - yang diajar oleh buku.