antologi.dunia: 2012

Isnin, 17 Disember 2012

Ukhuwah


Untuk mengerat ikatan tali yang disimpul, saya perlu sentiasa memegang dengan cermat dan tenteram tali itu. Saya perlu tandakannya dengan suatu ingatan, kerana dengan ingatanlah yang membuat saya untuk terus ke hadapan.

Mungkin apa 'ingatan' itu adalah suatu yang kurang perlunya pada kita saat itu, namun kita mengingatnya sebagai tanda mesra kepada ikatan tali yang telah tersimpul. Kita berkorban sedikit untuk sejahtera yang berlanjutan sampai masa kita bertemu Tuhan.

Dan, mungkin, apa 'ingatan' dan 'pengorbanan' itu akan gunanya di masa depan, saat kita memerlukan.

Untuk ini, kitalah yang memulakan dahulu. Kerana, pastinya, saya percaya dan yakin, Allah akan memberi ganjaran, yang lebih. Saya percaya pada Allah, kekasih saya yang mengirim dan menyemat ini pada hati saya.

Sabtu, 15 Disember 2012

Sebegitulah, Rintik-Rintik Hanya Singgah



Novel Rintik-Rintik Hanya Singgah nukilan hamba. Kredit gambar di sini.


"Novel ini membuktikan, tanpa kisah cinta antara dara dan teruna, 
ia lebih bermaruah dengan pesan-pesan berhikmah."
Petikan penerbit hamba, Pelima Media di wall Facebook.


Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sudi memiliki. Terima kasih buat Saudari Jamilah dan Saudari Suhada yang sudi berkongsi hati. Terima kasih buat penerbit Pelima Media yang sudi menerima naskhah ini. Terima kasih kepada keluarga dan teman yang sentiasa menyokong daripada belakang. Tanpa kalian semua, siapalah saya selaku seorang insan di bumi Tuhan ini.

Kepada Tuhan segala puji dan syukur.

Khamis, 6 Disember 2012

Surat



Sebentar tadi saya berbicara mengenai surat dengan teman. Sesudah bicara terlintas di fikiran saya, orang yang ber-nostalgia, beberapa tokoh yang saya kenal sentiasa (ada) mengutus surat kepada sesiapa yang ingatan. Meski zaman sudah masuk dunia atom dan nano, erti bersurat tidak lekang daripada tangan mereka. Surat menjadi alat yang mengerat, lebih daripada emel mahupun telefon. Seribu satu lebih bermakna, fizikal yang menjadi hidup lebih lama.

Melihat erti sebegitu, saya kepingin untuk sama bersurat. Tapi, pada siapa?

Surat yang dihantar pada diri sendiri? Mengingatkan diri tentang sesuatu vintaj mahupun impian? Tentang orang-orang yang dikasihi? Emak, ayah, embah, abang dan adik? Teman-teman yang pernah dipegang tangan?

Saya kepingin sekali.


Tentang Hujan (Lagi)


UTP - V4 - Kredit teman se-UTP di Facebook.


Ada karya mengenai hujan; selalu menulis tentang hujan; setiap hari kebelakangan ini asyik bermandi dengan hujan - membuat saya rindu pada hujan yang turun dari langit, dan bersama-sama dengannya.

Hujan di (UTP)

Hujan-hujan yang sebegitu sudah lama berlalu, sudah hampir lupa bagaimana rasanya. Sungguh, saya tinggal di bumi ini di tingkat atas sekali. Di bawah lapis bumbung setepatnya. Bila hujan mampir di sini, akan sejuklah saya di atas kerusi. Ada kala berkelubung, menghadap meja dengan kerja mahupun bukan kerja.

Yang pasti tergambar lagi, masih terbayang air yang menderas turun daripada hujung genting merah. Turun laju berjujai - besar-besar, lama. Berhadapan jendela yang terbuka dengan sorong ke kanan, hanya ada saya yang memerhati dengan khusyuk. Tersenyum.

Atau satu ketika dahulu, ketika hujan lebat mampir di Oval Park (Taman Tasik UTP), hujan petang yang tak tersangka-sangka, saya tinggal basah kuyup di bawah pondok di pinggir taman. Sedang menunggu. Dan saat itu, saya berpuisi kuat-kuat - kerana saya seorang dan tak akan ada siapa yang dengar.

Lagi, sehingga kini saya masih tiada lagi merasa hujan ketika pulang jauh - saat berjalan kaki ke luar.

Cuma, saya hanya sempat merasa, hujan rintik-rintik yang menyambut saya kembali ke sini. Yang bagai merindu walau saya pulang (pergi darinya) hanya beberapa hari.

Begitulah kenangan-kenangan yang indah - bernostalgia - di bumi (UTP) ini, yang saya akan pulang menjejak di atasnya kembali. Untuk kesekian akhir nanti.

Hujan di rumah (desa jauh)

Hujan yang turun di sini banyak sekali. Cukup banyak sekali mengisi ruang dan jeda dalam jeluk hati. Tak terlawan di tempat lain kerana kuantiti (barangkali jua dengan kualiti). Mahu diceritakan tak akan cukup kertas kajang berpuluh-puluh dilorek.

Cuma di sinilah, saya mengerti banyak pada hujan. Yang mendatang dan lepas, dikenang-kenang kembali untuk yang mendatang.

Hujan di jauh tempat me-pengalaman-kan (Bandar Sunway-Bangi)

Di sini saya menetap sekarang. Tapi tidak lama. Ianya akan berakhir tak lama lagi. Bertempoh kurang sebulan. Setelah tinggal merasa dan mencicip hampir bertujuh bulan.

Di sini hujannya mencabar. Secabar-cabarnya, saya tidak diripuhkan olehnya. Hujan yang turun dari langit Tuhan tidak mengajar saya untuk bernestapa. Walaupun ada masa hati berkecil hati dalam berhujan, tapi ia dihadirkan oleh manusia, bukan rahmat yang turun ini.

Rahmat, sebegitulah hujan di sini.

Ada satu ketika hujan yang turun menghalang perjalanan pulang, dan itu tidak menghalang untuk selamat pulang.

Ada satu hari hujan turun di pertengahan pulang membuat segera mencari teduhan, dan itu juga tak mengekang, untuk merasa gembira.

Baru-baru ini, hujan yang turun dua hari berturut-turut semasa pulang (sentiasa bermotosikal, berdua pula itu) membikin untuk menyarung baju hujan serba lengkap. Tapi tekal pula untuk meredah pulang. Hujannya amat menduga, melebat, memutih. Sehingga sungguh perlahan - kami menjadi meniti menyeberangi sungai yang ganas.

Sungguhpun demikian, Tuhan sentiasa melindungi - saya dan teman sejahtera di rumah lewat untuk ke hari esok pula.

Hujan-hujan di sini 'besar-besar'. Malah hujan-hujan di sini, bak saya ada katakan kepada seorang teman, tidak mudah diduga sebagaimana di desa jauh. Namun, hujan-hujannya tetap sama sepertimana hujan-hujan yang saya pernah lalui.


-Diari Intern: Tentang hujan di hari-hari terakhir-
-Lagoon Perdana, Bandar Sunway-

Isnin, 26 November 2012

Rintik-Rintik Di Tanah Kontang




"Bila sekuntum bunga desa terpaksa tumbuh di tengah-tengah taman yang amat kontangnya, bagaimanakan bunga sekuntum itu ingin terus berkembang?"


Tentang sekisah kuntum bunga desa, bunga yang tak ternoda. Dipindah dari desa yang membentuk jiwanya, dari taman yang damai, ke taman yang kering, yang merekah tanah menampakkan isi bagi mereka yang tak tekal hati.

Taman yang kontang - taman yang penuh dengan seribu dugaan, panas mendahagakan dan angin kasar yang menyisikkan kulit.

Bunga nan sekuntum, desa jauh datangnya ke sini, di tanah yang memerlukan jiwa sekuat pokok. Yang akarnya menunjang dalam ke pasak bumi - mampu hidup di tanah seribu tahun kontangnya - tak semua kuntum bunga bermampu. Bunga nan sekuntum, kuatnya, tidak banyak kuntum-kuntum lain sama mempunyai.

Ianya tidak putus asa tumbuh sekuntum di tengah-tengah. Justeru, ia juga mampu untuk bermekar, mengembang-gembang.

Jiwa yang seorang - sekuntum bunga - menanti hujan yang bakal datang. Nantikan. Kerana ianya akan datang, itu janji Tuhan. Bumi yang kontang merekah tidak selama kering dihisap airnya pergi. Akan jua datang nanti, rintik-rintik yang membawa lembap subur yang menyegar. Rintik-rintik yang datang di hujung petang, malah di awal pagi, sesudah subuh. Juga, yang datang di tengah malam, melenakan untuk bermimpi impian.

Tanah yang jarang disiram hujan akan jadi wadi sehenti untuk sekalian musafiran. Kerana bunga nan sekuntum, tekal untuk tumbuh dan menggembirakan.

Dengan sejuk nyamannya.

Sabtu, 24 November 2012

Damai (ii)


HADAPAN ini, sering kali angin yang menampar muka membuat saya berkalih wajah. Memandang ke belakang yang penuh berperistiwa lepas. Kerana itulah, gamitan wajah Emak menjadi tayang yang semakin terang. Dan sebab itu saya bersyukur pada Tuhan, kerana tidak menghilang apa yang telah disimpan – diperolehi – pada saya sekian itu. Saat selalu pandang pada langit, dan selalu itu juga saya teringat akan pesan lama dahulu. Titip daripada Emak, walau saya kini sungguh jauh daripada Emak, ia datang tanpa berhenti jemu.

Saya benar-benar ingat masanya ianya bermula – saya masih anak setahun jagung. Emak menitip pesan dari bucu dapur. Bucu dapur tempat hati kami. Berhadapan Emak saya duduk, menghadap ikan bilis di mangkuk hijau yang sudah lama, pudar warna, lusuh pegangnya; dipanggil Emak untuk mengopek. Di situlah Emak bermula, menitip tanpa lokek. Kendatipun, saya yang dititip tiada berbicara apa-apa mula-mula, saya diam sepanjang masa. Untuk berbicara saya anak bertahun kecil, titip Emak payah dierti pada pendengaran pertama. Apa yang saya tahu dan faham saat itu, titip Emak adalah untuk peringatan di masa depan. Titip Emak – bernada dengan kasih seorang ibu – adalah untuk sejahtera saya. Untuk menyambung kata Emak saya masih tidak mampu dengan ilmu yang ada – saya masih anak yang baru menjejak baca di dunia luas. Jadi, saya mengia dengan dengar dan perhati. Begitulah. Emak menitip bukan sehari. Di ruang sama, Emak menitip berulang-ulang, mengingatkan saya. Bertahun-tahun lamanya, hingga saya kini menjejak usia di mana apa yang Emak kata akan membukti.

Berkatnya, usaha Emak yang tak mengenal penat tidak dipinggirkan Tuhan. Titip Emak bukan sebarang titip seumpama di pasir pantai. Yang hilang bekas dan tapak bila ombak menderu. Yang dibiar begitu bila sekalian orang pulang kala malam datang. Yang dipijak orang, hilang – semua tak kisah – bila tiba lagi waktu siang. Titip Emak meresap jauh. Membekas dalam di nubari dalam. Titip Emak sungguh tak dapat dibuang. Titip Emak menjadi pasak, rumah tempat hidupnya pusaka – jiwa saya. Walau ke mana-mana, malah hingga ke masa saya tercampak ke negeri sini – titip Emak bagaikan baru semalam saya mula-mula mendengarnya.

Itulah, saya sungguh memohon pada Tuhan hingga ke hujung usia saya – jangan hilangkan titip Emak yang cukup berharga di hati saya. Saya akan tabah. Musim tengkujuh akan saya teduhkan dengan rumah pusaka teguhan pemberian Emak. Puting beliung tak akan saya gentar. Petir dan guruh tak akan meluka, apatah lagi ribut bertaufan. Saya pegang titip Emak. Saya ketahui, dengannya, saya pasti akan selamat. Titipan Emak yang baik, adalah langkah bahagia ke syurga. Redha Emak, redhanya Ilahi. Kasih Emak, kasihnya lagi ar-Rahim.

Bila saya memulakan injak di alam dewasa ini, barulah saya mengetahui maksud sebenar titip Emak.

Emak menitip hati saya dengan pesan damai. Damai yang ada dalam setiap kisah manusia. Dan saya cukup suka untuk mengulangnya semula – apa yang dipesan Emak – bahawa, damai itu adalah fitrahnya bagi setiap manusia melata. Sebegitulah yang saya dengar dengan hati-hati, sekian masa yang lalu. Di bucu dapur, tempat hati kami. Inilah yang Emak titip dalam hidup saya. Ianya tentang damai dan manusia. Ianya tak dapat dipisah. Seperti ikatan manusia dengan al-Khaliq, yang Maha Menciptakan. Ianya sekecil zarah dan sebesar khalikah alam fana ini. Tak dapat dinafi.

Titip Emak adalah tentang manusia yang asalnya berseorangan. Manusia, sifatnya tak boleh berseorangan – itu pati titip Emak. Emak ada berkata, bahawa kita ini walaupun satu, nanti akan ada dua. Dan daripada dua akan berkembang-kembang. Menyebar serata dunia, menjadi saudara yang akan jauh. Darah merahnya sama, asalnya sama, tapi berpisah daripada cintuhan nan dua. Daripada saudara yang akan jauh – yang tidak kenal – ditentukan Tuhan untuk bertemu kembali, bersemi, dan ia bermula lagi. Menyebar-nyebar, menyambung kehidupan yang telah ada, yang akan berlalu pergi. Kerana itu adalah suratan daripada Tuhan. Tapi ia tetap daripada cintuhan nan dua itu, tegas Emak, tak sesekali dapat dipisah. Hatta mati sekalipun. Walau saudara itu tidak tahu asal-usul siapa diri  – saudara yang jauh – ia tetap berpunca daripada kita, yang mengenal erti damai. Dan inilah, Tuhan itu tak membiar. Lebih-lebih lagi perkara yang kecil dan lama. Itulah yang seharusnya sebenarnya kita kata Emak lagi. Mencontohi perhatian Tuhan. Sebegitulah yang kita harus peluki.

Dan sebegitu itu juga saya nanti, yang akan berlaku pada saya kelak – tuju Emak dengan perlahan-lahan, menguntum senyum – setiap kali menitip pesan. Senyum yang entah akan ada pengganti atau tidak. Tidak ketahuan oleh saya.

Itulah fitrah manusia. Bak Emak dengan ayah dan seterusnya barulah diri saya ada, begitulah resmi yang akan berturutan. Resmi kiri dan kanan, resmi siang dan malam, dan sebegitu juga resam pemuda dan pemudi. Resmi pokok dan benih, resmi hidup dan mati.

Resmi damai dalam hidup manusia.

Damai itu mula-mula daripada kita. Daripada kita – kita benihkan di medan semaian dengan baik-baik, dengan hati-hati. Kerana daripada benih itu akan tumbuh pucuk yang baru, putik yang hijau, bunga yang harum, teduh yang redup – yang datang mengganti kita. Sebab itu kenapa kita harus memilih dengan berhati-hati. Untuk menumbuhkan pohon yang rimbun dan teguh, ianya bukan bermula tika menanam. Sungguhpun ia tetap menjadi, tetapi tumbuhnya akan ada yang kurang. Ianya perlu bermula lebih awal. Itulah – Emak menduga saya – kita perlu memilih benih yang molek, kerana dengan benih yang baik akan jadi baiklah tumbuhnya.

Namun, itu juga bukan yang menjadi tempat damai itu diisi mula-mula. Di akhir duga Emak telah membuat saya berfikir semula. Pesan yang itu – saban menjentik saya dengan duganya selepas hidup dua puluh dua tahun ini.

Di hujung Emak semat pada hati saya, bahawa untuk melahirkan benih yang baik, pokok yang melahirkan benih itulah yang terlebih dahulu menjadi perhatian. Inilah ia – jawapan selepas menyingkap duga . Di sini, ia perlu diisi dengan damai. Dibajai dengan damai. Dihidupkan – ia – dengan damai yang hidup. Pohon yang dijaga baik akan melangkas benih yang elok, dan benih yang elok akan menculalah daripadanya pohon yang lebih elok – daripada sebelumnya.

Titip Emak di bucu dapur – tempat hati kami – sambil kami menghadap kopekan ikan bilis segenggam, di dalam bekas hijau nan lama, nikmat bunyi cur gorengan di kuali berpunggung hitam, kenangan di tengah hari yang sepi tenteram, anginnya tiada tapi cukup nyaman sekali – apakah suatu yang itu perlu diletak terawang-awang sahaja tanpa tali di udara? Titip berulang-ulang, sedari saya baru mengenal dunia luas hingga kini, dunia luas itu digenggam saya. Titip untuk masa depan. Titip ke hujung nyawa, mati. Titip yang berpanjangan, yang bukan untuk saya seorang diri.

Titip Emak yang bermula sekian tahun yang lama itu – tidak setakat mengetuk ingatan saya setiap kali saya mengalih wajah ke belakang – janji saya. Saya akan terus genggam ia. Walaupun saya sudah  kembali memandang ke hadapan.

Seorang lelaki dan pemuda kala ini – saya, Hizul – adalah insan yang telah dititip dengan damai. Anak muda, yang dinyatakan hidup oleh damai.

Dan saya akan terus mengalunkan damai selagi saya hidup berkalung nyawa. Itu janji saya pada bonda. Janji untuk selamanya.


-Muzik latar: Tiada Kata Secantik Bahasa, P. Ramlee-


Teduh



Tentang masa ini - semester ini. Ianya semakin menuju ke penghujung garisan. Kain rentang kian untuk diputusi. Dan saya masih di sini. Masih mendongak langit kala petang kembali mendung, lalu hujan turun mencurah.

Menjengah asar, surau di atas bukit permai ini menjadi tempat saya berteduh. Surau kecil tapi isinya makmur acap kali membuat saya merasa damai yang berbeza dengan tempat lain. Surau kecil, kirinya menghadap padang rumput di bawah. Pandang bola yang akan tenggelam dek hujan bila ianya datang melebat. Terkenang-kenang kenderaan (yang diparkir di sana), jelas tampak seakan ikan-ikan berenang-renang terbang bergerombolan di lautan luas.

Tenggelam di padang bola, dek hujan rintik-rintik menjadi lebat memutih. Nun bukit nan jauh, tak nampak sudah rumah-rumah yang diam, hilang sebentar alam hijau yang masih raya.

Bila menjengah asar di sini, nikmat gembira datang bersama. Gembira kerana saya bertemu masa untuk mengizin untuk pulang ke rumah. Gembira kerana tibanya waktu yang saling mengingati. Setelah sekian masa, asar ini yang selalu mengajak sama-sama, menimbul rasa selesa dan sukarela.

Kerana asar yang selalu, saya menjadi merindu.

Terimbas kisah dahulu, kisah tentang saya - anak kecilan saat itu - yang bersungguh-sungguh, malu pada kawan-kawan yang tahu; "Saat saya sudah habis menghafal, saya mahu sentiasa ingat Tuhan, mahu solat lima waktu." Saya jadi tersenyum kerana peristiwa itu. Kisah saya baru setahunan jagung, berusaha bersungguh untuk bersama dengan Tuhan.

Tapi bagaimana dengan hari ini - yang saya sudah tahu?

Surau kecil yang jasanya besar, saya tak mampu membalas budinya. Namun, setiap benda yang bermula, lambat-laun akan sampai kita ke penamatnya.

Di surau ini telah menimbul banyak perasaan, dan sekarang ini kian tiba masa untuk salam perpisahan. Pulang pada hari ini dan esok kita berjumpa kembali, pulang pada hari terakhir dan itu memang kali terakhir.

Surau kecil tempat berteduh, bukan sahaja memberi teduh pada cuaca, tapi juga teduh pada hati.

-Rindu saat Asar di MPOB, Bangi-
-Diari Intern: Bakal berakhir-

Sabtu, 10 November 2012

Damai (i)



Pada angin yang bergerak membuai lalang dan bunganya nan putih dahulu, saya sentiasa melepaskan diri. Di antara dua pohon rambutan nan rendang, di situlah tempat bermain Di situ saya menyorok kala petang tiba dengan redupnya, dengan baring dikeliling lalang nan tinggi,dan situlah jua kata-kata emak menerawang diri.

"Manusia ini banyak, dan asalnya banyak berasal satu. Daripada satu berbanyak-banyak, berkembang-kembang."

Kita yang seorang akan menjadi berdua. Dan kita yang berdua akan menerus keturunan manusia.
Dan sebelum itu, damai itu terlebih dahulu, terutama dan pertama-tama, kita pasak dan teguhkan. Kerana dengan itu, rumah bertiang seribu baru mampu berdiri teguh dalam ribut taufan – tempat berteduh buat jiwa di layar dunia.

Kisah damai adalah kisah yang amat panjang.


Khamis, 1 November 2012

Mengutip Kacang Panjang Bersama Kenangan (i)



Berkebun berkacang panjang boleh dikatakan sebagai tradisi keluarga saya di desa jauh. Ianya hampir berusia lebih sepuluh tahun. Jika seorang manusia sudah menjadi anak yang sedang menginjak ke alam remaja dengan waktu ini,begitu juga dengan kisah berkebun kami. Saya sudah larut dengan kisah berkebun kacang hampir separuh dari usia saya. Kisah berkebun yang penuh terisi dengan pelbagai suka dan duka, malah dengan peristiwanya saya jadi kenal dengan diri saya.

Kali pertama saya bermula saya masih tak kenal dengan kalian. Malah saya tidak tahu sebeginilah perkenalan saya dengan kalian. Begitu banyak ia telah merubah saya - menanam saya dengan ingatan demi ingatan, membikin saya dengan bergunung semangat - saat saya dengan tunduk di kebun kacang. Saya masih ingat lagi kali pertama ia bermula. Hanya bersekangkang kera di hadapan rumah - tanah wakaf masjid yang kininya sudah ditembus dengan jalan kampung baru bertar. Cuma hanya itu yang menjadi memori saya untuk peristiwa yang lama itu, dan beberapa cebisan yang masih segar menggelintar ruang fikiran.

Kisah saya menanam hasrat di bawah rendang rambutan dengan cangkul di tangan. Dan peristiwa anak kecil yang penakut di waktu malam. Kerana tiada siapa yang tinggal di pondok teduh kami kerana semua orang sudah turun ke kebun kacang.

Saat itu saya hanyalah kurang dua belas tahun hidup.

Ianya memori yang cukup indah. Waktu saya kecilan dahulu, tidak fikir akan masalah hubungan antara manusia, yang ada hanya penuh dengan harapan tinggi demi keluarga - emak, ayah dan embah - hanya itu, yang membuat saya cukup rindu di hari ini.

Berkebun kacang itu pada orang lain ianya tampak biasa. Pada saya, pada kami ianya lebih daripada erti berbudi pada tanah.

Benarlah pandangan orang lain, saya ini insan yang gemar mengenang dan beringatan. Dan atas gelaran itu, saya cukup berbangga.


 

Kabus di Pagi Hari




Kisah zaman penjajahan Jepun, A. Samad Said membawa saya bernostalgia dengan suatu zaman yang berperlahan-lahan. Masa yang penuh dengan kancah, dengan gusar dan kebimbangan - ditukar penulisnya - menjadi sebuah zaman yang penuh dengan harapan dan semangat daripada sisi watak utama, anak kecil Fauzi. Sebuah zaman yang menderita menjadi sebuah zaman yang cukup tenteram (bagi saya).

Fauzi, anak kecil sepuluh tahun, semangatnya lebih daripada orang dewasa. Malah orang dewasa sekalipun tak dapat menandingi semangat anak kecil ini.

Jika Fauzi benar-benar hidup di zaman realiti, pastinya Fauzi membuat saya cemburu. Apatah lagi A. Samad Said, beliau yang telah menghidupkan Fauzi dalam karyanya membuat saya lebih-lebih cemburu.

Saya menjadi hidup dalam Antara Kabus Ke Kabus, dan Antara Kabus Ke Kabus juga membuat saya hidup di dunia yang ada.

Walaupun ianya hanya sebuah novel remaja tetapi ianya lebih daripada itu - ianya sebuah novel filosofi yang berhidup dalam kisah anak-anak.

Rabu, 17 Oktober 2012

Puisi Sendiri


Puisi itu biarkan ia datang sendiri,
mengetuk memberi salam,
tak boleh dipaksa,
demi dan demi, satu atau segugus,
itu lebih bererti, bila berteman hati.


Duduk di malam dengan nikmat yang dicurah sekali beserta guyuran hujan membuat saya ingin berpuisi. Tapi sebenarnya saya tak mahir berpuisi. Jikalau berpuisi, puisi saya masih lagi tak cukup rencahnya. Walaupun demikian, saya punya sebuah buku puisi juga - nukilan dicoret semata-mata untuk diri - juga salah satu anak tangga yang ditekal untuk menjadi penulis puisi yang baik.

Untuk menjadi seorang penulis puisi yang baik ianya perlukan masa yang bukan singkat. Usahanya bertahun, ia tak datang sekelip mata pejam dan buka.  Saya ketahui, untuk menulis puisi yang baik-baik, ia perlukan pemerhatian lebih pada alam dan jua latihan yang berpanjangan; begitu juga harus membaca karya-karya terdahulu yang baik, oleh penulis yang baik-baik.

Setiap orang akan berbeza puisinya sebagaimana penulisnya adalah seorang manusia, yang dijadikan Tuhan tak sama dengan yang lain. Inilah yang indah - mencantikkan.

Jadi, di sini, saya turunkan pra-puisi di halaman awal-awal buku coretan saya. Sebuah puisi yang hanya biasa. Di sini ianya untuk menguatkan diri ini dan sesiapa - semula.


Puisi itu biarkan ia datang sendiri,
mengetuk memberi salam,
tak boleh dipaksa,
demi dan demi, satu atau segugus,
itu lebih bererti, bila berteman hati.


Selasa, 9 Oktober 2012

Warkah Yang Makin Jauh


Menunggu yang dahulu itu

Waktu itu – masa yang dahulu – saat malam makin larut, tapi hati saya masih tak berlarut. Saya masih di bawah pondok – duduk menunggu – di tepi tasik bening, yang tidak jauh dari pintu pagar masuk, yang tidak hilang berhening. Jalan raya di luar pagar masih sibuk malam itu. Menjelang musim perayaan, ramai yang pulang ke desa halaman. Tapi saya masih menunggu – tidak ke mana-mana – akan seorang teman.

Di bawah pondok saya menanti. Di tepi tasik berkocak sepi. Bersebelah dendang keridik dan riang-riang malam. Bersama kelip-kelip yang terbang menerang. Nun jauh sayup-sayup masjid universiti putih benderang. Tak alah lampu neon perang di padang lapang.

Sayup sayu.

Pada malam yang tidak hilang berhening itulah saya menanti teman yang seorang, yang akan pulang terlebih dahulu.

Sahabat pulang jauh dari sini. Dan sahabat nan seorang itu jua pulang membawa hati saya sekali.
Pulangnya saya tak tahu. Apakah  lama atau singkat? Kerana masa depan di tangan Tuhan. Segalanya berlaku kerana jalan yang telah ditentukan.

Pulangnya sahabat saya tidak ketahui. Apakah ia pulang yang yang sementara? Atau pulang yang selamanya? Pulangnya adalah yang terakhir? Menuju ke tempat asalnya datang lahir. Yang kerananya kita tak akan dapat saling melihat lagi, tak akan berjumpa lagi – kerana Tuhan lebih mengasihi – memisah kita, membawa jauh dari sini.

Pulang yang sungguh tak kembali.

Sebegitulah, sebab itu saya menunggu. Untuk melihat sahabat yang pulang dahulu – yang membawa hati saya sekali. Apakah tungguan saya ini adalah tungguan yang terakhir? Perpisahan yang tak akan melanjutkan penantian.

Jika ia adalah yang terakhir saya tidak akan jadi menyesal di hari sudah.

Bertemu yang tak bertentang

Di bawah pondok itu saya menanti. Melihat jalan yang masih tak lengang dan bersunyi. Tak endah pada nyamuk dan serangga yang membatasi. Saya tetap ada – menanti.

Saya menunggu bas yang berselisih. Kerana di dalamnya saya tahu – dengan itulah teman yang seorang akan pulang ke jauh tuju.

Namun saya tak tahu, mana satu bas yang menjadi diam oleh sahabat yang pulang? Demikian saya lalu tidak meminggir kerana tidak tahu – saya tetap menunggu. Setiap bas yang berselisih satu-satu. Yang berhenti di perhentian pengawal, yang perlahan dek bonggol di jalan. Satu-satu saya perhati bas yang pergi. Rupa dan bentuk, warna dan lambang – yang sekinadipercik lampu jalan. Saya menjangka dan menilik, adakah bas itu adalah basnya?

Yang dinaiki oleh teman setia?

Walau saya masih tahu, saya tetap menunggu. Setiap sekian bas yang lalu, sehingga tiada lagi bas yang akan lalu – pergi jauh menuju tuju – pada malam itu.

Walau kita tak bertemu bertentang jasad dalam perpisahan ini, tapi dengan tunggu ini saya tahu saya tak akan lepas untuk pemergian sahabat yang melewati. Walaupun hanya sekadar memerhati – tiada nampak jasad dan sahabat yang tidak mengetahui – saya tak terlepas untuk bersama-sama, melambai pergi.

Ya, sahabat yang seorang itu tak mengetahui saya menunggu, di pondok di hujung tasik yang satu itu. Dan sahabat jua tak mengetahui dia membawa sekali hati ini ke pulang jauh – yang mereda akan pemergiannya.

Pulang bukan hanya pulang
 
Tapi saya tahu dan jelas, akan perkara yang sungguh satu ini.

Iaitu setiap pertemuan ada perpisahan.

Seperti daun di hujung ranting. Ia tidak selamanya melambai bersama angin. Daun nan pucuk daripada kecil menjadi besar. Hijaunya muda menjadi hijau berusia. Sampai satu ketika daun nan pucuk jadi tua, dan berputuslah ia pada ranting dan pokok. Tiba masa untuk angin pula mengucap tinggal padanya. Jatuh ke tanah menjadi kering dan mati. Bersisa hancur dimamah bumi.

Seperti jua rumah tempat kelahiran. Hari ini kita lahir di situ, esoknya kita akan tiada lagi di rumah itu. Kita akan jadi pergi dari situ atau rumah itu yang menjadi tinggal sementara. Rumah kelahiran menjadi kenangan.

Dan jua lagi, pertemuan itu memadankan dan mengisi, dan bila tiba perpisahan, ia makin merekatkan, menambahkan - tidak mengurangi.

Seperti sebuah kisah yang ditulis. Pada awal ia kosong bahkan tiada berbaris. Tapi lama-lama, kerana penulis yang tekal hati yang memulai – kisah jadi siap ditulis. Kisah yang ditulis tidak selamanya berada di tangan penulis. Bila tempohnya tiba, ia harus direla pergi. Kerana ia telah siap, bak anak yang kecil menjadi besar, ia tidak selama dalam genggam tangan emak dan ayah. Ia harus pergi untuk menjadi dewasa. Menjadi sesuatu yang baik yang dicari oleh pencari yang kehausan budi.

Kisah yang dilepaskan tidak mengurangi penulis yang merelakan. Bahkan ia memulangkan kembali kisah yang baik bertambah-tambahan.

Perpisahan membuat kita lebih dekat. Kerana teman yang tiada di depan mata membuat kita lebih mengingat berbanding sewaktu teman ada. Jarak menjadi suatu abstrak. Menjadi khayalan yang tak terasa. Kita mengingat waktu bersama. Sekian peristiwa sejuta warna – yang tak boleh diganti dengan emas permata.

Sungguh, pulang sahabat di malam nan dahulu itu bukan sekadar pulang. Ia pulang yang menguji. Apakah malam-malam mendatang kita akan duduk di tempat yang sama? Melemparkan pandang dan harapan – pada sahabat?

Dan jua pada Tuhan?

Ini warkah yang makin dekat

Suatu yang pergi tidak akan menghilang selagi kita membenanya. Suatu yang mula untuk jauh tidak akan menjadi semakin jauh sekiranya kita tidak meletakkan jauh – perasaan kita.

Sekeping gambar akan terus hidup seribu tahun jika ia dikongsi tidak disimpan seorang diri. Ia akan terus dirasa dan terasa pada sesiapa yang memandangi.

Seperti warkah ini, ia tidak menjauhkan kita, memadamkan kewujudan kita. Kerana warkah ini adalah warkah yang semakin mendekat pada hati – hati ini yang walau ia dibawa sahabat pergi. Kerana warkah ini adalah ingatan, kenangan yang dikongsi.

Sungguh, semuanya berkaitan dengan kita – pilihan kita. Warkah semakin dekat kerana apa yang menjadi pilihan hati.

Dan kerana ingatan kitalah warkah ini bukan jadi warkah yang nian menjauh pergi.

Sungguh, ini warkah yang makin dekat - duhai sahabat. Kerana, ingatlah, selepas setiap perpisahan pastinya ada pertemuan pula menyusul kemudian.


Sabtu, 6 Oktober 2012

Tunggu-menunggu



Sewaktu membacanya mula-mula, ianya seperti memberi semangat kepada saya. Bila sudah lama membaca, dan hampir kepada penghabisan - saya mula merasa lain. Saya terhenti lama kerana perasaan terumbang-ambing. Cukup lama. Namun, saya paksakan diri saya untuk menghabisi walaupun tersekat-sekat - terhenti membaca - cukup kerap.

Hingga ke hujung kisah, Faisal Tehrani dengan larikan tangannya dalam TTD membuat saya cukup cemburu.

Terasa nak lari jauh. Bersembunyi dan diam daripada manusia-manusia.

[Pembacaan][Tamat]



Khamis, 27 September 2012

Kata-Kata Indah Untuk Berbudi



Kerana budilah takkan sesekali susah dibuai, takkan dipanggil takut nan jauh.

Budi itu kisah sejati. Sifat terperi yang patut digenggam, oleh insan-insan yang bernama manusia. Yang mahu bergelar insan sejati.

Berbudi itu mudah. Tidak berbudi itu payah. Lalu, kenapa dipilih suatu yang payah? Sedangkan yang mudah itu ada, sentiasa ada untuk diada - diperoleh dan diberi - kenapa mahu dilaku yang payah jua? Jangan jadi insan yang tak berbudi, kerana itu menyusahkan diri.

Berbudi itu banyak sekali. Tak terhitung oleh diri kita. Apa yang diperbuat, laku yang dilaksana, kisah yang ditahan; budi itu pelbagai hidupnya. Ia ada di sekitar kita, menanti sahaja untuk dicapai dan dibawa ke mana-mana. Sebegitulah budi.

Berbudi itu adalah baik. Kerana ia asalnya baik. Sesuatu yang baik tak akan jadi suatu yang tak baik. Dalam satu hati takkan ada dua sifat yang berbeza. Demikianlah juga dengan berbudi. Sekiranya kita berbudi, kita akan makin jauh daripada unsur yang membinasa. Budi itu berpaling menjadi penyelamat, sedangkan pada peringkat awal berbudi itu adalah menghulur.

Bak kita memasak air dalam berkehidupan sepuluh orang. Air yang dimasak bukan sahaja melepaskan dahaga dan penat untuk diri kita seorang, tapi juga pada sembilan yang lain. Dan yang tinggal di hujungnya bukan cerek yang kosong, tetapi hati yang terlapang - rasa manis sekali.

Berbudi itu pada laku - memberi apa yang bak-baik walaupun kecil, menghulur apa yang ada pada yang tiada, mengadakan yang mudah bagi yang merasa susah.

Berbudi itu pada fikiran - bersangka dengan harapan dan berluas dada, berfikir untuk esok yang lebih baik, yang bukan sahaja untuk diri kita.

Berbudi itu pada kata-kata - menulis suatu yang baik-baik, berkata suatu yang baik-baik. Tiada nista dan hina, tiada tamsil bahaya, tiada rendah moralnya.

Pendek kata, berbudi itu adalah suatu nan sejahtera. Seperti manusia yang bersenyum ikhlas kala susah, sebegitulah budi.

Jadi, kita ini jadilah berbudi.


Rabu, 19 September 2012

Anak-anak Hari Esok Sudah Tiada


Ketemu tandas
anak dibuang,
ketemu semak
anak dibuang,
ketemu tingkat tiga,
anak dilempar.

Khuatir
ketemu esok
anak-anak tak akan ada
Tuhan sudah tak beri.
-Tuhan sungguh murka-


'bonda', 'ayahanda'... jikalau di dunia sini kalian buat saya begini, apakah di dunia sana kelak saya mahu menunggu kalian di pintu syurga?

Sabtu, 15 September 2012

Kucing Mati Yang Berjalan


Seorang tua
dengan kucing tembamnya
yang tak mahu berjalan
malas barangkali
-main-main tak bermaya
dan orang tua itu
menarik sahaja
kucing tembamnya
terus di atas aspal
-begitu sahaja
dan kucing itu juga buat-buat kaku pula

-entah apa-apa kucing itu-

[Mod gelak terkekeh-kekeh]

Jumaat, 14 September 2012

Mohon Emak Menunggu Kita


Panjatkan doa pada Tuhan.
Mohon ketemu emak di sana.
Di pintu syurga.
Mohon emak menunggu kita.
-menunggu kita-


Khamis, 13 September 2012

Warkah Yang Datang Bersama Embun


Pagi ini jadi saksi

Pagi masa ini tandanya adalah pemulaan. Pemula bagi hari baru. Setelah sekian malam yang hening, pagi perlahan-lahan datang bersama embun, dingin dan sepi. Dan, pagi masa ini menjadi simbol pada permulaan – yang bakal ada.

Saat di mana sekian manusia masih dalam dunia khayalan, kita pula bangkit daripada pembaringan. Menyahut lamaran hari baru. Saat mata terbuka, dan saat itulah kita juga tak menyangka langsung dan mengetahui apa takdir Tuhan yang akan bertemu kita di pagi masa.

Setelah siap-siap, kita menuruni tangga yang berbeza lalu berjalan dari dua arah nan lain. Tuhan itu menemukan kita di tengah-tengah sepi kemudiannya – sewaktu kita berpapasan, dalam langkah menuju tujuan yang sama.

Gamam dan terhenti.

Ia tak terduga. Sebuah pertemuan yang kita tak duga. Tapi, inilah ketentuan Tuhan. Pertemuan itu berlaku setiap kali hari baru bertandang. Pertemuan itu adalah pemberian-Nya. Dan kini saat itu adalah milik kita.

Pagi yang bermula setiap kali malam menjauh pergi itu; pertemuan dalam waktunya menambah erti. Setiap pertemuan itu anugerah Tuhan. Dia mengetahui benar-benar apa yang kita tak tahu, bahkan Dia juga lebih mengetahui benar-benar tentang apa yang kita tahu.

Pagi bening itu tatkala kita menuruni tangga kita tak tahu akan pertemuan yang bakal bersua. Sewaktu kita memandang sekitar yang sunyi dan menoleh belakang yang kita telah lalui, kita tak fikir langsung akan perihal pertemuan ini. Apakah yang berdetik? Hatta semasa kita berjalan di laluan itu, kita tak jangka takdir Tuhan itu sebenar hanya selangkau sahaja di depan kita.

Namun, takdir Tuhan tentang pertemuan ini sudah dirancang. Ia berlaku pada sesiapa, juga pada kita. Bersemi dengan embun pagi yang lembut turun, ia menjadi lebih terasa pada hati.

Teman yang kita temui itu, adalah anugerah berharga pemberian Ilahi. Ia adalah pemberian yang terbaik yang Tuhan tetapkan untuk kita. Tiada yang tak baik pemberian-Nya. Sama ada kita suka atau tidak – ia sudah ditentukan.Dan ia tetap yang terbaik sebagai pemberian daripada Tuhan. Hikmah di sebalik apa yang diberikan-Nya itu kepada kita cukup besar sekali. Sebegitulah pertemuan yang tak terjangka pada pagi bening ini, dan begitu juga sekalian perkara yang mendatang.

Tidak semua temu itu bertemu kala saat indah

Ketemuan itu adalah tak disangka-sangka, tak terjangka. Kita ketemu dengan teman selepas menuruni tangga, sewaktu langkah tenteram, menuju tempat yang sama. Namun, tidak semua seperti kita.
Bertemu teman setia itu di bawah rahmat Ilahi. Waktu susah, waktu senang ia tetap ada menghadirkan diri. Bertemu teman setia tidak hanya pada waktu bahagia. Ia berlaku bila-bila.

Jika kita bertemu di bawah cahaya bulan, ada yang bertaut dalam gelap gelita teraba-raba. Sesiapa yang ketemu saat senang gembira, ada yang berjumpa bertaut hati dalam ruang walang berduka pula. Ada yang mengikat bila saat kelahiran, begitu juga ada bertemu bila hadir waktu kematian. Kita bertemu selepas menuruni tangga dengan selamat, dan kita juga mungkin akan ketemu selepas berjatuh tangga dengan tidak selamat. Bila aman menebar, bila perang melanda; bila cerah tersebar, bila malapetaka alam mengada; pertemuan dengan teman yang bakal setia itu tetap berlaku selagi Tuhan mengizinkan.

Tuhan itu amat mengerti. Pertemuan yang diatur setiap satu ada maksud istimewa. Ia bukan sia-sia. Apatah lagi bersifat suka-suka.

Seperti kita bertemu dalam langkah kita di dingin sepi, tapi terjangkau kita pertemuan saat panas berbahang dan kita menangis bersendiri? Pertemuan yang sebegitu punya makna yang apa? Pertemuan saat yang itu apakah nilai dan rasa?

Pertemuan dan hati

Kala embun datang di waktu pagi, ia akan pergi kala matahari meninggi. Kala pagi kita bertemu setia, pada petang hari ia mungkin akan bertamat. Entah selamat, entahkan tidak. Kala pagi kita membuat kenal, tidak dinafikan kala itu kita pun boleh membuat musuh kental.

Pertemuan itu adalah sesuatu yang perlu dihati-hatikan. Silap langkah perkara yang baik akan bertukar tidak baik.

Teman boleh menjadi lawan. Dan lawan itu tidak mustahil pula akan menjadi lawan. Kerana embun yang turun kala dinihari boleh membawa lapang tenteram, kerana embun jua kita mampu dapat sakit dan demam.

Pagi masa ini tandanya adalah pemulaan. Saat mata terbuka, dan saat itulah kita juga tak menyangka langsung dan mengetahui apa takdir Tuhan yang akan bertemu kita di pagi ini – dan sepanjang perjalanan hari.

Saat embun menyelimuti dinihari dan saya berjalan di jalan sepi bersimbah lampu jalan perang. Di tengah jalan saya terfikir, apakah akan ada sesiapa yang saya temui berpapasan dengan diri ini  – yang sudi untuk menjadi teman sejati.

Tuhan itu yang menemukan. Sungguh pasti.

Rabu, 12 September 2012

Kucing Tak Jauh Jalannya



Melihat seekor anak kucing (di rumah) menyedarkan saya bahawa walaupun seseorang itu tak jauh perginya dari tempat lahir (merantau melihat dunia, berpelusuk sini dan sana) tak bererti bahawa dia tidak punya apa apa (ilmu) dan bersia-sia kehidupannya. Mungkin apa yang dimilikinya itu ada sesuatu yang berharga dan tidak sama daripada mereka yang berbuat sebegitu (merantau). Bahkan jua mungkin apa yang menjadi empunya itu adalah lebih tinggi atau lebih berharga.

Seperti anak kucing di depan mata; mengumpul sekali sekalian kucing yang saya pernah bertemu. Kucing tak jauh jalannya, Sekalipun jauh bila dibuang tuannya, sekali itulah dia akan berjalan pulang; dia tak akan lalu jalan itu untuk kembali ke tempat buangnya semula. Malah jika seekor kucing berjalan jauh, hanya dalam berkampung kecil, meredah semak lalang dan senduduk, hanya menyeberang kebun kecil berkelapa sawit. Tidak jauh jalannya kucing, berpusing-pusing sepelaung lama-lama dan akhirnya pulang ke rumah kita semula.

Begitulah kisah kucing. Kisah itu juga pada manusia. Tidak semua manusia berkebolehan untuk pergi jauh.

Lalu Tuhan itu berbuat sebegini (takdir ia) tidak sesekali sia-sia.

Manusia itu tidak sama. Setiap kita berbeza-beza. Setiap kita punya sesuatu yang tidak dipunya oleh manusia yang lain.

Ada ketika jawapan daripada mereka yang tidak pergi jauh itu menggamamkan mereka yang telah pergi jauh - tidak terlawan untuk membalas kerana kebenarannya. Seperti jua dengan anak kucing yang sering menggesek tubuhnya pada saya memohon manja - ia memaling sesuatu pada saya.

Untuk diam, untuk pandangnya semula dengan seribu muhasabah diri.

Kucing tak jauh jalannya. Tapi Allah tak memberi sia-sia. Pada perjalanan kucing sepelaung jauh, banyak perkara yang ditemunya, yang menjadikannya seekor kucing.

Sabtu, 8 September 2012

Teh, Ayah dan Hujan Di Larut Malam Itu


Masih saya ingat lagi peristiwa itu. Masih malar hijau dan segar, selaksana pucuk muda selepas embun pagi. Walau ia sudah lama dahulu. Sedahulu pagi yang kembali ke malam nan hitam gelita, yang mendingin lebat selepas hujan serta angin.

Di kala hujan perlahan bereda. Kami teringat kisah lama dahulu. Atap zink kami yang lama, teratak yang kami sewa - tempat kami menumpang teduh - berdendang dengan hujan yang perlahan. Perlahan-lahan renyai hujan di larut malam, perlahan-lahan jua kami berteman atap yang sudi menghibur - kami di desa nian sunyi ini.

Hujan bereda menyelimuti sejuk yang terasa menyucuk jua ke dalam selimut. Datang merengsa tubuh ayah bonda, yang sesuntuk hari mencari rezeki untuk keluarga. Mampir melena hati anak-anak untuk masa depan. Datang menenteram jiwa desa yang sudah tenggelam, dalam pinggiran manusia yang masih belum pejam.

Di kala hujan turun bereda. Malam larut itu, kami tetap bersama ayah. Menghadap dalam bicara tenang, tak senipis wap yang naik menghilang.

Kami menghirup teh daripada cangkir ayah, sesudah ayah menghulurkannya pada kami. Sesudah ayah tak mahukan lagi - ayah memenuhkannya lagi buat kami. Kami mencecah dengan biskut mati dan roti lama. Kami menghirup dalam sunyi malam, yang kami juga sunyi berbicara,

Ayahlah yang mengajak kami minum bersama. Dipelawa cangkirnya, disua pada kami.

Kami senyap tapi ayah yang memulakan bual dan pesan. Berbicaralah ayah dengan hati-hati - hatinya - dan kami mendengar perlahan-lahan, selaksana malam itu yang perlahan-lahan juga melepasi ke dinihari.     

Masih terasa lagi manis susu dalam teh itu. Dibuat beserta kasih emak. Diisi lagi dengan pemberian ayah. Bicara ayah turut lagi terngiang-ngiang -  pada kami anak-anak ayah yang ayah sayang.

Malam yang perlahan-lahan itu, dengan hujan yang perlahan-lahan - terus saya ingati hingga ke hari ini. Kami mahu terus menyimpan kenangan.


Kisah bersama; kisah mengopi bersama ayah



Khamis, 6 September 2012

Menulis Dengan Ber-Hati


Menulis itu juga memerlukan masa bertahunan. Ia tak boleh berdiri teguh memegang hati saya dalam masa sehari. Begitu juga pada hati anda. Tulisan jadi istimewa dan enak bukan kerana sekejap, ia akan jadi indah jika dilatih sentiasa - bukan diperap.

Menulis itu ketrampilan peribadi. Menulis unsur yang tidak baik, maka tidak baik dirinya penulis. Menulis suatu yang baik, maka sejahtera juga si penulis. Sebab menulis itu datang daripada hati berkehidupan sendiri, apa yang ditulis adalah isi hati yang membentuk luar diri.

Begitulah, menulis itu bergantunglah sungguh pada individu. Semangat yang dia kutip, jatuh dan bangun dia perhati - apa yang dia rasa itulah yang dia titip kembali.

Menulis itu sebenarnya sungguh baik buat mereka yang ber-hati.


Rabu, 5 September 2012

Tahun dan Hari



Saya tak berupaya untuk mencontohi kebaikan yang dilakukan oleh insan lain - sebetul-betulnya sebagaimana yang mereka lakukan. Apa yang mereka lakukan bukan dibuat atas perbuatan tekal dan berhati yang terbina dalam masa sehari.

Sebegitulah, saya yang lagi tak berbuat manakan mampu untuk mencontohi mereka dalam bina tempoh sehari. Untuk mengungguli perbuatan 'hati' bertahun oleh hati yang baru cuba meneguh asas sejemang masa sedetik - jatuh terjelepuk kita di lantai kerana ujian tekalnya.

Membaca dan memikirkan kebaikan mereka dalam mengingati nilai berkehidupan seorang manusia - pada Pencipta, pada Kekasih, pada yang Kasih - membuat saya cukup cemburu mahu mencontohi. Mengingati apa yang mereka ingati adalah perkara yang paling bahagia dan damai.

Ingat Allah, tiada payah menjadi susah. Ingat Kekasih, hati berpalit menjadi bersih. Ingat yang Kasih, hati rusuh menjadi tenteram.

Jadilah sebegitu pada jiwa dan hati, siapa yang tak mahu mencontohi?

Perbuatan bertahun mungkin tak terbanding namun tiada makna untuk saya jadi pasif dan khali. Walaupun sedikit, dikit demi dikit - dilalukan pada hari-hari - saya mahu untuk mencontohi.

Walaupun ia perbuatan berhari - ia akan jadi bertahunan satu masa nanti.

Jumaat, 31 Ogos 2012

Negara Yang Tak Merdeka


Merdeka sana.
Merdeka sini.
Bunga api warna-warni.
Malam oren bertambah oren.
Angkat bendera - kibar-kibar julang tinggi.
Tunjuk patriotisme - kononnya - selaku anak 'merdeka'
Ramai-ramai kumpul-kumpul.
Peluk-peluk, mata ke atas tangan ke bawah.
Merayap-rayap mencari rezeki di kawah.
Kawah milik orang.
Suka-suka antara dua - jantan dan betina.
Sambut-sambut dari dataran hingga masuk kelambu.
Sambung suka-suka 'bersuami isteri'.

Tiga puluh juta pulusnya habis untuk sia-sia.
Untuk malam ini yang 'bebas' dan 'merdeka'.
Dan esok hari negara bertambah dua juta lagi rakyatnya.
Hasil malam yang sungguh tak merdeka.



-31 Ogos 2012, Bandar Sunway, 12:36A.M.-

Isnin, 27 Ogos 2012

30 Hari


Hari berhari.
Masa bermasa.
Detik berdetik.
Yang diambil untuk dicicip adalah satu persejuta.
Dibina - apa yang ada - tak nampak binanya.
Satu persejuta takkan jadi kota raya pada sejuta itu - oleh satu itu.
Hari yang lepas - masa yang terlepas.
Kita jadi apa sebesar kuman.
Kota raya dunia nyata pun mengetawa.
 Pada kita.


Isnin, 6 Ogos 2012

Sepanjang Hari Alam Berjalan


Ibarat burung pergi pagi, mencari rezeki. Untuk diri dan anak di sangkar. Dan ia pulang nian petang, dengan tembolok penuh, rezekinya lapang. Di sangkar semula, ia menanti, hari esok pula.

Ibarat buah di hujung dahan. Daripada putik menuju masak. Dihasil pokok menuju ranum. Untuk dirasai sekalian menanti. Buah manis yang terlekat di hati.

Ibarat dedaunan yang rimbun menghijau. Di dinihari embun ditadah. Menjelang siang, embun pun pergi. Sepanjang siang dedaunan jadi menunggu, dengan panas berencah. Dedaunan hijau meneduh pula, sesiapa di bawah. Sesiapa yang hadir berlindung daripada panas, tiada ia usir pergi. Ia terima dengan suka hati, menghimpun sekali manis. Bila malam menjelang, dedaunan hijau mengutip embun kembali. Untuk mendinginkan malam, sesiapa yang menghuni alam, membuat tidur menjadi tenteram.

Ibarat hari-hari yang datang, hari yang baru mengganti yang lama. Hari lama akan pergi. Takkan berulang buat kedua kali. Hari baru akan pula menjadi lama, sebelum diganti oleh hari yang lebih baru. Dalam hari-hari yang datang, mentari dan bulan silih bergilir. Bila siang menjelang, mentari hidup bertandang, bila malam berlabuh, bulan pula senyum hingga ke subuh. Mentari menghulur hidup dan hangat, dan bulan mengendong tenteram dan rehat.

Ini kisah hidup dan mati. Seperti suria dan bulan sepanjang hari, bersilih ada - hidup dan mati jua begitu, silih berjalan di putaran. Manusia itu ada hidup, kemudiannya ia tiada. Tiada ia tinggal kosong, malah diganti jua. Bak hari-hari yang datang - hari lama akan pergi, tak kembali, dilalu pula oleh hari baru, yang hidup hanya sehari. Bak manusia juga, hidup di dunia fana hanya sekali. Selepas itu ia akan pergi, takkan ada lagi, melainkan diganti, oleh insan lain pula - insan yang lebih baru daripada ia.

Dalam hidup dunia fana ini, kita manusia hidup bersaling. Bagai burung yang mencari rezeki, seperti buah di hujung dahan, seakan dedaunan yang meneduh redup.

Kita tak nampak sangat kaitan, namun ia tetap berada di putaran. Hidup saling membantu. Burung kerana buah, buah bersama dedaunan, dedaunan berhidup burung. Kesemua hidup dalam mentari dan bulan, dalam hari-hari mendatang. Saling-menyaling memberi, berputar pada paksi, hidup dan mati. Kerana itu adalah hakiki - berkehidupan dunia. Tiada yang berseorangan dirinya, melainkan bertukar dan memerlukan jua beri oleh yang lain.

Sabtu, 4 Ogos 2012

Warkah Saat Jatuh Luka


Memaut dan dipaut

Dalam menuruni jalan berbukit yang melandai, daripada perlahan kita menjadi laju. Di tengah turun tak sempat untuk berbuat apa-apa, kaki kita terpelecok, dan kita jatuh. Berguling-guling sampai ke bawah. Terperosok ke dalam semak, terbaring, dan kita menjadi luka jua parah.

Sahabat itu adalah jelas merisaui, bila dia melihat kita menjadi melaju. Sahabat itu memecut mengejar, apabila kita mula jatuh. Dan sahabat itu menjadi pemaut, menjadikan tubuh badan sendiri benteng, menahan kita daripada terus berguling. Sahabat itu tampil mula-mula mengangkat memapah – membawa kita menuju ubat dan rawat. Atau sahabat itu sekali mengikut dengan cemas – bila kita diangkat – demi memastikan bahawa kita akan selamat.

Kawan itu mungkin sebaliknya. Tetapi tidak terlalu terbalik.

Kawan itu melihat kita melaju, dan dia sekadar tertanya.  Kawan itu sekadar gamam, saat kita jatuh berguling. Dan kawan itu juga mengejar - selepas itu. Kawan itu membantu tapi mengikut kadarnya jua. Dan wajahnya hanya teriak kecil sahaja.

Sahabat itu berbeza daripada kawan. Sahabat itu mengorbankan diri, manakala kawan itu sekadar mengikut kadarnya.

Namun, sahabat itu takkan datang jikalau kita tidak menjadinya terlebih dahulu. Berilah dahulu sebelum diberi kembali. Pautlah dahulu sebelum kembali dipaut. Peganglah pertama-tama sebelum dipegang semula. Cintailah mula-mula sebelum dicintai semula.

Sahabat ibarat pokok yang memberi teduh setiap masa. Kawan ibarat awan redup tak tentu bila ia ada. Mahu dapat sahabat, jadilah sahabat dahulu.

Sebegitulah. Apabila ada teman kita yang hampir jatuh berguling, bersegeralah untuk menyelamat dan menghalang. Bila ada teman menghadapi susah, hulurkan diri agar ia menjadi kebah.

Jadikan diri kita mula-mula memaut teman. Nanti di lain masa, kita akan dipautnya semula.

Ikatan yang ini bukankah indah?

Khamis, 26 Julai 2012

Saat Bila Kita Jadi Sungguh Rindu


Saat Bila Kita Jadi Sungguh Rindu

Kalau kita hanya seorang diri. Tiada siapa menemani. Hanya gelap menjadi teman. Dan kita menjenguk ke luar tingkap. Hanya hening dan dingin. Terasa sejuk embun malam. Dan kita menjadi ingat. Pada kenangan kelmarin. Kenangan indah yang mungkin tiada datang lagi. Yang mampir hanya sekali. Atau bakal datang entah bila.

Dan saat itu kita sungguh sungguh rindu.

Tiada yang lebih mendengar luahan hati, selain daripada Ilahi yang sentiasa memerhati.


Rabu, 25 Julai 2012

Jagung Terbang Sembari Membimbit Buku


Secangkir Kopi Semanis Puan - M. Nasir

"Saya mahu menjadi petani yang kebunnya berjuta, dan jagungnya terbang nun jauh ke hujung dunia. Dan juga mahu membawa buku untuk generasi muda. Seraya saya senyum tampak gigi, keluknya sampai mencintuh mata dan telinga."
"Tersenyum kita, sememangnya!" 
Jamal Ali


Selasa, 24 Julai 2012

Pulang Di Tiga Ramadhan



Malam terang. Kredit.
  
Atas bumi,
Berjalan kaki,
Tegak mentari,
Hanya sendiri,
Di tiga hari,
Musafiran ini,
Jauh lagi.

Hidup kita,
Bukan bersahaja,
Perjalanan lama,
Ada makna,
Ramadhan mulia,
Tempat bersua,
Menebus dosa,
Menjernih jiwa.

Tiga waktu,
Sudah berlalu,
Bakal yang lalu,
Usah ditunggu.

Pulang segera,
Berhatilah berjiwa.





Ahad, 15 Julai 2012

Menulis VS Merasa



"Kita diuji dengan apa yang kita tulis. Dan saya tak nafikan bahawa ia sungguh sukar. Ada masanya saya tak mampu bertahan. Menulis suatu itu adalah lebih mudah. Dan merasa suatu itu sebenarnya sungguh payah."
Jamal Ali

Jumaat, 13 Julai 2012

Di Depan Masa


"Saya mahu menjadi seorang yang cukup mengenang. Dan saya mahu menjadikan ia hidup lebih lama daripada hidup saya. Ianya mudah, sama ada menanam ratusan pokok yang memberi teduh - diberi nama satu-satu. Atau menulisnya menjadi buku, supaya ia hidup dalam ribuan hati yang membaca. Takkan jadi tua tulisan. Hanya akan mati bila dilupakan."
Jamal Ali


Lelaki Yang Sebenarnya Kacak



Hati yang berbudi. Kredit.

Manusia dan Mata

Manusia itu selalu melihat perkara di luar pertama-tama. Dan jikalau melihat pada peri dan tubuh manusia, wajah itu yang menjadi perhatian terutama sekali.

Manusia dikagumi dilihat daripada wajah. Dipuji kerana ketampanannya. Ini bicara kebanyakan manusia yang melata. Bagi mereka status ketampanan itu adalah nilai paling besar yang menjadikan sifat dan sikap manusia yang lain terkebelakang jauh.

Wajah yang tampan itu dikatakan segala-galanya.

Tapi adakah sebegitu? Apakah manusia itu - lelaki - yang berwajah hebat, putih, tiada secarik parut adalah manusia (lelaki) yang sebenar-benarnya tampan dan kacak?

Penilaian manusia selalunya mendiskriminasi. Pada mereka apa yang dilihat mata  (luaran tubuh) itu adalah yang terbaik. Tidak sama sekali sebenarnya.

 
Lelaki Yang Sebenarnya Kacak?

Jikalau mahu melihat lelaki yang kacak itu sebenarnya payah. Ia bukan mudah. Ibarat mahu mencari sebiji manggis yang cantik dan putih isinya. Yang terlindung dek kulitnya nan tebal. Kita tak tahu sama ada isinya itu baik atau tak, bergetah atau putih bersih, melainkan kita mengopeknya terlebih dahulu. Bila sudah terbuka, terdedah segala peri diri.

Sebegitulah lelaki yang kacak sebetul-betulnya. Ia bukan dilihat daripada wajah dan tubuh.

Ia dilihat pada hatinya.

Jikalau wajah itu tampan dan lawa tapi hati busuk dan perangainya yang tiada berbudi, tiada guna wajah yang dikatakan tampan itu. Tiada hebat langsung dirinya. Lagi dan lebih baik seorang yang dikatakan hodoh dan buruk tetapi dirinya cukup punya budi sejati. Yang ini punya darjat yang lebih tinggi.

Allah tak pandang tampan dan sasa sebagai penilai diri.

Allah lebih memerhati mereka-mereka yang berbudi hati.

Inilah lelaki yang sebenarnya kacak. Yang hati dan perinya cukup berbudi sejati walau wajah dan tubuh tak seberapa.

Lelaki yang sebenarnya kacak itu tak semestinya perlu punya muka yang kacak. Jauh sekali.

Rabu, 11 Julai 2012

Hari Selepas Hujan; Di Pantai Ini Kita Tenteram


Dua hari sudah berlalu sejak kisah kita ini yang berusaha. Dalam perahu yang beroleng-oleng dipukul ombak; dibawa ke kiri, ditolak kanan; kita akhirnya ditarik semula ke pantai yang damai. Selamat daripada mara bahaya. Tenteram kita untuk memandang kembali ke laut penuh gelora.

Hikmah Tuhan itu banyak, dan ini memang kita tak dapat menafikannya. Cuma, sama ada kita mahu sabar atau tak; itu Tuhan telah beri kepada kita. Untuk memilih.

Di pantai yang bebas gelora ini, hati kita berkecimpung dengan hati yang cukup bersyukur. Pengaturan Azza wa Jalla itu benar-benar tak dapat diduga. Manusia ini tidak akan sesekali jadi peramal yang tepat. Apa yang kita sangka terbaik untuk kita tidak semestinya itu menjadi seperti yang kita mahu. Tapi bagi sesiapa yang telah masuk ke dalam dunia tawakal dan redha, kita mula memahami bahawa setiap takdir Tuhan Taala yang dilungsurkan itu sebenarnya adalah yang terbaik. Semuanya adalah terbaik.

Hatta ia kegagalan sekalipun, ia adalah yang terbaik; bukan tidak baik.

Kejayaan itu memberi kekuatan untuk teguh. Dan kegagalan itu pula bukan untuk menjatuhkan. Gagal dan susah itu tidak menanda kita ini tidak baik berbanding teman-teman yang lain.

Cuma, yang pasti, yang telah melihat betul-betul pengaturan Tuhan itu pada hidup kita, pada kegagalan itu ada makna tersembunyi yang lebih lagi. Ia bukan setakat untuk mengajar dan membentuk. Ia seperti pantai dengan laut yang bergelora, yang jauhnya hanya sebatas hempasan ombak. Ini hakiki kegagalan. Dan malah ini juga kehidupan keseluruhan.

Sudah dan payah itu adalah ujian daripada Tuhan, sebagaimana manusia yang setiap kita akan memasuki dewan peperiksaan pada hujung masa (semester). Dan susah dan payah itu bukan menunjuk kita ini malang - tidak sesekali. Jalan yang telah diaturkan itu adalah jalan yang lurus. Dan ada masanya di tengah jalan ada lubang yang membuat kita terlambung, ada lopak air yang membuat kita basah, ada sesak yang membikin kita lambat. Sebegitulah sudah atau ujian. Setiap orang tidak sama.

Di sini kita kembali, di tepi pantai ini, kita menenteramkan hati yang sebentar tadi penuh dengan rusuh dan kegusaran. Tetapi Tuhan itu telah menarik kita kembali. Berpijak di sini menghadap musibat yang baru terlepas sesungguhnya membuat kita berfikir terawang jauh.

Walakin kita sudah kembali berpijak di darat, tak semestinya kita tak akan dikunjung oleh musibat ini semula. Tapi, tak bermakna juga ia bukan tanda bahawa Tuhan itu tak akan menarik kembali (kasih).

Pilihan kita adalah terus berusaha melawan gelora badai dengan keringat peluh dan penuh berharapan, mengikut tali kejap yang menarik kita; dan tidak putus-putus, katalah, inilah pemberian yang terbaik untuk kita; biarpun hujan turun lagi kelmarin (hujan yang nyata, tanda rahmat).

-Diari Intern 5:Hari yang baik-
-(Post demi post ini bukan kerana rungut dan berputus ada, tetapi ia adalah pemberi semangat)-
Terima kasih Allah.

Selasa, 10 Julai 2012

Bukan Alter Ego (Ya!)



"Saya ini berbeza amat dengan kawan-kawan dan berbeza itu bukan bermakna saya ini lain pada benda yang bukan-bukan. Di sini - mungkin mereka itu yang jauh ditinggalkan oleh saya. Saya ini orang yang kuat mengenang. Dan kenang saya bukan setakat dalam fikiran. Saya menukarnya menjadi ganjaran (insyaAllah). Yang lebih kekal daripada mereka - kawan-kawan yang juga mengenang. Ini bukan suatu ego, apatah lagi alter ego (ya, saya tiada personaliti kedua yang juga bukan-bukan) tapi pemberitahuan; bahawa, jangan diduga air tenang tiada ada apa-apa."
Jamal Ali


Selasa, 3 Julai 2012

Ini Cita-cita




"Mungkin insinyur itu cita-citanya (bagi saya) tak lama. Saya nak jadi seorang petani yang yang menjaja hasilnya di tepi jalan sambil membaca buku, di tengah hari, dan angin di sisi."
Jamal Ali



Mat Som mengajak saya mengimbau jauh


Terima kasih kerana Mat Som. Kredit.


Ini buku ketiga Datuk Lat yang saya miliki selepas Kampung Boy dan Town Boy. Terkenan sebenarnya daripada judul yang awal-awal.

Saya orang nostalgia. Tak padan dengan zaman, saya pemuda zaman kini dengan jiwa zaman dahulu. Sebegitulah, kisah zaman pasca-merdeka (zaman 90-an dalam buku ini) sering membuat saya mengimbau jauh. Saya terkenang dan tertanya-tanya, bagaiman rasanya hidup di zaman tersebut? Pastinya jauh berbeza dari masa sekarang. Bagaimana dengan manusianya?

Apakah sudah banyak beza dengan kita hari in - sikap, sifat, jiwa dan hati?

Benar bak kata penulis novel Tunjuk Langit Cinta dan JD6271, Puan Shahrizad Shafian, saya ini insan yang jiwanya jauh. Saya tak menafi - kerana bagi saya (pemahaman diri sendiri tentang jiwa jauh), saya seorang yang fikirnya sentiasa menjangkau daripada apa yang ada kini.

Naskhah Mat Som yang kini di tangan saya benar-benar memujuk saya untuk sentiasa sebegitu.

Saya terkenang keluarga di desa jauh. Saya terkenang sunyi dan damai yang menapak impian saya. Saya terkenang janji.

p/s: Saya berharapan sungguh-sungguh agar buku ini disambung. Jika ada saya pasti tak akan lepaskan untuk menjadi pengimbaunya.

Ahad, 1 Julai 2012

Pesta Buku Selangor 2012 : 29 Jun hingga 9 Julai


Kredit

Sesiapa yang ingin bertemu dan berukhuwah, jemputlah datang ke pelancaran novel saya di Pesta Buku Selangor pada 1 Julai 2012, bermula 3.00 petang hingga 4.00 petang di pentas utama. InsyaAllah saya akan berada di sana.


Rabu, 27 Jun 2012

Saya lelaki yang bukan berseorangan


Jangan menjadi perisau,
Kepada mereka yang tak mahu merisau diri sendiri,
Engkau tidak sekali dipulau,
Kerana manusia seperti daratan tanpa pantai,

Tidak perlu menjadi mereka,
Kerana engkau adalah ciptaan Tuhan yang terbaik,
Jadilah dirimu sendiri; karena itu adalah anugerah,
Sekali dalam seluruh ciptaan.

Pegang dirimu dan hatimu,
Seperti dikau pegang tiang; yang membuat kau terus berdiri hingga kini.

Katakanlah;
"Saya ada Allah, Tuhan saya; ini sudah cukup membuat saya bahagia."

Sambungan daripada :Saya lelaki yang berseorangan:

Isnin, 18 Jun 2012

Saya lelaki yang berseorangan



Seorang di sini bukan kerana tiada teman. Seorang di sini kerana saya lelaki yang tak punya. Benda yang ada jauh sekali saya tertinggal di belakang. Hendak dibanding, saya lelaki yang kekurangan seribu perkara. Jikalau dikumpul di tengah padang, maka terpinggir saya di tersudut sekali. Apatah lagi bila menghadap cermin, seluk kiri koceknya nol, seluk kanan poketnya berlubang, seluk dada sakunya tak berisi. Losong segala-galanya. Oleh itu acapkali saya memetik diam menjadi teman. Itu lebih baik.

Lelaki ada egosentrik mereka sendiri, dan kadang-kala saya kepingin juga begitu. Bangga dengan diri, dengan apa yang punya. Tak malu untuk menunjuk. Suka bila mendapat perhatian. Bukan bangga dan ego yang bukan-bukan, tetapi sekadar tiket untuk menjadi mesra dan mudah bergaul bila berkelompok.

Walakin, saya tidak dapat menjadi sebegitu. Tak mampu.

Akan tetapi, saya kerap kali teringat dan merasa bahawa apa yang Tuhan itu adakan pada saya adalah tanda Dia kasih pada saya. Tidak mengapalah, biarlah saya menguntum senyum sahaja sekarang ini. Moga juga untuk esok hari.

Sungguh, sudah ia jadi sedekah. Tuhan pun tak murka.

[Bersambung]

Ahad, 17 Jun 2012

Tunggu Teduh Dulu menyimpan janji


Tunggu Teduh Dulu - Kredit.

Saya tak nafikan, daripada Tunggu Teduh Dulu saya memperolehi semangat untuk menulis Rintik-rintik Hanya Singgah - meskipun saya menulisnya tanpa membaca terlebih dahulu Tunggu Teduh Dulu.
Rintik-rintik Hanya Singgah bukan cerita seperti Tunggu Teduh Dulu. Apatah lagi, Rintik-rintik Hanya Singgah tak dapat dibanding dengan kekuatan Tunggu Teduh Dulu. Ibarat langit dengan bumi.

Saya tak nafikan juga bahawa Tunggu Teduh Dulu adalah antara buku-buku terawal yang menjadi koleksi dalam kutubkhanah saya - sekitar dua tahun lalu (waktu kini 2012). Akan tetapi, Tunggu Teduh Dulu tidak pernah saya habisi. Hanya sekadar membelek beberapa muka surat terawal dan akhir, serta menghayati kaver yang bagai menonjolkan kisah-kisah yang dibawa di dalamnya. Malah, novel ini saya pinjamkan dalam pegangan seorang sahabat dalam tempoh yang cukup - sebagai tanda bahawa saya tidak punya keinginan untuk membacanya waktu itu.

Sungguhpun demikian, benarlah kata-kata Faisal Tehrani, 'Tuhan selalu punya rahsia'. Saya memulakan kembali pembacaan Tunggu Teduh Dulu beberapa minggu sebelum menjalani praktikal industri.
Dan kala itu, barulah saya sedar bahawa hikmah Tuhan itu cukup banyak.

Hingga ke hari ini saya masih belum melunaskan pembacaan Tunggu Teduh Dulu. Pembacaan berdikit-dikit saya namun tampak memberi lebih kelebihan dalam merasai novel semangat ini.

Tunggu Teduh Dulu menjadi peneman sementelah berjauhan daripada desa jauh - yang menyimpan semangat saya. Dan di sini, semangat itu dikendong bersama Tunggu Teduh Dulu, mengingatkan saya bahawa kehidupan itu sungguh banyak dipeluangkan Tuhan.
Sebegitulah, Tunggu Teduh Dulu - benar-benar membuat saya untuk terus menekal saya pada impian masa depan.

Saya meneguh tapak saya bersama Tunggu Teduh Dulu.

Apa katanya, jika 'Sekejap Redup Datang' di 'Negeri Jauh', saya sabar menunggu izin Tuhan untuk dua ini. Saya terhutang budi pada Tunggu Teduh Dulu sungguh banyak.



Jumaat, 15 Jun 2012

Tuhan Tak Pernah Meminggir Sesiapa (ii)


Sesi pertama

Utama terkemudiannya, kita perlu bersangka baik dan bersikap positif. Mental dan fizikal. Kita hadapi sebarang yang ada dengan perasaan syukur dengan pemberian Tuhan yang terbaik untuk kita ini - takdir Dia.

Sungguh, barulah kita mudah untuk lungsur ke hari-hari mendatang.

-Diari Intern 4:Masuk Hari Baru-
Hati pun baru

Khamis, 14 Jun 2012

Tuhan Tak Pernah Meminggir Sesiapa


Sekarang ini ada berlaku sesuatu yang genting. Masalahnya membuat keputusan itu terbahagi-bahagi.

Namun, ada tiga perkara penting yang perlu menjadi ingatan kita. Untuk terus ke depan.

Satu, setiap perkara yang berlaku adalah takdir. Ia adalah pilihan Allah untuk kita, pilihan yang terbaik. Semua jalan yang ditentukan-Nya kepada kita adalah yang terbaik.

"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Surah al-Baqarah (2:216)

Cuma kita sahaja yang memilih untuk menjadikannya tidak baik.

Dalam setiap takdir Allah itu, kita perlu berfikir lebih dalam lagi. Jangan hanya bermain kocak di permukaan air, tapi selamlah lagi tangan hingga ke dasar. Tidak Tuhan menjadikan pilihan-Nya ini sebagai sesuatu yang tak punya makna - sesuatu tak berguna dan bererti. Yang keduanya, sebeginilah - ada hikmah yang tak ternilai dan dijangka di balik kisah yang berlaku. Yakinlah, Tuhan tak pernah meminggir kita. Setiap kesulitan pasti ada kemudahannya.

"...tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." Surah Asy-Syarh (94:5)

Tiga, seperti yang sudah dipetik dahulu - Tuhan tak pernah meminggir sesiapa - bila ada orang yang menolak kita, akan ada orang yang akan menarik kita semula. Ini adalah aturan Tuhan. Buat baik dibalas baik, buat nista dibalas juga dengan nista.

Inilah hidup kita.

-Diari Intern 3: Menghadapi Insan-insan-
Jangan susah hati
 

Selasa, 12 Jun 2012

Sinopsis - Rintik-rintik Hanya Singgah


Rintik-rintik Hanya Singgah. Kredit

Rintik-rintik Hanya Singgah adalah kisah seorang pemuda - Rifqi Sabran namanya, seorang mahasiswa.

Dalam kehidupannya di universiti, Rifqi Sabran menghadapi kesulitan dalam pembelajaran. Musibah itu tampak merundum semangat dan moralnya. Dia hampir putus asa. Rifqi Sabran hampir bertindak di luar batasan.

Namun, Tuhan itu tidak sesekali membiar hamba-Nya berseorangan. Seorang pemuda yang tak dikenali - berambut serba putih - datang tak diduga. Pemuda itu adalah takdir, dan Rifqi Sabran diberi peluang. Satu nasihat dikirim oleh Tuhan. Kerana Dia sayang.

Rifqi Sabran disedarkan bahawa penawar itu ada pada kehidupannya. Hanya dia yang mampu menyembuhkan dirinya.

"Temuilah tujuh nan tiga dalam bertujuh masa. Tujuh anggota, tujuh sifat, tujuh manusianya. Dan semua tujuh akan pulangnya pada nan satu." Itu pesan pemuda tak bernama.

Lalu, Rifqi Sabran mula berkembara dalam kehidupan. Kehidupan biasa, tapi isinya penuh makna. Satu demi satu jawapan bertemu dan ditemu. Saling berkaitan, ada siratan. Kisah sahabat. Kisah di tengah malam, dalam sunyi, balik renyai hujan, bawah sinar lampu jalan. Kembara mimpi. Kembara lampau. Kisah bila abah pulang. Setiap satu mendatang dengan maksud tersendiri.

Semua kisah adalah hujan rintik-rintik. Ia adalah kisah hati. Kisah janji.

Pada penghujung hari ketujuh, Rifqi Sabran telah kembali untuk mendongak. Di tepi tasik, berhampiran masjid bercitra putih - tempat pertemuan permulaan kisah - dua insan tersebut kembali bertemu. Di situ, misteri segalanya perlahan-lahan terungkai.

Tuhan tak sesekali membiar ia sebegitu. Begitulah hidup kita.

-Rintik-rintik Hanya Singgah bukan kisah duka dan luka pada hujan. Ia kisah gembira dan syukur. Bak rintik-rintik yang turun, ia hanya sekejap.

Novel ini sudah boleh dibeli di sini.


Jumaat, 8 Jun 2012

Hati Di Tengah Kota


Tengah hari di kota metropolitan - juga di tengah kota - saya hadiri buat seketika.

Mengadakan diri dalam kalangan manusia berstatus 'elit' dan 'kemewahan duniawi' tidak menjadi gamitan.

Saya manusia tak ber-ada. Saya manusia yang tak terpandang dek manusia. Namun, saya tahu saya manusia yang sentiasa menjadi pandang Tuhan. Allah itu Maha Melihat. Sungguh.

Saya tak berseorangan. Ada seorang insan yang tak dipeduli oleh manusia-manusia kota - seperti saya. Dia tak terpandang langsung oleh manusia yang kejar mereka hanya berkisar tentang dunia.

Dia seorang insan yang menjadi lihatan Tuhan selebih-lebihnya. Dia dipandang Tuhan, dan Tuhan turut mengongsikannya dengan saya.

Hadir dia membawa diri saya jauh dari tengah kota. Terbang jauh daripada segala kesesakan yang menghelakan nafas. Datang dia di depan mata, membuat saya mahu bersamanya. Itu lebih baik daripada hidup mengejar bisnes berjuta yang memandang kepada makan kenyang diri sendiri sahaja, langsung tak dipedulikan kisah orang di sebelah.

Wanita berbaju lusuh dan berselipar itu mengingatkan saya pada tampang rinduan.

Hidup kota sebegitu banyak yang tak ambil peduli. Lapar sakit jauh daripada dikisah.

Tuhan beri saya pandangan yang menjangkau fikiran. Banyak manusia yang hanya diberi untuk melihat di luar. Sedikit yang diberi peluang untuk melihat di dalam. Dan selebihnya, cukup sedikit yang dikurniakan untuk menjengah selangkah daripada itu - menjengah lebih dalam.

Daripada luaran menimbulkan suka. Dalamnya pula muncul rasa menidak. Fasa seterusnya, ini yang lebih besar - kita mengutip pengajaran dan makna yang tersembunyi.

Meski dia - wanita itu - tiada apa-apa pada pandangan manusia yang lainnya. Sungguhpun dia mungkin tiada apa-apa. Tapi pada Tuhan, dia pasti ada sesuatu yang jauh bezanya. Dan Tuhan itu mengongsikan sedikit kepada saya agar saya mengerti, untuk mengongsikannya dengan yang lain.

Sehingga ke hari ini saya masih terkenangkan sayupan matanya yang memandang langit kota. Itu yang membekas kepada saya. Mengertikan manusia lain menurunkan semula pada diri kita. Mengingatkan manusia dengan rasa simpati dan ber-Tuhan pastinya ada ganjaran yang diadakan kembali daripada Allah.

-Diari Intern 2: Mengutip hati-
Allah itu tidak pernah lupa

Selasa, 5 Jun 2012

Bila Kita Jadi Tak Suka


Kata orang kalau kita tidak suka akan sesuatu perkara lalu janganlah diteruskan lagi.

Namun, selalu menjadi keadaan, perkara yang tidak disukai itu diteruskan juga. Kerana terpaksa jawapannya. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, dilakukan juga oleh kita.

Ada juga perkara yang tidak disukakan itu berlaku pada masa pertama-tama kita bertemu. Ragam manusia menjadi sebab, perasaan bimbang serta tidak tahu menambah keliru. Lalu, hati kita berkata benci. Kerana bimbang dan takut pada yang masih tak pasti, masih tak wujud. Yang tiada ketahuan pada kebiasaan kita.

Semua takdir Tuhan pada kita adalah yang terbaik. Ada hikmah yang dijanji pada yang menyedari.
Buat waktu ini, mungkin kita merasa tidak suka. Tidak mengapa, serahkan semua pada Tuhan. Kita merancang dan Dia, lebih daripada menentukan. Dia tahu mana yang baik untuk ciptaan-Nya.

Hadapi hari-hari mendatang dengan hati yang baik. Jangan dilayan hati nan rusuh kerana tidak suka. Pandang di langit, tetapkan hari demi hari jangan jadi sama.

Pada benda yang kita tak suka, kita meniti hati-hati dan baik-baik. Pasti, ada ganjaran daripada Tuhan yang memerhati.

-Diari Intern 1:Menjelang waktu pulang-
Moga esok akan jadi lebih baik

Khamis, 10 Mei 2012

Kata-kata Yang Indah Untuk Hati - Rinduan


Kata-kata indah itu - rindu. Kredit.

Kata-kata adalah ubat yang terbaik. Ia penawar yang mujarab. Dengan kata-kata manusia yang jatuh boleh bangkit. Dengan kata-kata manusia yang berpatah boleh bercantum kembali.

Manusia dengan kata-kata tidak boleh dipisahkan. Ibarat langit dengan bumi. Ibarat bunga dengan embun pagi dingin - kembang si bunga, bersyukur kerana datangnya embun yang meneman dengan dingin tenangnya.

Bahkan, ibarat manusia dengan Azza wa Jalla - baik dan indah sekali.

Kata-kata yang indah itu adalah rinduan. Bila kita bertamu seorangan, bila kita mengingat sambil berjalan, bila kita senyum memandang alam terbentang, bila kita pandang ke belakang - kita melampiaskan rindu - sebegitulah.

Dan kata-kata yang indah itu bukan setakat datangnya daripada kita sahaja.

Kata-kata yang indah itu datangnya juga daripada Tuhan - pastinya sekali - ketika Dia rindu pada kita.

Saban ketika.

"Pergilah pada hamba-Ku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."

Begitu firman-Nya, Tuhan yang rindu pada kita. 

Dia mengirimkan hadiah istimewa pada kita. Pesan dari jauh, dipesankan melalui malaikat-Nya. Kata-kata yang indah untuk hati - rinduan Dia pada kita.

Terkesima kita di sini kerana rindu Tuhan pada kita. Sebak kita di sini kerana kasihnya Dia. Kita tak berseorangan kerana rindu-Nya.

Allah sentiasa rindu pada hamba-hamba-Nya. Dia pesan dari jauh. Asal tempat yang ingin sekali kita pergi - untuk bersama-Nya, untuk duduk di sisi-Nya. Ibarat anak kecil mahu duduk di peha bonda, malah lebih daripada ini.

Tidak mampu terbayang oleh kita, RINDUAN asalnya kita ini datang.

Kata-kata yang indah untuk hati itu berupa banyak. Sebahagiannya - ia adalah rinduan - seperti ini. Kata-kata yang indah ini tidak mampu ditampung kita seorang sahaja.

"Pergilah pada hamba-Ku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya."

Tuhan itu rindu - dan kita juga mahu rindu...

Perihal Gembira Yang Tak Berkesudahan I


Hujung semester sudah makin mampir. Harinya yang boleh dibilang dengan jari - malah boleh dipatah senang sekali - sudah menunjuk bahawa masa itu cepat sungguh berlalu. Bak kata orang pejam dan celik - pada awal pertemuan - pejam dan celik, maka sampailah kita di hujung tahun.

Walaupun semester kali ini telah mengundang banyak memori yang tak ternilai, namun, ia tetap masih tidak mampu untuk menyedarkan saya sepenuhnya tentang hakikat dan realiti sebenar - sebuah masa!

Ya, saya katakan ia sebenarnya pilihan tentang diri saya.

Empat perkara yang perlu saya disedari.

Masa itu berjalan - peristiwa itu tidak kekal - kenangan itu memori - dan masa silam takkan dapat dipusing.

(Ya, takkan dapat dipusing).

Bagaimana saya mahu menghadapi semua ini? Formula apa yang perlu saya diamkan agar saya takkan jadi menyesal di kemudian hari?


***

Dan kenapa saya harus menyesal?

Saya mahu memikirkannya akan ini - akan satu hakiki manusia, bila diambil tenanglah dan jayalah anda, bila dilupa - jangan menyesal di hari sudah.

Peristiwa itu masa~

Akan saya kenang selagi masa ada - akan saya sebar seluruh dunia.
 

Isnin, 7 Mei 2012

Apa-apa Hidup Manusia Adalah Terbaik





...Sobel cuba menunjukkan dalam bukunya bahawa Galileo adalah orang yang menganggap bahawa hidup manusia, seperti apa-apa pun jalannya, adalah anugerah terindah daripada tangan Tuhan dan bahawa manusia "mesti menerima nasib buruk bukan hanya dengan berterima kasih, melainkan juga dengan rasa syukur yang tidak terbatas kepada yang Maha Pemberi, yang memberikan penderitaan itu agar kita terhindar daripada cinta berlebihan terhadap hal duniawi dan meninggikan fikiran menuju hal yang ilahiah.

-Biblioholisme: Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Pencintanya-



Sabtu, 21 April 2012

Pada Tulisan-tulisan


Setiap penulis yang melorek kata-kata pastinya tidak lekang untuk meletak sebarang hasrat dan impian pada apa yang ditulisnya.

Hasrat untuk masa depan, impian untuk meraih bahagia, cita-cita demi hati, harapan untuk diri dan mereka yang berada di sisi.

Begitu juga dengan diri saya.

Saya menulis untuk memberhentikan masa. Menjedakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam lipatan hidup diri agar ia menjadi sebuah rasa.

Kerana apa yang ditulis bakal kekal selagi dunia masih ada. Dan ia akan dibaca oleh mereka-mereka yang mencari hikmah, walau saya sudah pergi nanti.

Dalam tulisan inilah saya menghentikan kisah-kisah yang pernah saya rasa. Merakamnya seperti video yang mengundang erti kelmarin, menangkapnya seperti gambar yang punya seribu erti. Kisah gembira mahupun kisah duka.

Itu yang saya mahu letak, agar rasa yang dahulu - perkara silam - bakal dirasa oleh mereka yang mendatang. Agar mereka tidak lupa.

Saya jeda kisah gembira, agar yang membaca hatinya akan mengucap syukur. Malah moga ia menjadi pengingat, buat diri sendiri yang mungkin terlupa.

Kepada asal saya, saudara yang terletak kasih saya, tentang teman-teman yang menjadi hati.

Saya jeda kisah luka, agar yang menatap akan memandang langit Tuhan. Moga ia menjadi kekuatan, kepada yang jatuh semoga ia kembali berdiri.

Kepada manusia saya memberi - meskipun hanya sedikit diperolehi hatinya mereka - agar mereka tersenyum pada esok hari.

Pada tulisan saya simpan dan hentikan masa, saya sebar melalui utusan. Surat atas angin saya lungsurkan, saya mahu sebarkan kepada semua.

Mengenai sahabat yang saya lupa, ia membuatkan saya untuk mengingati semula.

Walau saya sudah jadi tiada, tulisan yang saya lakar mungkin tidak seberapa. Namun mereka-mereka yang membaca, kata-kata di atas lembaran-lembaran moga-moga menjadi doa mujarab.

Doa untuk mereka sendiri.

Doa untuk keluarga dan saudara saya.

Doa untuk teman-teman pernah saya ketemui, walau saya pernah ada menghancurkan hati mereka.

Saya pasti mati. Tapi tulisan saya akan hidup lebih lama daripada saya. Semoga dengannya, ia memanjangkan doa saya kepada mereka-mereka yang saya kasihi.

Sungguh, semoga dengan tulisan saya ia makin mendekatkan diri ini kepada Tuhan yang Satu, tempat saya meletak segala-galanya. Yang memangkin semuanya.

Saya insan biasa, masih mencari...

Rabu, 11 April 2012

Rindu Ibu



Koleksi puisi-puisi menjelang remaja. Kredit

"Sungguh halus dan berseni. Minda terasa dibelai-belai oleh perkataan yang sebenarnya tidaklah 'bombastik' pun, tetapi tenunan perkataan-perkataan Pak Samad merupakan seni bahasa yang mengasyikkan. Juliana Es, Goodreads 

Kumpulan puisi kanak-kanak menjelang remaja karya SN A. Samad Said ini menghimpunkan 101 buah puisi. Sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan remaja yang ingin berjinak-jinak dengan puisi. Ia digarap dengan bahasa yang mudah, diksi yang tepat dan akan cepat dihadam oleh khalayaknya.
Menurut beliau, "Dalam dunia kesusasteraan Melayu, saya rasa, puisi kanak-kanak yang mudah, tapi indah, inilah yang terlalu kurang. Tidak saja oleh kerinduan yang saya katakan itu, tapi rasa tangungjawab juga merangsang saya untuk dengan payahnya menyudahkan antologi puisi ini. Saya percaya kanak-kanak memang perlu didedahkan kepada puisi-puisi yang mudah, tapi indah."
"Makanya, di sini saya sempat menyudahkan - dan memilih hanya yang mudah, baik dan indah - 101 buah puisi yang saya senangi, malah sayangi. Hanya sebuah - "Merindu Buku" - yang pernah tersiar, sementara yang lain baru kali pertama diperkenalkan dalam antologi ini. Kerana susunan temanya yang terpilih, bertingkat dan bersukat, maka saya kira antologi puisi ini sesuai untuk pembacaan kanak-kanak menjelang remaja. Petikan kata-kata SN Datuk A. Samad Said di, Ujanailmu

***
Ini buku yang menarik-narik hati saya. Buku ini masih belum disentuh tangan lagi - belum ada. Saya menyimpan hasrat untuk menjadikannya sebahagian daripada diri. Akan saya jadikan koleksi puisi-puisi menjelang remaja ini sebagai buku wajib beli bila saya berkunjung ke pesta buku terbesar di Malaysia kelak pada hujung bulan kelak, insyaAllah.

Bila pandang nostalgia, saya pasti koleksi puisi ini akan menenggelamkan saya lagi dalam keasyikan kenangan yang damai. Saya akan menanti di sini dengan senyum di hati.

Jumaat, 6 April 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Pesan Mengenai Doa



Pesan mengenai doa. Kredit.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Satu ketika ada seorang sahabat saya memberi pesan – pesan mengenai doa. Kata sahabat.

Doa itu bila-bila. Doa itu bukan setakat selepas solat atau bukan sewaktu hujan turun sahaja.”

Benarlah kata sahabat itu.

Manusia ini hidupnya berharapan. Tanpa harapan manusia itu bukan seorang manusia. Tanpa harapan manusia itu akan mati – bukan sahaja hati tapi tubuh peri. Dalam kehidupan – manusia ini bergantung tali – dan tali itu asalnya daripada Tuhan. Tanpa tali itu, manusia itu tidak berupaya. Malah, tanpa tali itu, manusia tidak akan sesekali wujud.

Manusia itu berharapan dan bergantungan – kepada Tuhan tempat asalnya datang. Sahabat berkata lagi.

“Manusia itu tidak lari daripada berdoa. Mereka jelas dan sedar akan doa itu, namun acap kali mereka tidak sedar yang mereka sedang berdoa.”

Saya kala itu hanya cuba menghadam baik-baik kata-kata sahabat itu. Kemudiannya sahabat menyambung kata-katanya.

“Bila wajah memandang sesuatu, mereka berharapan. Bila mereka melangkah dan menghayun mereka berharapan. Bila mereka mahukan sesuatu sudah jelas-jelas mereka berharapan. Inilah manusia. Inilah kita.”

Apa kaitannya – harapan dengan doa?

“Apakah kita tidak menyedari. Doa itu kebergantungan. Bergantungan itu adalah fitrah. Harapan itu juga adalah kebergantungan. Maka, harapan itu doa, dan doa itu harapan. Dua-dua berbeza pada huruf dan tutur, tapi pada makna ia sama.”

Begitulah kata-kata sahabat. Benarlah, manusia itu bergantung kepada Tuhan. Tanpa Tuhan manusia itu sia-sia. Tanpa Tuhan manusia itu akan mati, bahkan tidak akan ada. Namun, tanpa manusia Tuhan itu tidak apa-apa, Dia tidak rugi.

“Namun, harapan akan tinggal harapan. Kerana manusia berharapan tanpa diletak Tuhan dalam rasa berharapan. Mereka berharapan kepada sesuatu yang tak berupaya, sesuatu yang tidak sepatutnya. Mereka mahukan harapan itu terbang, tetapi mereka tidak mengenakan sayap padanya. Kalau terbang sekalipun, tiada tuju, tiada hala. Hanya terbang di awangan, yang akhirnya akan jatuh terkapai-kapai ke bumi semula”

Sahabat berkata lagi – mengakhiri pertemuan kata-kata.

“Harapan itu setiap masa. Doa itu setiap masa. Ingatlah Tuhan setiap masa. Barulah Tuhan akan ingat kita juga. Setiap masa.”