antologi.dunia: Warkah Dari Jauh
Memaparkan catatan dengan label Warkah Dari Jauh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Warkah Dari Jauh. Papar semua catatan

Sabtu, 16 November 2013

Warkah Ke Masa Depan (Mengenang)



Sekeping kertas baru

Hari itu kita masih lagi muda belia beramai-ramai berhadapan sebuah mesin yang sedia mengetik masa untuk berhenti. Masing-masing dengan kerenah dan gaya, yang mahu ianya – masa yang dihentikan itu – menjadi suatu kelainan dan terutamanya sekali, suatu yang indah.

Masa yang berhenti – menjadi sekeping memori.

Sungguh, masa itu benar-benar berhenti, dan di hujung waktu menjengah senja kita menerima sehelai memori yang boleh diusap licin dek tangan, dihidu harum dan ditatap selagi mata masih mampu menatap, sembari bibir tak lekang dengan senyum. Memori itu yang mana warna petang di dalamnya tak akan berlalu gerak sampai bila-bila, tetap kekal dengan warna asal – warna petang perang dan sungguh muda – selama-lamanya, tak makan dek gerak masa.

Ya, waktu hari itu kita masih muda.

Bila kita sudah bubar, memori yang setiap kita terima tanpa beza, apa di dalam helaian hanya tinggal sejarah lama. Apa yang ada di dalam helaian, apakah mampu diputar kembali, berulang-ulang, berkali-kali, seperti mana yang telah berlaku, tiada beza pun walau seinci, walau sedikit?

Kerana masa akan bergerak, tak punya daya ditahan-tahan.

Manusia akan berubah, bersilih ganti, hidup dan mati.

Cuma, kebanyakan kita, memori nan sekeping tak lama di tangan. Barangkali tangan menjadi jemu.
Disimpan memori dalam lipatan, disendirikan di situ berteman gelap dan hingga kala semut yang membuat sarang. Lama sekali.

Sebegitu, banyak orang selalu buat.

Sekeping kertas kusam

Hari ini, kita belek koleksi-koleksi memori. Kita terjumpa memori hari itu. Kepingan itu kita usap, tatap dan hidu, seperti kali pertama dahulu saat ianya masih tak berwarna kusam. Masih dengan bau ceria, rasa hangat, penuh dengan hati waja, terisi semangat bertinggi langit, tampak kaki nan cekal, mata cemerlang. Hari itu waktu gemilang.

Wajah seorang-seorang masih muda.

Wajah seorang-seorang masih ada di dunia.

Dan kini kita pula sudah di sini. Dengan wajah berbeza, kulit berbeza, rambut berbeza, dan apa yang kita ada di tangan sekarang juga berbeza – tak sama seperti dahulu, dalam memori hari itu. Apa di tangan sudah makin bertambah – pelbagai perkara.

Keping memori nan sehelai barangkali bakal menguja, dan membuat kita sedikit kagum tentang perkara yang lepas yang kita bandingkan dengan perkara yang sekarang – yang kita telah usahakan dan kita dapat.

Apa yang kita usahakan, dan apa yang kita telah dapat?

Di dalam sehelai kusam barangkali saat kita masa kecil diri dan tak punya apa-apa. Tapi saat itu Tuhan jadikan masa yang terbaik. Masa usaha – untuk merubah dunia dengan merubah diri pertama-tama. Masa cita-cita di mana kita mahu membawa sekali sesiapa yang pernah berada di sisi – bersama-sama ke puncak tertinggi. Bukankah waktu itu masa kita berjanji untuk tidak sia-sia?

Yang penting, hari itu adalah waktu kita beramai-ramai – bersama-sama.

Suatu masa yang tak akan lagi menjadi sama.

Pada hari ini kita bukan lagi muda belia. Sudah dua juta langkah kita meninggalkan hari itu, dan apakah dua juta langkah boleh diundur begitu mudah? Sungguhpun, langkah-langkah itu seiring dengan tahun, lalu pastinya langkah-langkah itu tak sedikit pun boleh disentuh. Bahkan ianya tak sesekali mampu disentuh – untuk diubah, untuk kembali dari hari ini ke hari itu.

Cuma, di hari ini, kita hanya mampu untuk mengenang, mengimbau. Suatu kisah di mana kita bercita-cita, berimpian mulia.

Namun, helaian memori nan sekeping jangan terus disimpan sahaja di dalam koleksi. Teperuk, terperam lalu bila sampai ke tangan generasi mendatang – tak ada langsung ia bererti. Helaian memori, bukalah dan lekatlah di dinding dengan kata-kata perangsang bahawa itulah harta yang kita mahu amal dibawa ke anak cucu. Waktu kita beramai-ramai, pusakakan kepada generasi baru.

Helaian memori sekeping kusam, tataplah sebelum pergi untuk bertanggungjawab mahupun mencari rezeki. Tataplah kembali ketika pulang – ketika membuka pintu ianya terpampang. Tataplah sebelum pergi berjuang. Tataplah ketika datang generasi baru, moga ia menguatkan. Tataplah sebelum beradu, tak mustahil ianya kali terakhir.

Kita jangan sekali menyesal. Ingatlah peristiwa hari itu, hari asal dan usul, hari siapa diri kita yang sebenar, hari di mana kita beramai-ramai sebelum kita menambah lagi ramai-ramai.

Hari di mana kita beramai-ramai sebelum kita menjadi seorang.

Semoga, di hari mendatang kita akan menjadi kembali beramai-ramai, bertemu semula dengan puas – mulia dan abadi – sesudah perjuangan pikul lelah masing-masing tamat serta lunas, kala Tuhan menjadi saksi.

Inilah moga masa depan terakhir.

Rabu, 17 April 2013

Emak




Bila jauh saya mengenang, kenapa bila dekat saya tak lalu memandang - emak.

Setajam tenung orang saya tentang, lihatan mata emak yang biasa - saya tak mampu membalas.


Kredit status sahabat: Hafizan Halim



Selasa, 9 Oktober 2012

Warkah Yang Makin Jauh


Menunggu yang dahulu itu

Waktu itu – masa yang dahulu – saat malam makin larut, tapi hati saya masih tak berlarut. Saya masih di bawah pondok – duduk menunggu – di tepi tasik bening, yang tidak jauh dari pintu pagar masuk, yang tidak hilang berhening. Jalan raya di luar pagar masih sibuk malam itu. Menjelang musim perayaan, ramai yang pulang ke desa halaman. Tapi saya masih menunggu – tidak ke mana-mana – akan seorang teman.

Di bawah pondok saya menanti. Di tepi tasik berkocak sepi. Bersebelah dendang keridik dan riang-riang malam. Bersama kelip-kelip yang terbang menerang. Nun jauh sayup-sayup masjid universiti putih benderang. Tak alah lampu neon perang di padang lapang.

Sayup sayu.

Pada malam yang tidak hilang berhening itulah saya menanti teman yang seorang, yang akan pulang terlebih dahulu.

Sahabat pulang jauh dari sini. Dan sahabat nan seorang itu jua pulang membawa hati saya sekali.
Pulangnya saya tak tahu. Apakah  lama atau singkat? Kerana masa depan di tangan Tuhan. Segalanya berlaku kerana jalan yang telah ditentukan.

Pulangnya sahabat saya tidak ketahui. Apakah ia pulang yang yang sementara? Atau pulang yang selamanya? Pulangnya adalah yang terakhir? Menuju ke tempat asalnya datang lahir. Yang kerananya kita tak akan dapat saling melihat lagi, tak akan berjumpa lagi – kerana Tuhan lebih mengasihi – memisah kita, membawa jauh dari sini.

Pulang yang sungguh tak kembali.

Sebegitulah, sebab itu saya menunggu. Untuk melihat sahabat yang pulang dahulu – yang membawa hati saya sekali. Apakah tungguan saya ini adalah tungguan yang terakhir? Perpisahan yang tak akan melanjutkan penantian.

Jika ia adalah yang terakhir saya tidak akan jadi menyesal di hari sudah.

Bertemu yang tak bertentang

Di bawah pondok itu saya menanti. Melihat jalan yang masih tak lengang dan bersunyi. Tak endah pada nyamuk dan serangga yang membatasi. Saya tetap ada – menanti.

Saya menunggu bas yang berselisih. Kerana di dalamnya saya tahu – dengan itulah teman yang seorang akan pulang ke jauh tuju.

Namun saya tak tahu, mana satu bas yang menjadi diam oleh sahabat yang pulang? Demikian saya lalu tidak meminggir kerana tidak tahu – saya tetap menunggu. Setiap bas yang berselisih satu-satu. Yang berhenti di perhentian pengawal, yang perlahan dek bonggol di jalan. Satu-satu saya perhati bas yang pergi. Rupa dan bentuk, warna dan lambang – yang sekinadipercik lampu jalan. Saya menjangka dan menilik, adakah bas itu adalah basnya?

Yang dinaiki oleh teman setia?

Walau saya masih tahu, saya tetap menunggu. Setiap sekian bas yang lalu, sehingga tiada lagi bas yang akan lalu – pergi jauh menuju tuju – pada malam itu.

Walau kita tak bertemu bertentang jasad dalam perpisahan ini, tapi dengan tunggu ini saya tahu saya tak akan lepas untuk pemergian sahabat yang melewati. Walaupun hanya sekadar memerhati – tiada nampak jasad dan sahabat yang tidak mengetahui – saya tak terlepas untuk bersama-sama, melambai pergi.

Ya, sahabat yang seorang itu tak mengetahui saya menunggu, di pondok di hujung tasik yang satu itu. Dan sahabat jua tak mengetahui dia membawa sekali hati ini ke pulang jauh – yang mereda akan pemergiannya.

Pulang bukan hanya pulang
 
Tapi saya tahu dan jelas, akan perkara yang sungguh satu ini.

Iaitu setiap pertemuan ada perpisahan.

Seperti daun di hujung ranting. Ia tidak selamanya melambai bersama angin. Daun nan pucuk daripada kecil menjadi besar. Hijaunya muda menjadi hijau berusia. Sampai satu ketika daun nan pucuk jadi tua, dan berputuslah ia pada ranting dan pokok. Tiba masa untuk angin pula mengucap tinggal padanya. Jatuh ke tanah menjadi kering dan mati. Bersisa hancur dimamah bumi.

Seperti jua rumah tempat kelahiran. Hari ini kita lahir di situ, esoknya kita akan tiada lagi di rumah itu. Kita akan jadi pergi dari situ atau rumah itu yang menjadi tinggal sementara. Rumah kelahiran menjadi kenangan.

Dan jua lagi, pertemuan itu memadankan dan mengisi, dan bila tiba perpisahan, ia makin merekatkan, menambahkan - tidak mengurangi.

Seperti sebuah kisah yang ditulis. Pada awal ia kosong bahkan tiada berbaris. Tapi lama-lama, kerana penulis yang tekal hati yang memulai – kisah jadi siap ditulis. Kisah yang ditulis tidak selamanya berada di tangan penulis. Bila tempohnya tiba, ia harus direla pergi. Kerana ia telah siap, bak anak yang kecil menjadi besar, ia tidak selama dalam genggam tangan emak dan ayah. Ia harus pergi untuk menjadi dewasa. Menjadi sesuatu yang baik yang dicari oleh pencari yang kehausan budi.

Kisah yang dilepaskan tidak mengurangi penulis yang merelakan. Bahkan ia memulangkan kembali kisah yang baik bertambah-tambahan.

Perpisahan membuat kita lebih dekat. Kerana teman yang tiada di depan mata membuat kita lebih mengingat berbanding sewaktu teman ada. Jarak menjadi suatu abstrak. Menjadi khayalan yang tak terasa. Kita mengingat waktu bersama. Sekian peristiwa sejuta warna – yang tak boleh diganti dengan emas permata.

Sungguh, pulang sahabat di malam nan dahulu itu bukan sekadar pulang. Ia pulang yang menguji. Apakah malam-malam mendatang kita akan duduk di tempat yang sama? Melemparkan pandang dan harapan – pada sahabat?

Dan jua pada Tuhan?

Ini warkah yang makin dekat

Suatu yang pergi tidak akan menghilang selagi kita membenanya. Suatu yang mula untuk jauh tidak akan menjadi semakin jauh sekiranya kita tidak meletakkan jauh – perasaan kita.

Sekeping gambar akan terus hidup seribu tahun jika ia dikongsi tidak disimpan seorang diri. Ia akan terus dirasa dan terasa pada sesiapa yang memandangi.

Seperti warkah ini, ia tidak menjauhkan kita, memadamkan kewujudan kita. Kerana warkah ini adalah warkah yang semakin mendekat pada hati – hati ini yang walau ia dibawa sahabat pergi. Kerana warkah ini adalah ingatan, kenangan yang dikongsi.

Sungguh, semuanya berkaitan dengan kita – pilihan kita. Warkah semakin dekat kerana apa yang menjadi pilihan hati.

Dan kerana ingatan kitalah warkah ini bukan jadi warkah yang nian menjauh pergi.

Sungguh, ini warkah yang makin dekat - duhai sahabat. Kerana, ingatlah, selepas setiap perpisahan pastinya ada pertemuan pula menyusul kemudian.


Khamis, 13 September 2012

Warkah Yang Datang Bersama Embun


Pagi ini jadi saksi

Pagi masa ini tandanya adalah pemulaan. Pemula bagi hari baru. Setelah sekian malam yang hening, pagi perlahan-lahan datang bersama embun, dingin dan sepi. Dan, pagi masa ini menjadi simbol pada permulaan – yang bakal ada.

Saat di mana sekian manusia masih dalam dunia khayalan, kita pula bangkit daripada pembaringan. Menyahut lamaran hari baru. Saat mata terbuka, dan saat itulah kita juga tak menyangka langsung dan mengetahui apa takdir Tuhan yang akan bertemu kita di pagi masa.

Setelah siap-siap, kita menuruni tangga yang berbeza lalu berjalan dari dua arah nan lain. Tuhan itu menemukan kita di tengah-tengah sepi kemudiannya – sewaktu kita berpapasan, dalam langkah menuju tujuan yang sama.

Gamam dan terhenti.

Ia tak terduga. Sebuah pertemuan yang kita tak duga. Tapi, inilah ketentuan Tuhan. Pertemuan itu berlaku setiap kali hari baru bertandang. Pertemuan itu adalah pemberian-Nya. Dan kini saat itu adalah milik kita.

Pagi yang bermula setiap kali malam menjauh pergi itu; pertemuan dalam waktunya menambah erti. Setiap pertemuan itu anugerah Tuhan. Dia mengetahui benar-benar apa yang kita tak tahu, bahkan Dia juga lebih mengetahui benar-benar tentang apa yang kita tahu.

Pagi bening itu tatkala kita menuruni tangga kita tak tahu akan pertemuan yang bakal bersua. Sewaktu kita memandang sekitar yang sunyi dan menoleh belakang yang kita telah lalui, kita tak fikir langsung akan perihal pertemuan ini. Apakah yang berdetik? Hatta semasa kita berjalan di laluan itu, kita tak jangka takdir Tuhan itu sebenar hanya selangkau sahaja di depan kita.

Namun, takdir Tuhan tentang pertemuan ini sudah dirancang. Ia berlaku pada sesiapa, juga pada kita. Bersemi dengan embun pagi yang lembut turun, ia menjadi lebih terasa pada hati.

Teman yang kita temui itu, adalah anugerah berharga pemberian Ilahi. Ia adalah pemberian yang terbaik yang Tuhan tetapkan untuk kita. Tiada yang tak baik pemberian-Nya. Sama ada kita suka atau tidak – ia sudah ditentukan.Dan ia tetap yang terbaik sebagai pemberian daripada Tuhan. Hikmah di sebalik apa yang diberikan-Nya itu kepada kita cukup besar sekali. Sebegitulah pertemuan yang tak terjangka pada pagi bening ini, dan begitu juga sekalian perkara yang mendatang.

Tidak semua temu itu bertemu kala saat indah

Ketemuan itu adalah tak disangka-sangka, tak terjangka. Kita ketemu dengan teman selepas menuruni tangga, sewaktu langkah tenteram, menuju tempat yang sama. Namun, tidak semua seperti kita.
Bertemu teman setia itu di bawah rahmat Ilahi. Waktu susah, waktu senang ia tetap ada menghadirkan diri. Bertemu teman setia tidak hanya pada waktu bahagia. Ia berlaku bila-bila.

Jika kita bertemu di bawah cahaya bulan, ada yang bertaut dalam gelap gelita teraba-raba. Sesiapa yang ketemu saat senang gembira, ada yang berjumpa bertaut hati dalam ruang walang berduka pula. Ada yang mengikat bila saat kelahiran, begitu juga ada bertemu bila hadir waktu kematian. Kita bertemu selepas menuruni tangga dengan selamat, dan kita juga mungkin akan ketemu selepas berjatuh tangga dengan tidak selamat. Bila aman menebar, bila perang melanda; bila cerah tersebar, bila malapetaka alam mengada; pertemuan dengan teman yang bakal setia itu tetap berlaku selagi Tuhan mengizinkan.

Tuhan itu amat mengerti. Pertemuan yang diatur setiap satu ada maksud istimewa. Ia bukan sia-sia. Apatah lagi bersifat suka-suka.

Seperti kita bertemu dalam langkah kita di dingin sepi, tapi terjangkau kita pertemuan saat panas berbahang dan kita menangis bersendiri? Pertemuan yang sebegitu punya makna yang apa? Pertemuan saat yang itu apakah nilai dan rasa?

Pertemuan dan hati

Kala embun datang di waktu pagi, ia akan pergi kala matahari meninggi. Kala pagi kita bertemu setia, pada petang hari ia mungkin akan bertamat. Entah selamat, entahkan tidak. Kala pagi kita membuat kenal, tidak dinafikan kala itu kita pun boleh membuat musuh kental.

Pertemuan itu adalah sesuatu yang perlu dihati-hatikan. Silap langkah perkara yang baik akan bertukar tidak baik.

Teman boleh menjadi lawan. Dan lawan itu tidak mustahil pula akan menjadi lawan. Kerana embun yang turun kala dinihari boleh membawa lapang tenteram, kerana embun jua kita mampu dapat sakit dan demam.

Pagi masa ini tandanya adalah pemulaan. Saat mata terbuka, dan saat itulah kita juga tak menyangka langsung dan mengetahui apa takdir Tuhan yang akan bertemu kita di pagi ini – dan sepanjang perjalanan hari.

Saat embun menyelimuti dinihari dan saya berjalan di jalan sepi bersimbah lampu jalan perang. Di tengah jalan saya terfikir, apakah akan ada sesiapa yang saya temui berpapasan dengan diri ini  – yang sudi untuk menjadi teman sejati.

Tuhan itu yang menemukan. Sungguh pasti.

Sabtu, 4 Ogos 2012

Warkah Saat Jatuh Luka


Memaut dan dipaut

Dalam menuruni jalan berbukit yang melandai, daripada perlahan kita menjadi laju. Di tengah turun tak sempat untuk berbuat apa-apa, kaki kita terpelecok, dan kita jatuh. Berguling-guling sampai ke bawah. Terperosok ke dalam semak, terbaring, dan kita menjadi luka jua parah.

Sahabat itu adalah jelas merisaui, bila dia melihat kita menjadi melaju. Sahabat itu memecut mengejar, apabila kita mula jatuh. Dan sahabat itu menjadi pemaut, menjadikan tubuh badan sendiri benteng, menahan kita daripada terus berguling. Sahabat itu tampil mula-mula mengangkat memapah – membawa kita menuju ubat dan rawat. Atau sahabat itu sekali mengikut dengan cemas – bila kita diangkat – demi memastikan bahawa kita akan selamat.

Kawan itu mungkin sebaliknya. Tetapi tidak terlalu terbalik.

Kawan itu melihat kita melaju, dan dia sekadar tertanya.  Kawan itu sekadar gamam, saat kita jatuh berguling. Dan kawan itu juga mengejar - selepas itu. Kawan itu membantu tapi mengikut kadarnya jua. Dan wajahnya hanya teriak kecil sahaja.

Sahabat itu berbeza daripada kawan. Sahabat itu mengorbankan diri, manakala kawan itu sekadar mengikut kadarnya.

Namun, sahabat itu takkan datang jikalau kita tidak menjadinya terlebih dahulu. Berilah dahulu sebelum diberi kembali. Pautlah dahulu sebelum kembali dipaut. Peganglah pertama-tama sebelum dipegang semula. Cintailah mula-mula sebelum dicintai semula.

Sahabat ibarat pokok yang memberi teduh setiap masa. Kawan ibarat awan redup tak tentu bila ia ada. Mahu dapat sahabat, jadilah sahabat dahulu.

Sebegitulah. Apabila ada teman kita yang hampir jatuh berguling, bersegeralah untuk menyelamat dan menghalang. Bila ada teman menghadapi susah, hulurkan diri agar ia menjadi kebah.

Jadikan diri kita mula-mula memaut teman. Nanti di lain masa, kita akan dipautnya semula.

Ikatan yang ini bukankah indah?