Memaparkan catatan dengan label Seorang Penulis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seorang Penulis. Papar semua catatan
Sabtu, 8 Jun 2013
Membaca III
Kata saya kepada seorang sahabat, bahawa saya ini banyak membaca. Tetapi pembacaan saya seperti membuang masa. Perkara yang lebih penting (pengoptimuman masa) tidak diberi masa yang betul. Berkuantiti, namun hasil bacaan itu seakan tak ke mana, tiada guna, kualitinya entah ada.
Balas sahabat, saya ini yang telah membaca tetap menghasilkan sesuatu. Tetapi masanya belum tiba. Masanya tidak pada masa ini. Bacaan saya tetap akan berhasil kejayaan.
Walakin juga, pesannya sahabat, berkuantiti perlulah dengan kualiti. Pilihlah bacaan yang baik. Pilihlah bacaan yang mendidik. Pilihlah bacaan yang seiring dengan masa.
Terima kasih sahabat, kerana pesanmu itu saya akan terus membaca.
Sabtu, 1 Jun 2013
Membaca II
Kita ini selaku manusia berhidup dengan tunjuk ajar, pengaruh dan paduan orang lain; sebegitu juga dengan hidup membaca.
Seorang saudara (teman yang tak pernah bertemu) ada menyata, bahawa kita ini apabila membaca selalu berkeluh-kesah dan menyesal. Kata kita, tak guna membaca sekiranya tak mengingati isi dan pengajaran yang ada dalam buku.
Saudara itu (teman yang selalu diperdengarkan buah fikirannya dari jauh) lagi menyata, buku itu bukan mendidik kita untuk mengingat, tapi buku itu mendidik kita untuk membuka fikir - kreatif dan kritis.
Kita ini - hampir kesemuanya - bukan manusia dengan eidetic memory atau kata lainnya berminda fotografik. Sungguhpun sekiranya kita hanya mengikuti bulat-bulat - setelah ingat kesemua - kita ini tak ubah seperti sebuah mesin tanpa perasaan dan perbezaan yang merupakan keistimewaan yang lebih hebat yang dihadirkan oleh Allah pada setiap manusia.
Ya, memang photographic memory itu hebat. Dan memori yang biasa-biasa, itu juga merupakan satu kehebatan.
Bagaimana kita menerima - berbeza-beza setiap individu - dan kemudian kita menafsir dan berbuahkan fikiran daripada penerimaan kita - juga berbeza-beza; bukankah itu adalah satu keindahan, daripada Tuhan?
Dan inilah - yang diajar oleh buku.
Rabu, 22 Mei 2013
Sebuah Rak
Buku-buku yang ada di rak kutubkhanah; disusun dengan fikiran harmoni - pada perasaan saya - dan diletak di satu sudut buku-buku rujukan untuk penulisan seterusnya; dilihat dari jauh - bagi seorang bibliofil sederhana - ianya cukup menguja dan menenangkan sebarang perasaan berbuncah.
Buku-buku itu tujuannya bukan setakat pelaburan masa depan, bahkan ia sebuah pintu kembara bagi saya yang tak punya kewangan dan kekuatan untuk berjalan jauh melihat orang merasa dunia. Pada sentiasa waktu - bukan sahaja dalam senggang dan kebosanan - acapkali buku-bukulah yang mengasak saya untuk duduk dan mengulit dengan tekun serta baik sesebuah peristiwa dan pemikiran untuk mereda dogmatik (pendapat yang mengata bahawa diri sendiri sahaja yang betul) dan menjauhkan stigma (sifat dan sesuatu yang menjatuhkan maruah; keaiban).
Benar-benar angkatan buku mampu memberi keajaiban. Suatu kesombongan mampu ditunduk jika keikhlasan dalam ber-buku disapu pada hati. Kendatipun, buku-bukulah yang membikin sekalian hati yang mencari ditemukan dengan penghujung yang sentiasa menanti dengan pelawaan yang cukup terbuka.
Saya - begitu juga orang-orang seperti saya - adalah segolongan insan yang memerhati langit dan berkata (seperti Anna Marie Guindlen, dalam How Reading My Life, 1998), "Dunia buku adalah cinta abadiku. Watak-watak rekaan itu sentiasa mennati kupulang dan membawa kukembali ke dalam kehidupan." [1]
[1] Shaharom, T. S, (2011). Biblioholisme: Menelurusi Pesona Dunia Buku dan Penciptanya. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Khamis, 11 April 2013
Membaca
Fiil membaca saya agak berlainan daripada orang - pembaca - yang lain. Saya membaca kurang atau lebih sepuluh (beberapa) buku serentak. Itu gaya saya. Sesebuah buku selalunya tak menggamit untuk mengulitinya daripada awal hingga akhir pada satu masa. Malang sungguh pada buku tersebut. Sampai beberapa muka surat, saya sudah menutupnya kembali. Mungkin ianya kerana sikap tergesa-gesa. Mahu cepat habis atau tamatkan sesuatu pada masa yang singkat. Tidak selesai satu buku, saya buka pula buku seterusnya. Tidak selesai pada buku tersebut, saya buka lagi buku-buku seterusnya.
Sampai satu masa (buku yang ditakdirkan) saya kembali semula ke buku yang dibaca pertama sekali - atau buku-buku yang berada di antara buku pertama dengan buku terakhir. Sungguh malang buku yang pertama (jikalau begitu).
Perlakuan saya ini berulang-ulang. Ada buku yang akan dihabiskan baca. Ada buku yang baru dimasukkan dalam pembacaan (dan mengalami nasib yang sama). Ada juga buku yang langsung saya tak sentuh sudah sekian lama (akhirnya diulang semula baca pada halaman satu, tidak di mana saya berhenti). Perlakuan saya ini diulang-ulang, walau pada buku yang berhalaman nipis - tetap menjadi mangsa.
Namun, ada juga buku yang mampu menarik saya untuk membacanya dalam sepintas lalu. Malah, dalam sekelip mata, seputar jarum di jam, seduduk dan sekisar punggung di atas kerusi, saya mampu mengulitinya daripada halaman pertama hingga halaman terakhir. Bahkan, saya sempat lagi membeleknya beberapa kali, melihat sudut-sudut, ada juga pembacaan kedua yang lebih teliti daripada yang pertama.
Buku ini sungguh bernasib baik.
Buku ini - grafiknya lebih banyak daripada huruf-abjad-kata-kata-bahkan nombor.
Tampaknya, buku sebegini lebih menggamit.
p/s: Ada sesetengah buku yang membikin saya untuk meneliti dengan lebih.Demikian, saya suka untuk membaca lambat-lambat, untuk diletak catatan dan fikiran di tepi dan di ruang-ruang kosong, untuk digaris dan dicerahkan untuk ingatan dan pembelajaran. Buku seperti ini memerlukan masa yang lama, berulang-ulang pembacaan (tidak cukup sekali), lalu berdikit-dikit pada satu-satu masa adalah perkara kegemaran saya padanya.
Langgan:
Catatan (Atom)