antologi.dunia: Resensi
Memaparkan catatan dengan label Resensi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resensi. Papar semua catatan

Jumaat, 17 Mei 2013

Kisah-kisah Orang Yang Bertemu (Ditakdirkan Tuhan)



Kredit kepada Galeri Ilmu.
Ini kisah orang yang duduk dan sentiasa diperhatikan oleh Tuhan di kaunter.

Impian anak remaja, di bawah asuhan dengan hati-hati, hingga dewasa.

Membawa kepada pekerjaan yang sedia sudah ditulis di lauh mahfuz, yang menurun rezeki yang dijanji Ilahi - setelah berusaha dengan baik - dan sekarang diusaha untuk mencapai redha Tuhan.

Kisah tentang semalam hari, kisah tentang hikmah dari Tuhan.

Perjalanan ke esok hari dan perjalanan untuk esok hari.

Setiap perkara dan perbuatan, sentiasa menjadi catatan.

Sebuah amalan penentuan - di hadapan Rabbul Jalil, 'Bahawa, apakah kamu sudah sempurna?'

Inilah catatan insan, seorang hamba, yang memerhati, kerana memerhati itu adalah pendekat seorang hamba kepada Pencipta.

Kisahnya berdikit matang. Pada tulisan, bahkan pada ingatan. Sekalipun jua, ianya turut mematang manusia yang mengikuti.

Pekerjaan yang diusahakan dengan baik, dan sekarang tiba - penulisnya - berusaha untuk mencari taqwa; impian orang yang sudah mengetahui bahawa dia hanya sekejap sahaja di dunia.

Penulis: Tn Rafi Harumin.


Khamis, 1 November 2012

Kabus di Pagi Hari




Kisah zaman penjajahan Jepun, A. Samad Said membawa saya bernostalgia dengan suatu zaman yang berperlahan-lahan. Masa yang penuh dengan kancah, dengan gusar dan kebimbangan - ditukar penulisnya - menjadi sebuah zaman yang penuh dengan harapan dan semangat daripada sisi watak utama, anak kecil Fauzi. Sebuah zaman yang menderita menjadi sebuah zaman yang cukup tenteram (bagi saya).

Fauzi, anak kecil sepuluh tahun, semangatnya lebih daripada orang dewasa. Malah orang dewasa sekalipun tak dapat menandingi semangat anak kecil ini.

Jika Fauzi benar-benar hidup di zaman realiti, pastinya Fauzi membuat saya cemburu. Apatah lagi A. Samad Said, beliau yang telah menghidupkan Fauzi dalam karyanya membuat saya lebih-lebih cemburu.

Saya menjadi hidup dalam Antara Kabus Ke Kabus, dan Antara Kabus Ke Kabus juga membuat saya hidup di dunia yang ada.

Walaupun ianya hanya sebuah novel remaja tetapi ianya lebih daripada itu - ianya sebuah novel filosofi yang berhidup dalam kisah anak-anak.

Sabtu, 6 Oktober 2012

Tunggu-menunggu



Sewaktu membacanya mula-mula, ianya seperti memberi semangat kepada saya. Bila sudah lama membaca, dan hampir kepada penghabisan - saya mula merasa lain. Saya terhenti lama kerana perasaan terumbang-ambing. Cukup lama. Namun, saya paksakan diri saya untuk menghabisi walaupun tersekat-sekat - terhenti membaca - cukup kerap.

Hingga ke hujung kisah, Faisal Tehrani dengan larikan tangannya dalam TTD membuat saya cukup cemburu.

Terasa nak lari jauh. Bersembunyi dan diam daripada manusia-manusia.

[Pembacaan][Tamat]



Selasa, 3 Julai 2012

Mat Som mengajak saya mengimbau jauh


Terima kasih kerana Mat Som. Kredit.


Ini buku ketiga Datuk Lat yang saya miliki selepas Kampung Boy dan Town Boy. Terkenan sebenarnya daripada judul yang awal-awal.

Saya orang nostalgia. Tak padan dengan zaman, saya pemuda zaman kini dengan jiwa zaman dahulu. Sebegitulah, kisah zaman pasca-merdeka (zaman 90-an dalam buku ini) sering membuat saya mengimbau jauh. Saya terkenang dan tertanya-tanya, bagaiman rasanya hidup di zaman tersebut? Pastinya jauh berbeza dari masa sekarang. Bagaimana dengan manusianya?

Apakah sudah banyak beza dengan kita hari in - sikap, sifat, jiwa dan hati?

Benar bak kata penulis novel Tunjuk Langit Cinta dan JD6271, Puan Shahrizad Shafian, saya ini insan yang jiwanya jauh. Saya tak menafi - kerana bagi saya (pemahaman diri sendiri tentang jiwa jauh), saya seorang yang fikirnya sentiasa menjangkau daripada apa yang ada kini.

Naskhah Mat Som yang kini di tangan saya benar-benar memujuk saya untuk sentiasa sebegitu.

Saya terkenang keluarga di desa jauh. Saya terkenang sunyi dan damai yang menapak impian saya. Saya terkenang janji.

p/s: Saya berharapan sungguh-sungguh agar buku ini disambung. Jika ada saya pasti tak akan lepaskan untuk menjadi pengimbaunya.

Ahad, 17 Jun 2012

Tunggu Teduh Dulu menyimpan janji


Tunggu Teduh Dulu - Kredit.

Saya tak nafikan, daripada Tunggu Teduh Dulu saya memperolehi semangat untuk menulis Rintik-rintik Hanya Singgah - meskipun saya menulisnya tanpa membaca terlebih dahulu Tunggu Teduh Dulu.
Rintik-rintik Hanya Singgah bukan cerita seperti Tunggu Teduh Dulu. Apatah lagi, Rintik-rintik Hanya Singgah tak dapat dibanding dengan kekuatan Tunggu Teduh Dulu. Ibarat langit dengan bumi.

Saya tak nafikan juga bahawa Tunggu Teduh Dulu adalah antara buku-buku terawal yang menjadi koleksi dalam kutubkhanah saya - sekitar dua tahun lalu (waktu kini 2012). Akan tetapi, Tunggu Teduh Dulu tidak pernah saya habisi. Hanya sekadar membelek beberapa muka surat terawal dan akhir, serta menghayati kaver yang bagai menonjolkan kisah-kisah yang dibawa di dalamnya. Malah, novel ini saya pinjamkan dalam pegangan seorang sahabat dalam tempoh yang cukup - sebagai tanda bahawa saya tidak punya keinginan untuk membacanya waktu itu.

Sungguhpun demikian, benarlah kata-kata Faisal Tehrani, 'Tuhan selalu punya rahsia'. Saya memulakan kembali pembacaan Tunggu Teduh Dulu beberapa minggu sebelum menjalani praktikal industri.
Dan kala itu, barulah saya sedar bahawa hikmah Tuhan itu cukup banyak.

Hingga ke hari ini saya masih belum melunaskan pembacaan Tunggu Teduh Dulu. Pembacaan berdikit-dikit saya namun tampak memberi lebih kelebihan dalam merasai novel semangat ini.

Tunggu Teduh Dulu menjadi peneman sementelah berjauhan daripada desa jauh - yang menyimpan semangat saya. Dan di sini, semangat itu dikendong bersama Tunggu Teduh Dulu, mengingatkan saya bahawa kehidupan itu sungguh banyak dipeluangkan Tuhan.
Sebegitulah, Tunggu Teduh Dulu - benar-benar membuat saya untuk terus menekal saya pada impian masa depan.

Saya meneguh tapak saya bersama Tunggu Teduh Dulu.

Apa katanya, jika 'Sekejap Redup Datang' di 'Negeri Jauh', saya sabar menunggu izin Tuhan untuk dua ini. Saya terhutang budi pada Tunggu Teduh Dulu sungguh banyak.



Rabu, 11 April 2012

Rindu Ibu



Koleksi puisi-puisi menjelang remaja. Kredit

"Sungguh halus dan berseni. Minda terasa dibelai-belai oleh perkataan yang sebenarnya tidaklah 'bombastik' pun, tetapi tenunan perkataan-perkataan Pak Samad merupakan seni bahasa yang mengasyikkan. Juliana Es, Goodreads 

Kumpulan puisi kanak-kanak menjelang remaja karya SN A. Samad Said ini menghimpunkan 101 buah puisi. Sesuai untuk bacaan kanak-kanak dan remaja yang ingin berjinak-jinak dengan puisi. Ia digarap dengan bahasa yang mudah, diksi yang tepat dan akan cepat dihadam oleh khalayaknya.
Menurut beliau, "Dalam dunia kesusasteraan Melayu, saya rasa, puisi kanak-kanak yang mudah, tapi indah, inilah yang terlalu kurang. Tidak saja oleh kerinduan yang saya katakan itu, tapi rasa tangungjawab juga merangsang saya untuk dengan payahnya menyudahkan antologi puisi ini. Saya percaya kanak-kanak memang perlu didedahkan kepada puisi-puisi yang mudah, tapi indah."
"Makanya, di sini saya sempat menyudahkan - dan memilih hanya yang mudah, baik dan indah - 101 buah puisi yang saya senangi, malah sayangi. Hanya sebuah - "Merindu Buku" - yang pernah tersiar, sementara yang lain baru kali pertama diperkenalkan dalam antologi ini. Kerana susunan temanya yang terpilih, bertingkat dan bersukat, maka saya kira antologi puisi ini sesuai untuk pembacaan kanak-kanak menjelang remaja. Petikan kata-kata SN Datuk A. Samad Said di, Ujanailmu

***
Ini buku yang menarik-narik hati saya. Buku ini masih belum disentuh tangan lagi - belum ada. Saya menyimpan hasrat untuk menjadikannya sebahagian daripada diri. Akan saya jadikan koleksi puisi-puisi menjelang remaja ini sebagai buku wajib beli bila saya berkunjung ke pesta buku terbesar di Malaysia kelak pada hujung bulan kelak, insyaAllah.

Bila pandang nostalgia, saya pasti koleksi puisi ini akan menenggelamkan saya lagi dalam keasyikan kenangan yang damai. Saya akan menanti di sini dengan senyum di hati.

Jumaat, 7 Mei 2010

Resensi: Di Atas Sajadah Cinta



Di Atas Sajadah Cinta

Buku Di Atas Sajadah Cinta adalah himpunan cerpen dan kisah cinta yang mana seperti madah kata di kulit bukunya, kisah-kisah teladan islami, meneguhkan iman dan menenteramkan.

Dikarang oleh penulis terkenal dari negara seberang, Ustaz Habiburrahman El Shirazy, kolektif kisah yang terkandung dalam buku ini diambil daripada kisah-kisah cinta agung terdahulu seperti Kisah Cinta Dari Masjid Taubah serta beberapa cerpen hasil tangannya sendiri seperti Andai Jakarta Seperti Mata Kakak.

Juga buku ini menampilkan pelbagai kisah motivasi dan pengajaran yang sesuai untuk diambil ibrahnya seperti mana Tangis Cinta di Masjid Basrah yang menampilkan mesej penghambaan dalam kisah Imam Hassan Al-Basri yang penuh dengan keinsafan.

 Mengandungi 38 kisah iaitu:
1. Di Atas Sajadah Cinta
2. Buah Cinta Berasas Takwa
3. Kisah Cinta Teladan
4. Syurga di Telapak Kaki Ibu
5. Ketika Derita Mengabadikan Cinta
6. Pencinta Dunia di Zaman Nabi
7. Mukjizat Baginda Nabi
8. Menang Kerana Azan
9. Kisah Cinta Dari Masjid At-Taubah
10. Sedekah Berganda 120 Ribu Kali
11. Ketika Madinah Kemarau
12. Sang Penolong
13. Tubuh Seharum Kasturi
14. Bukti Cinta Kepada Rakyat
15. Hadiah Seratus Sebatan
16. Sepenggal Kisah Cinta Dari Cairo
17. Jalinan Cinta di Lorong Kota Kufah
18. Ya Allah, Butakan Matanya
19. Imam Ahmad, Orang Tua dan Anjing
20. Kecerdikan Panglima Islam
21. Prahara di Taman Syurga
22. Kritikan Puteri Imam Ahmad
23. Kesatria Bercadar Hitam
24. Pengorbanan Anak Kecil
25. Semalam Bersama Jibril dan Mikail
26. Taubatnya Wanita Penggoda
27. Keajaiban Basmalah
28. Dashyatnya Berkat Dari Allah
29. Tangis Cinta Dari Masjid Basrah
30. Di Bawah Mizah Ka'bah
31. Ketika Cinta Berbuah Syurga
32. Pesona Jiwa Ulama Sejati
33. Ketika Masjid dan Rumah Pelacuran Roboh
34. Pahala Takut Kepada Allah
35. Nyanyian Cinta
36. Berkat Kesucian Niat dan Cinta
37. Tiga Lelaki Berjiwa Malaikat
38. Andai Jakarta Seperti Mata Kakak

Pengisian kehidupan dunia untuk akhirat, buku ini kebanyakan mengisahkan tentang cinta yang diredhai oleh Allah. Cinta antara dua Adam dan Hawa yang sememangnya fitrah jika berlandaskan kecintaan kepada Allah pasti akan membangkitkan keharmonian, kebahagian dan kesucian dalam cinta itu. Sang suami yang mengasihi dan beramanah dan sang isteri yang redha dan mengerti akan tanggungjawab pasti akan muncul daripada Cinta kepada yang Satu. Bacalah Di Atas Sajadah Cinta, Ketika Derita Mengabadikan Cinta dan Nyanyian Cinta. Anda pasti terpegun dengan kisah cinta mereka.

Bagaiman dengan perihal sahabat sejati, bacalah pula Tiga Lelaki Berjiwa Malaikat yang mengisahkan begitu kuatnya kasih sayang antara tiga orang sahabat, Abu Abdillah, Hamdi dan Usamah di mana mereka sanggup membantu sahabat lain yang susah walaupun saat itu mereka turut dalam kesukaran. Lihatlah pemberian wang Hamdi untuk sahabatnya Abu Abdillah yang dalam kesusahan kembali ke tangannya semula. Begitu juga dalam kisah Ketika Cinta Berbuah Syurga.

Dalam erti kasih sayang anatara adik-beradik dan perjuangan pula, Kesatria Bercadar Hitam menceritakan peristiwa berlatarkan perang di antara tentera muslimin yang diketuai oleh Khalid al-Walid dengan tentera Romawi. Di dalam kisah ini, Khaulah adik kepada Dhirar sanggup turun ke medan perang bertempur dengan tentera Rom setelah mengetahui abangnya Dhirar ditawan oleh pihak musuh, Bacalah dan hayatilah bagaimana hebatnya seorang serikandi Islam dalam perang ini. 

Beliau dilihat sebagai penyelamat tentera Islam di mana ketika itu mereka terdesak mundur disebabkan asakan tentera Romawi. Beliau datang dengan berpakaian dan bertutup wajah hitam, hanya matanya kelihatan seperti seekor helang yang mencari mangsanya. Menghayun pedang kekiri dan kekanan menyebabkan puluhan askar-askar Rom tumbang seperti daun yang gugur. Kehadirannya itu juga membangkitkan semangat tentera Islam untuk terus berjuang. Di akhir perang tersebut Khaulah dan tentera muslimin menang dan dapat membebaskan kembali abangnya, Dhirar.

Pendek kata buku ini adalah tidak rugi untuk kalian sahabat untuk membelinya. Moga-moga teman sekalian dapat memperolehi sesuatu yang berguna dan ibrah kehidupan daripada buku ini.


P/S1: Buku ini milik sahabat ana, Hariz. Jadi ana mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hariz kerana sudi meminjam buku ini kepada ana, syukran. Tak terbalas jasamu olehku sahabat, hanya Allah yang dapat membalas budi baikmu. InsyaAllah ana akan beli buku ini di masa depan.

P/S2: Entri ini entri awal-awal, maka resensi masih lagi amatur.