Sabtu, 24 November 2012
Damai (ii)
HADAPAN ini, sering kali angin yang menampar muka membuat saya berkalih wajah. Memandang ke belakang yang penuh berperistiwa lepas. Kerana itulah, gamitan wajah Emak menjadi tayang yang semakin terang. Dan sebab itu saya bersyukur pada Tuhan, kerana tidak menghilang apa yang telah disimpan – diperolehi – pada saya sekian itu. Saat selalu pandang pada langit, dan selalu itu juga saya teringat akan pesan lama dahulu. Titip daripada Emak, walau saya kini sungguh jauh daripada Emak, ia datang tanpa berhenti jemu.
Saya benar-benar ingat masanya ianya bermula – saya masih anak setahun jagung. Emak menitip pesan dari bucu dapur. Bucu dapur tempat hati kami. Berhadapan Emak saya duduk, menghadap ikan bilis di mangkuk hijau yang sudah lama, pudar warna, lusuh pegangnya; dipanggil Emak untuk mengopek. Di situlah Emak bermula, menitip tanpa lokek. Kendatipun, saya yang dititip tiada berbicara apa-apa mula-mula, saya diam sepanjang masa. Untuk berbicara saya anak bertahun kecil, titip Emak payah dierti pada pendengaran pertama. Apa yang saya tahu dan faham saat itu, titip Emak adalah untuk peringatan di masa depan. Titip Emak – bernada dengan kasih seorang ibu – adalah untuk sejahtera saya. Untuk menyambung kata Emak saya masih tidak mampu dengan ilmu yang ada – saya masih anak yang baru menjejak baca di dunia luas. Jadi, saya mengia dengan dengar dan perhati. Begitulah. Emak menitip bukan sehari. Di ruang sama, Emak menitip berulang-ulang, mengingatkan saya. Bertahun-tahun lamanya, hingga saya kini menjejak usia di mana apa yang Emak kata akan membukti.
Berkatnya, usaha Emak yang tak mengenal penat tidak dipinggirkan Tuhan. Titip Emak bukan sebarang titip seumpama di pasir pantai. Yang hilang bekas dan tapak bila ombak menderu. Yang dibiar begitu bila sekalian orang pulang kala malam datang. Yang dipijak orang, hilang – semua tak kisah – bila tiba lagi waktu siang. Titip Emak meresap jauh. Membekas dalam di nubari dalam. Titip Emak sungguh tak dapat dibuang. Titip Emak menjadi pasak, rumah tempat hidupnya pusaka – jiwa saya. Walau ke mana-mana, malah hingga ke masa saya tercampak ke negeri sini – titip Emak bagaikan baru semalam saya mula-mula mendengarnya.
Itulah, saya sungguh memohon pada Tuhan hingga ke hujung usia saya – jangan hilangkan titip Emak yang cukup berharga di hati saya. Saya akan tabah. Musim tengkujuh akan saya teduhkan dengan rumah pusaka teguhan pemberian Emak. Puting beliung tak akan saya gentar. Petir dan guruh tak akan meluka, apatah lagi ribut bertaufan. Saya pegang titip Emak. Saya ketahui, dengannya, saya pasti akan selamat. Titipan Emak yang baik, adalah langkah bahagia ke syurga. Redha Emak, redhanya Ilahi. Kasih Emak, kasihnya lagi ar-Rahim.
Bila saya memulakan injak di alam dewasa ini, barulah saya mengetahui maksud sebenar titip Emak.
Emak menitip hati saya dengan pesan damai. Damai yang ada dalam setiap kisah manusia. Dan saya cukup suka untuk mengulangnya semula – apa yang dipesan Emak – bahawa, damai itu adalah fitrahnya bagi setiap manusia melata. Sebegitulah yang saya dengar dengan hati-hati, sekian masa yang lalu. Di bucu dapur, tempat hati kami. Inilah yang Emak titip dalam hidup saya. Ianya tentang damai dan manusia. Ianya tak dapat dipisah. Seperti ikatan manusia dengan al-Khaliq, yang Maha Menciptakan. Ianya sekecil zarah dan sebesar khalikah alam fana ini. Tak dapat dinafi.
Titip Emak adalah tentang manusia yang asalnya berseorangan. Manusia, sifatnya tak boleh berseorangan – itu pati titip Emak. Emak ada berkata, bahawa kita ini walaupun satu, nanti akan ada dua. Dan daripada dua akan berkembang-kembang. Menyebar serata dunia, menjadi saudara yang akan jauh. Darah merahnya sama, asalnya sama, tapi berpisah daripada cintuhan nan dua. Daripada saudara yang akan jauh – yang tidak kenal – ditentukan Tuhan untuk bertemu kembali, bersemi, dan ia bermula lagi. Menyebar-nyebar, menyambung kehidupan yang telah ada, yang akan berlalu pergi. Kerana itu adalah suratan daripada Tuhan. Tapi ia tetap daripada cintuhan nan dua itu, tegas Emak, tak sesekali dapat dipisah. Hatta mati sekalipun. Walau saudara itu tidak tahu asal-usul siapa diri – saudara yang jauh – ia tetap berpunca daripada kita, yang mengenal erti damai. Dan inilah, Tuhan itu tak membiar. Lebih-lebih lagi perkara yang kecil dan lama. Itulah yang seharusnya sebenarnya kita kata Emak lagi. Mencontohi perhatian Tuhan. Sebegitulah yang kita harus peluki.
Dan sebegitu itu juga saya nanti, yang akan berlaku pada saya kelak – tuju Emak dengan perlahan-lahan, menguntum senyum – setiap kali menitip pesan. Senyum yang entah akan ada pengganti atau tidak. Tidak ketahuan oleh saya.
Itulah fitrah manusia. Bak Emak dengan ayah dan seterusnya barulah diri saya ada, begitulah resmi yang akan berturutan. Resmi kiri dan kanan, resmi siang dan malam, dan sebegitu juga resam pemuda dan pemudi. Resmi pokok dan benih, resmi hidup dan mati.
Resmi damai dalam hidup manusia.
Damai itu mula-mula daripada kita. Daripada kita – kita benihkan di medan semaian dengan baik-baik, dengan hati-hati. Kerana daripada benih itu akan tumbuh pucuk yang baru, putik yang hijau, bunga yang harum, teduh yang redup – yang datang mengganti kita. Sebab itu kenapa kita harus memilih dengan berhati-hati. Untuk menumbuhkan pohon yang rimbun dan teguh, ianya bukan bermula tika menanam. Sungguhpun ia tetap menjadi, tetapi tumbuhnya akan ada yang kurang. Ianya perlu bermula lebih awal. Itulah – Emak menduga saya – kita perlu memilih benih yang molek, kerana dengan benih yang baik akan jadi baiklah tumbuhnya.
Namun, itu juga bukan yang menjadi tempat damai itu diisi mula-mula. Di akhir duga Emak telah membuat saya berfikir semula. Pesan yang itu – saban menjentik saya dengan duganya selepas hidup dua puluh dua tahun ini.
Di hujung Emak semat pada hati saya, bahawa untuk melahirkan benih yang baik, pokok yang melahirkan benih itulah yang terlebih dahulu menjadi perhatian. Inilah ia – jawapan selepas menyingkap duga . Di sini, ia perlu diisi dengan damai. Dibajai dengan damai. Dihidupkan – ia – dengan damai yang hidup. Pohon yang dijaga baik akan melangkas benih yang elok, dan benih yang elok akan menculalah daripadanya pohon yang lebih elok – daripada sebelumnya.
Titip Emak di bucu dapur – tempat hati kami – sambil kami menghadap kopekan ikan bilis segenggam, di dalam bekas hijau nan lama, nikmat bunyi cur gorengan di kuali berpunggung hitam, kenangan di tengah hari yang sepi tenteram, anginnya tiada tapi cukup nyaman sekali – apakah suatu yang itu perlu diletak terawang-awang sahaja tanpa tali di udara? Titip berulang-ulang, sedari saya baru mengenal dunia luas hingga kini, dunia luas itu digenggam saya. Titip untuk masa depan. Titip ke hujung nyawa, mati. Titip yang berpanjangan, yang bukan untuk saya seorang diri.
Titip Emak yang bermula sekian tahun yang lama itu – tidak setakat mengetuk ingatan saya setiap kali saya mengalih wajah ke belakang – janji saya. Saya akan terus genggam ia. Walaupun saya sudah kembali memandang ke hadapan.
Seorang lelaki dan pemuda kala ini – saya, Hizul – adalah insan yang telah dititip dengan damai. Anak muda, yang dinyatakan hidup oleh damai.
Dan saya akan terus mengalunkan damai selagi saya hidup berkalung nyawa. Itu janji saya pada bonda. Janji untuk selamanya.
-Muzik latar: Tiada Kata Secantik Bahasa, P. Ramlee-
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan