Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Pada marah embah itu, rupanya penuh dengan erti.
Embah, hari ini datang lagi dengan marahnya. Kendatipun, marah embah tidak seberapa sebenarnya, cuma marah orang-orang tua. Kalau embah marah, embah tidak luah macam orang-orang muda marah. Mendengus, menarik muka masam atau mencampak barang sana dan sini. Embah sudah makan asam dan garam terlebih dahulu daripada saya. Pastinya kehidupan yang embah lalui telah membentuk embah seperti hari ini. Lagipun, embah pasti berfikir, tiada guna dan ada faedahnya sekiranya embah marah-marah sebegitu, seperti orang muda. Tiada yang untungnya.
Sungguh, saya juga percaya, sejarah lama kehidupan embah, kehidupan yang saya tidak ketahui dan rasai sendiri, cuma dengan cerita dan kisah didengar telinga – sekarang ini tetap sama dengan dahulunya, seperti masa embah masih muda. Tidak berubah.
Begitu juga dengan marah embah.
Marah embah tidak seberapa, cuma biasa-biasa. Tapi yang biasa-biasa itu menyebabkan saya merasa lain. Saya merasakan kehilangan. Bila embah marah, embah hanya akan diam, dan sekiranya embah bercakap sekalipun, kata-katanya pendek, tidak ramah seperti sifat belai seorang tua dengan cucunya. Juga, bila embah marah, embah akan buat kerja seorang diri, dengan diam juga.
Marah embah adalah marah orang-orang tua. Puncanya mungkin kecil dan selalu tidak diketahui oleh saya – sebagai anak muda. Dan selalu, bagi orang-orang muda, marah orang-orang tua ini seperti dengung nyamuk di telinga, tidak ditoleh, hanya dikibas dengan tangan, namun akan datang juga ia selepas lari sekejap. Kendatipun, bagi saya marah embah, ibarat hari yang datang dengan mendung – membuatkan saya bersusah hati. Begitulah, marah embah membuatkan saya terasa seperti kehilangan akan sesuatu dalam hidup saya. Yang cukup berharga.
Bila datang marah embah, saya hanya duduk diam sahaja. Selalu saya begini. Ini yang saya mampu. Mungkin seorang nenek boleh mengetahui isi hati cucunya tapi si cucu tidak mungkin dan sukar untuk mampu mengetahui isi hati neneknya.
Begitulah, saya tak tahu bagaimana mahu mengubat marah embah. Kerana itu, hanya diam sahaja – yang saya mampu lakukan. Ada
Marah embah tidak lama sebenarnya. Saya tahu marah embah akan pergi dengan berlalunya masa. Ada masanya ia bermula seperti kisah matahari yang terbit dan kemudiannya terbenam di sempadan barat. Ada masanya juga ia berlanjutan lebih daripada itu. Walaupun demikian, dalam setiap detik yang datang dan berlalu, saya cukup-cukup berharap marah embah akan berakhir kala itu – menjadi tiada, menjadi reda.
Saya tahu juga bahawa marah embah bukan kerana benci, tetapi kerana nilai yang sebaliknya – kisah kasih dan sayang – nilai yang saya masih jauh lagi dalam mengertinya. Setelah saya berfikir baik-baik, marah embah mengajar saya dengan suatu erti yang bukan itu sahaja. Suatu untuk masa depan, supaya saya lebih bersedia.
Marah embah menyebabkan saya merasakan kehilangan.
Manusia itu pula akan mengalami kehilangan.
Sebegitulah.
Oleh demikian, bukankah marah embah mengertikan saya dan menyediakan diri saya dengan sebaiknya. Marah embah sekurang-kurangnya memberi tiga perkara kepada saya.
Satu, kasih dan sayang itu bukannya pada hari ini sahaja.
Dua, ia memberitahu, hati saya perlu menjadi redha akan takdir Tuhan.
Yang ketiga, supaya saya tidak mengulang.
Pastinya, marah embah bukan setakat pada makna-makna yang ini sahaja. Masih ada yang perlu saya lihat dan renung. Sungguh, marah embah akan membuatkan saya sentiasa mengingati embah. Supaya hati saya sentiasa mengingati.
Glosari
Embah (Bahasa Jawa) - Nenek
Tiada ulasan:
Catat Ulasan