antologi.dunia

Isnin, 30 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Di Sebalik Tiang Empat Segi Warna Putih



  Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Sambil memandang langit , saya akan sentiasa untuk cuba mengukir senyum walau berada di sebalik tiang ini – tiang putih yang mempunyai empat penjuru.

Walau tiang ini menghadang angin, angin itu tetap berpusing menuju saya.

Walau orang lain tidak nampak saya di sebalik tiang ini, saya pula dapat melihat mereka.

Walau separuh muka saya dilindungi tiang putih ini, namun saya tetap dapat melihat langit dan awan yang penuh.

Sebegitulah. Manusia itu mengira bahawa hidup mereka sebegini – mengikut apa yang mereka lihat dan seterusnya memikirkan pada muka luarnya. Sedangkan hidup mereka bukan sebegini caranya – kerana ia mengikut hati dan penilaian mereka mengenai hidup selepas menyelak muka luar dan meresapi muka-muka dalam.

Di sini saya melihat langit - di balik tiang. Kredit.

Masa depan itu adalah pada langit. Masa kini adalah saya di sebalik tiang. Dan tiang itu menjadi penghalang antara masa depan dan masa silam – masa lepas lupa adalah selipar yang saya tinggalkan di muka gerbang.

Saya adalah saya, Saya tetap akan memandang langit. Saya juga akan kembali ke muka gerbang untuk selipar – untuk disarung kembali.

Di sebalik tiang itu ketika saya mengundang langit pada mata, saya tetap disedarnya. Bahawa kehidupan itu ada makna yang tidak dapat digambarkan melalui perkataan dan suara. Perihal masa dan hidup saling berkaitan , dan ia bukan setakat ikatan yang tidak dapat dipisahkan. Saya tidak dapat gambarkannya.

Hanya hati yang merasa dan hati yang mempelawa rasa itu untuk datang yang dapat mengambarkannya. Hati itu yang dapat menayangkannya. Dan makna itu bukannya hanya satu, dan bukan juga hanya dua. Apatah lagi tiga dan begitu juga angka-angka seterusnya.

Selagi hati itu tahu dan mahu, jumlahnya tidak terkira.

Saya yang duduk di sebalik tiang putih itu hanya mampu dapat mengutip makna satu atau dua sahaja hari ini. Esok-esok hari saya akan cuba mengutipnya lagi.

Sabtu, 28 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Muda dan Tua


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Tatkala dalam kelompok ramai, saya tidak lepas untuk melihat dan meneliti manusia-manusia yang bersimpang-siur. Cukup saya berdiri, selalunya tanpa sandar dan kadang-kadang dengan sandar – saya memerhati. Manusia yang lalu di hadapan bersilih ganti bersama detik-detik jarum jam, lain masa lain orangnya, sedangkan saya masih lagi berdiri – di situ – seperti tidak hidup dalam ruang masa. Saya memusing mata, kiri dan kanan. Tangan pula diletak bersilang di dada, kadang di sisi menyeluk saku, atau kadang bertukar ke dagu, menakup mulut, seperti orang yang dihinggapi suatu fikiran.

Ada satu masa, dua watak yang menjadi perhatian mata. Seorang anak muda dan seorang lelaki tua. Melihat lelaki tua yang berdiri, anak muda bangun untuk mempelawa lelaki tua untuk duduk.

“Saya anak muda, dan bukankah anak muda masih jauh sebelum tua? Oleh itu, bukankah anak muda perlu membantu untuk yang tua. Saya masih panjang lagi usia, masih banyak lagi masa sebelum tua dan tidak salah untuk saya berkorban kerana yang tua, kerana mereka lambat-laun akan pergi. Biarlah masa mereka yang ada diisi dengan penghargaan dan perhatian, bukan dengan ketidakpedulian. Biarlah mereka gembira dan benar-benar puas, kerana saya masih ada peluang pada yang mendatang.”

Ini kata anak muda tatkala menyilakan bangku kepada lelaki tua itu untuk diduduki.

“Anak muda, pak cik sudah jauh daripada muda. Pak cik sudah merasa menjadi muda lama sebelum kamu menjadi muda hatta sebelum kamu ada. Justeru, bukankah pak cik sudah lama duduk di dunia ini berbanding kamu? Kamu baru sementara. Tidak puas kamu duduk. Anak muda, duduklah di kerusi itu, tidak mengapa buat pak cik untuk berdiri. Biarlah pak cik yang berkorban pula, kerana pak cik sudah puas merasa nikmat duduk. Bukankah mati tidak mengenal usia? Muda atau tua bukan penjamin siapa yang mati dahulu.”

Lelaki tua tersebut berkata sebegini sewaktu menolak huluran anak muda itu sambil bersenyum.

Kisah muda dan tua - kisah sama? Kredit

Saya yang melihat dua manusia itu hanya mampu diam. Pada dua watak yang dilihat mata saya itu ada benarnya pada setiap mereka. Apa yang dikatakan anak muda dan lelaki tua itu membuatkan saya lebih berfikir dan menoleh kepada diri saya sendiri.

“Apakah yang ada pada erti anak muda, dan lelaki tua?” saya tertanya-tanya dalam hati kala itu. Saya menyedari, bahawa walau saya tidak mengetahui jawapannya tapi saya tahu makna yang ada – bukannya sedikit.

Kendatipun, waktu itu, kisah yang dilihat saya itu – perihal muda dan tua itu – tidak jauh bezanya dengan kehidupan saya.

Khamis, 26 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Kisah-kisah Yang Kecil

Kisah yang kecil itu adalah dekat pada hati. Kredit

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Hidup manusia penuh dengan pelbagai rencah. Ada susah, ada senang, ada gembira, ada duka. Semua ini adalah ketentuan Tuhan Taala.

Dalam kisah membina hati, saya memerhati kehidupan sebagai satu perkara yang saya perlu terima dengan senyuman. Tidak kira bila hujan turun dengan lebat yang melenjunkan diri atau waktu beroleh luka kerana kecelakaan. Kisah manusia memang tidak boleh lari daripada kisah-kisah ini.

Sebesar-besar perkara mungkin berjaya untuk dihadapi oleh saya. Namun, saya selalu menjadi kalah pada kisah yang kecil.

Benarlah orang bijak pandai berkata, manusia ini kebanyakannya hanya melihat perkara-perkara yang besar, mereka menjadi endah kepada benda-benda ini. Bagi perkara-perkara yang kecil pula – kebanyakan menjadi pilihan yang tidak diendahkan hati. Dibiarkan ia hanya di tepi.

Allah Taala itu Maha Adil, manusia tidak suka memilih yang kecil, lalu Dia meletakkan yang kecil-kecil ini pula menjadi sesuatu yang besar. Sesuatu yang paling besar dan kuat untuk membuatkan hati itu tidak berasa tenang – cukup-cukup tidak tenang.

Itu yang terjadi kepada saya. Sesuatu yang kecil, akhirnya menjadikan diri saya cukup tidak berasa tenang.

Setelah dilihat, setelah direnung, sebab kenapa ia menjadi sebegini berpunca daripada perkara yang mudah.

Seperti sifat manusia kebanyakan, saya menjadi bena pada kisah kecil ini. Sebab itulah, saya tidak menghadapinya dengan hati yang terbuka, dengan hati yang tersenyum. Akibatnya, hati saya terlambung-lambung dalam amukan gelora ketidaktenangan – jiwa yang kacau dan resah.

Demikianlah, saya perlu sedar bahawa untuk membina hati yang besar, kisah yang besar dan lebih-lebih lagi kisah yang kecil tidak boleh dipisahkan kepada dua perkara berbeza. Kedua-duanya itu – besar mahupun kecil – saya perlu satukan. Menjadi satu.

Barulah dengan itu, hati saya boleh senyum sentiasa.

Rabu, 25 Januari 2012

Hari Ini



Kata-kata yang diuntai ibarat tapak rumah.

Ia ada selagi rumah itu ada.

Ia ada hatta manusia itu tiada.

Ia ada selagi rumah itu dipelihara, rumah itu dijenguk sentiasa. Oleh generasi-generasi yang ada.

Kisah kata-kata ini kebanyakkannya adalah kisah saya, kisah hidup, kisah hati, kisah dunia. Lalu, saya kemudikan ia dengan baik-baik agar yang membaca akan memperolehi kebaikan - jika ada.

Jika saya mati, kata-kata saya ini sahajalah yang tinggal. Kata-kata ini akan menjadi ingatan bahawa ada seseorang insan ini yang pernah hidup di muka dunia.

Manusia itu akan dilupai, begitu juga dengan saya suatu hari nanti.

Kata-kata ini pula, moga ia mengingatkan saya kepada kalian sewaktu saya masih ada menghirup udara.

~Jamal Ali, 1 Rabiulawal 1433, 25 Januari 2012~