antologi.dunia

Selasa, 20 Mac 2012

Novel Rintik-rintik Hanya Singgah : Kisah Untuk Hati [Bakal Datang ]



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Rintik-rintik Hanya Singgah - ini hanya desain awal bagi kaver. Kredit - Pelima Media.

Segala puja dan puji kepada Azza wa Jalla. Sesungguhnya tanpa izin-Nya novel ini tidak akan wujud dalam dunia nyata. Kepada keluarga dan teman-teman seperjuangan yang sentiasa menyokong di belakang - sama ada diketahui oleh saya atau tidak - hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa dan budi kalian. Jika tidak kerana kalian juga, saya pasti tidak akan berdiri di sini pada hari ini.

Setelah berhempas-pulas mengejar cita-cita, akhirnya Allah memberi berita gembira. Setelah menatang anak sulung ini selama empat bulan, siang malam diperhati dan dibelai dengan hati dan jiwa, dibawa ke sana dan ke mari, akhirnya ia bakal juga lahir ke dunia. Alhamdulillah.

Pasti setiap orang tertanya-tanya, novel ini adalah kisah apa? Cerita apa yang dinukilkan dalamnya? Kisah cinta? Kisah kehidupan? Kisah sebagainya?

Ya, dalamnya kisah cinta, dalamnya juga kisah kehidupan, dan dalamnya juga adalah kisah sebagainya. 

Rintik-rintik Hanya Singgah adalah kisah manusia, dalam mencari kisah bertuhan dalam kehidupan. Dalamnya ada kisah cinta - cinta kepada keluarga, cinta kepada saudara, cinta ketika hujan turun renyai-renyai. Kisahnya mengenai kegagalan, dan apa yang ada pada kegagalan. Ia kisah mengenai dunia yang ditumpang manusia, dan pilihan yang dipilih oleh manusia yang hidup melata di atasnya.

Rintik-rintik Hanya Singgah banyak mengajar saya sebenarnya. Dalam menulisnya, saya meletak hati - mengikut pesan seorang guru yang tak pernah ditemui bertentang mata - yang banyak mengajar saya dengan ayat-ayat yang singkat tapi hidup dalam hati saya.

Saya hidup dalam Rintik-rintik Hanya Singgah, dan moga Rintik-rintik Hanya Singgah sentiasa hidup dalam hati saya ini.

Dalam tempoh empat bulan pembikinan kisah ini, ramai manusia - sahabat-sahabat dan teman - bertemu dan bersuka, merantau mencari pengalaman menerusi langkah dan capaian tangan. Tapi, saya tidak berkedapatan. Lalu, pada Rintik-rintik Hanya Singgah saya bercerita dan berdamping, siang dan malam.

Saya luah pada Rintik-rintik Hanya Singgah rasa saya ketika melihat langit jauh, ketika mengimbau teman dan saudara. Saya luah padanya ketika saya berharapan - doa saya, ingatan saya.

Rintik-rintik Hanya Singgah mungkin tidak seberapa dengan novel-novel lain yang sudah berada di pasaran - yang lebih hebat daripada ini. Namun, saya berpuas hati. Kerana ia pilihan saya, antara lupa dan ingat. Dalamnya saya menyebar pesan dan janji, untuk masa mendatang.

Ada seorang guru juga yang mengatakan, antara dua pihak pembaca - penilai yang memberi anugerah dengan pembaca yang mencari hikmah - dia akan memilih pihak kedua, dan saya juga mahu begitu. Karya yang baik adalah karya yang bermanfaat, dan semoga karya saya ini memberi manfaat kepada pembaca.

Saya hanya manusia biasa, yang cuba merasa indahnya rintik-rintik yang turun daripada langit.

Kepada Tuhan saya berharap segala-galanya.

InsyaAllah, jika diizinkan-Nya, novel ini bakal menjengah kita dalam tempoh sebulan dua lagi.


Hidup ini tidak hanya kisah kita,
akan ada kisah dia dan mereka.
Antologi kisah kita mungkin tidak sama,
tetapi sudah pasti tidak banyak berbeza.
Begitulah hidup...

Jumaat, 16 Mac 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Kata-kata dan Suara Dari Jauh


Di sini kita bermula - kita mengenang. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Bila jauh menjadi jarak, yang merapatkan dua hati menjadi satu adalah kata-kata – suara.

Ada dua perkara yang menjadi anugerah yang dibawa suara – suara yang menjengah menjadi penenang bagi jiwa yang mendengar dan suara yang bertandang laksana ubat dan penawar bagi rindu bagi mereka yang memulakannya – kata-kata itu.

Sebegitulah rangkulan suara dan kata-kata – kepada saya. Ini kerana saya tidak akan rasa sekiranya saya tidak mengalami dan mengutip bagaimana kata-kata dan suara yang menuturkannya itu menghampiri.

Hari itu saya berkira-kira, dengan telefon bimbit di sisi telinga – saya berkira-kira untuk bertanya khabar ke rumah. Cuma perkara-perkara yang kebiasaan – bertanya sudah makan atau belum, sihat ataupun tidak – akan perihal emak, ayah dan adik-beradik.

Sudah jauh daripada keluarga, tidak bertemu buat sekian masa, sungguh, ia cukup membuat ingatan kepada saya. Benarlah kata-kata orang telah mengalami, kerana jauh itu lebih merapatkan dua hati menjadi satu. Kerana jauh, rindu dan kasih lebih bertambah dekat. 

Bahkan, ditambah dengan suara daripada insan yang menjadi rindu – ia lebih merapatkan.

Namun, telefon bimbit di pinggir kepala itu hanya duduk diam. Terjelepuk tak bersentuh langsung. Tampaknya, saya tidak ditakdirkan untuk melempiaskan rindu malam itu walau keinginan itu membuak-buak.

Yang pasti kemudiannya – Allah itu lebih mengetahui. Dia melihat jelas-jelas hati hamba-hamba-Nya, tidak dapat disembunyi.

Emak yang menelefon dari rumah – malam itu.

Perbualan itu singkat. Namun demikian, sungguh, kerana suara emak, hati saya terubat. Tenang. Seperti saya berada di rumah di desa jauh. Seperti emak, ayah dan adik-beradik duduk bersebelah menyebelah – satu keluarga.

Seperti saya tidak berada di sini – yang jauh dari mereka.

Benarlah – saya mengia lagi. Dengan kata-kata itu, ia memberi anugerah tenang dan tenteram kepada pendengarnya. Rindu bakal terubat. Kasih bertambah kasih. Daun yang hijau nan gugur ke bumi berganti baru.

Dan juga, saya merasakan dengan hati – baik-baik – bahawa emak juga merasa begitu.

Selasa, 13 Mac 2012

[Memoir Anak Desa] Saya Anak Dua Negeri


~Peruang, Benta, negeri Mat Kilau. Bertahunan yang sudah~

Saya anak dua negeri.

Di timur, saya anak negeri perawan Walinung Sari, juga negeri beduk perang tiga pahlawan berbunyi, apatah lagi negeri bergunung-ganang dengan hutan banat. Juga negeri asalnya Seri Pahang, naga bersisik perak yang alah bertempur dengan naga Seri Kemboja di pantai negeri Siam, yang tinggal sekarang Seri Gumum di Tasik Chini memendam rasa.

Inilah Pahang, dan saya anak jati yang tumpah darahnya di sini.

Di barat, saya pula anak pengembara dari seberang samudera. Yang gemar makan pedas sebagaimana hari yang tidak lekang dek didatangi terang siang. Tinggal menetap diam di negeri Dato Maharaja Lela Tan Lela, pejuang bangsa dan agama, yang syahid digantung bersama tiga lagi pahlawan negeri. Diam di negeri ini, dua darah mengalir dalam urat pembuluh. Darah yang pernah dahulu di kemuncak dunia. Dari Tanah Jawa asalnya moyang, datang berhijrah dan berkamir darahnya dengan Tanah Melaka.

Inilah Perak, dan saya anak yang punya dua darah dalam susur diri saya.

Bak erti kata lain, saya anak Pahang, saya anak Perak, saya anak Melayu dan saya anak Jawa.

Itulah saya dan saya akan cuba sentiasa mengingati asal- usul ini.

(Entri ulang tayang semula)

ANTOLOGI UNTUK HATI - Antara Tunggu Dengan Yang Tidak


Tunggulah~ Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Ada masa sahabat pulang, saya akan menjadi keseorangan. Dalam ruang yang dahulunya berdua – kini saya hanya tinggal saya. Pulang sahabat itu tidak lama, cuma tiada seketika dalam ruang cakupan mata dan langkahan kaki.

Apakah dengan pulang sahabat itu saya perlu berusah hati? Juga, apakah saya tidak perlu untuk menunggu sahabat untuk kembali ke sini lagi? Kerana semua, takdir Tuhan, tunggu ataupun tidak tetap sama hasilnya nanti. Susah hati atau sennag hati memikirkannya – tetap sama juga hujungnya jua.

Namun, bagi saya – itu kata-kata manusia yang tidak pernah merasa.

Ya, saya tidak perlu bersusah hati di sini, tapi saya perlu memandang langit Ilahi – sentiasa – dengan wajah yang gembira dan hati yang juga gembira.

Menunggu? Saya tetap akan menunggu sahabat di sini, menunggu sahabat pulang dari pulang. Saya perlu menunggu, bukan dengan dahi yang berkerut seribu tapi dengan tangan yang menadah dengan ingatan hati.

Saya katakan pada diri saya.

“Panjatkan pada Tuhan kata-kata dan hasrat dalam hati. Doa hari-hari. Doa selalu. Doa jangan tidak sesekali. Doa sepanjang masa. Tak kira masa hujan turun atau mentari petang menjengah pulang.”

Saya katakan lagi.

“Tunjuk sungguh, hati dan ingatan kita. Dan yakinlah, Tuhan itu pasti akan melindungi sahabat kita – yang jauh itu.”

Sungguhlah kita, biarpun jauh di mata, pada hati itu tidak sesekali.