antologi.dunia

Khamis, 8 Mac 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Seekor Biawak, Angin dan Saya.


Kala ini pulanglah kita ~ pulang. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Petang itu makin larut dan saya masih berada di tepi bukit.

Ini kehidupan saya untuk menenangkan diri, untuk berfikir serta merenung akan kisah manusia, hati dan dunia – saya akan mampir ke tepi bukit ini pada petang-petang hari sebegini jika diizinkan Tuhan. Saya akan duduk bersendirian – duduk – dan berteman buku catatan dan pensel buat pengisi ilham dan fikiran yang datang.

Di ufuk barat, suria siang susah siap-siap untuk beradu – siap untuk mengucap selamat bertemu kembali. Balam-balam ia dengan cahaya perang membawa saya kepada ingatan rumah di desa jauh, di mana saya sering kali berbuat perkara yang sama – melihat langit petang dan matahari terbenam di garisan langit.

Namun, saya sekarang bukan di rumah, bukan di desa jauh, saya di tepi bukit – melihat langit yang mula menjengah senja.

Dan itu, kaki dan duduk masih lagi tak berganjak. Kemudian, mata saya terpandang sesuatu bergerak dalam balikan semak di tepi bukit.

Makhluk ciptaan Tuhan - seekor biawak.

Merenung dan kemudian tersenyum, waktu itu saya tidak berada apa-apa. Tidak berfikir baik-baik.

“Kamu sedang pulang biawak?” soal saya perlahan – itu sahaja. Kala itulah, perkataan pulang menjadi fikiran saya. Kala itu juga, saya mula berfikir baik-baik.

Saya pandang ke langit kemudiannya. Matahari sedang beransur pergi. Mega juga turut sama mengiringi. Saya teringat rumah di desa jauh, dan petang yang semakin disinar dengan kirmizi menjadi latar suasana hati. Saya pandang semula biawak yang masih merangkak perlahan-lahan – dalam menuju pulang. Kenangan dan ingatan silih berganti memberitahu.

Saya menjadi jeda memandang alam.

“Saya juga harus pulang...” Bait kata itu yang menjadi sebutan saya.

Bingkas bangkit, seluar dikibas, selipar disarung, langit yang senja dipandang, biawak yang makin menghilang seperti matahari direnung – saya mula beransur-ansur gerak – sambil memandang ke belakang untuk menuju pulang. Tatkala itu, angin yang tiada lalu berderu kencang tidak semena-mena. Bagai meneman saya.

“Pulang...” itu kata saya akhirnya.

Dengan itu saya menjadi tersenyum. Angin masih lagi menemani sehingga saya jauh dari situ - tempat semuanya bermula.

Isnin, 5 Mac 2012

Bunga Kemboja Untuk Yang Pergi - Fragmen-fragmen


Bunga kemboja cucunda taburkan. Kredit.


Oh sahabat, inilah hikayat seorang pendeta kata dan alam, alkisah mengenai pesan-pesan daripada seseorang yang mengitari hidupku. Seorang musafir dunia yang telah jauh pergi dari dunia ini. Itulah nenek yang senantiasa tak lekang hikmah dan hikmat di sebalik tutur katanya. Gemulah yang pergi tak hanya meninggalkan nama dan kenangan. Tapi juga pesan-pesan kehidupan. Imbalan daripada kaca mata seorang pengkelana yang hampir seabad meredah onak duri dunia, itulah nenek.

Ya sahabat, gemulah nenek pernah berkata, dunia ini hanya sementara. Tak jauh beza daripada bunga. Kuntum dan harumnya hanya sekali. Lepas itu ia akan layu. Jatuh ke bumi. Dilupa begitu sahaja. Bunga itu dipuji saat ia mekar dan wangi. Bila ia kuncup ia akan dibuang ke tepi. Jauh daripada mata-mata sang insan. Dipandang ia tak disudi.

Nenek lebih gemar akan bunga kemboja yang putih citranya itu. Walau orang lain kurang berkenan akan bunga kemboja atau Plumeria Acuminata daripada keluarga Apocynaceae ini. Lebih-lebih lagi jika ditanam di perkarangan rumah, sial orang kata. Tapi lain pula bagi nenek.

Biarlah apa orang lain nak kata, lain pula jawapan nenek. Mereka tak tahu ertinya bunga kemboja yang cantik itu - begitulah yang gemulah kata.

Mengingati si bunga kemboja bukan sebarangan. Ia membuatkan nenek supaya bersiap sedia awal-awal. Jemputan itu datang tanpa khabar. Tanpa berita, sedar-sedar sudah tercegat di muka pintu.

Itulah kenapa nenek gemar benar dengan bunga kemboja. Simbol penyeri kota terakhir menjadi simbol peringat diri yang alpa.

Gemulah nenek  pernah lagi berpesan, hidup ini adalah satu perjalanan. Kelahiran itu adalah permulaan, dan pengakhiran yang menunggu di penghujung perjalanan adalah pemergian abadi. Itu kota terakhir nenek sambung, kota penghujung bagi perjalanan dunia yang pendek ini.

Oh sahabat, manusia ini hidupnya hanya sekali. Dunia ini juga hanya sekali. Begitu juga dengan bunga, mekarnya hanya sekali dan amat-amat singkat. Kadang-kadang belum mengembang sudah jatuh ke tanah ditiup angin.

Benarlah kata nenek - hidup itu insyaAllah, mati itu adalah pasti.

[Entri ulang siar] 

Ahad, 4 Mac 2012

Rintik-rintik Hanya Singgah - PROLOG



Jangan khuatir duhai manusia. Rintik-rintik yang turun hanya singgah...
[Kredit - petikan novel]

“Mungkin tidak keberatan untuk memohon akan hati saya menjadi satu, bukan dua apatah lagi tiga. Begitu juga lebih daripada itu, saya tidak mahu akannya.

“Ini kerana hati yang satu dapat mengerti banyak perkara. Tapi hati yang banyak susah untuk memahami walaupun perkara yang satu. Biarlah hati itu satu, dan biarlah erti yang difahaminya itu banyak.

“Kehidupan ini bak roda kereta sorong hijau yang selalu diguna abah. Selalu dalam kerja abah mengangkut buah kelapa sawit di ladang ia diguna...

“...dan berpusinglah ia dan berpusing, dan akhirnya pada satu masa henti itu menjadi nyata...

“Malah, dalam hidup kita bukan hanya ada kisah kita seorang sahaja, tapi ada juga kisah hidup orang lain...

“Dalam mengerti kehidupan, saya mahu mengerti akan perihal kisah di dalam dada ini. Tapi saya takut dan gusar sekiranya saya tak mampu hendak menghadapinya...

“Apakah saya berupaya untuk melaluinya?

“Yang pasti pedoman Allah itu pasti akan sampai pada mereka yang mencari-cari bukan? Ia akan datang dalam berbagai-bagai bentuk dan cara. Malah punca datangnya juga tak diduga oleh kita.

“Tiada yang mustahil bagi Allah dalam mengatur takdir hambaNya. Kun fayakun... kemustahilan itu tiada bagiNya.

“Sebegitulah hidup selaku seorang manusia iaitu pada masa yang sama adalah seorang hamba...

“...dan saya mahu menjadinya...”

 ...jiwo raso melaye, raso tok terhinggo, uje ributlah date, basoh jeghuk...
-Maing Mato-


p/s: Ini adalah prolog novel saya, Rintik-rintik Hanya Singgah judulnya. InsyaAllah bakal keluar.

Jumaat, 2 Mac 2012

Suara Kepada Hati


Suara yang disalurkan kepada hati itu asalnya untuk menenangkan diri - atas kesulitan dan kecemburuan yang berlaku.

Ia baik, maka buatlah ia dengan selalu. Kerana ia menyedarkan diri - agar tidak berbuat sesuatu yang nista - kepada diri orang lain, apatah lagi kepada diri sendiri.

Suara itu asalnya untuk memberi ketenangan.

Kemudian untuk masa mendatang, jadikan ia sebahagian daripada diri - kekuatan yang mengatur hidup untuk berhati lebih gedang.

Hari ini saya telah melakukannya. Untuk hari yang mendatang, saya mahu melakukannya lagi.