antologi.dunia

Ahad, 15 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Bila Bangun Pagi-pagi



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

 
Bila bangun pagi-pagi, saya selalu terfikirkan akan sesuatu. Apakah mahu menarik selimut kembali? Atau bangun terus untuk menyahut panggilan pagi? Mungkin saat ini fikiran ini yang menjengah diri – antara mahu atau tidak untuk bangun pagi-pagi.

Kita mengetahui tetapi kita tidak mahu. Kredit
Bila sudah berdiri, dan meregang tangan dan kaki, bila buka jendela rumah di desa – lalu terpampang luar yang masih diliput gelita – apa yang saya fikir dengan wajah yang masih bersahaja? Apakah di dalam kepala hanya terfikir akan rutin seharian sekali lagi? Rutin makan, bekerja, minum dan tidur kembali?

Bila masuk ke bilik air – menghadap cermin mula-mula dan melihat wajah selepas bangun – apa yang saya rasa dan fikir? Tidakkah saya merasai sesuatu?

Lalu, air telaga yang dingin dicecahkan ke tubuh. Bila air yang sejuk menyelinap ke seluruh anggota, masuk ke saraf, masuk ke sendi – saat itu juga ia masuk ke akal fikiran.  Barulah saya dijentik dengan suatu fikiran.

Air telaga yang dingin – rupanya – selalu menjadi pembawa berita yang tak selalu difikirkan. Tatkala pada jirusan pertama – itulah – yang menjentik saya pertama-tama dengan nilai yang dibawa.

Mungkin insan lain berfikir sama seperti saya. Atau mungkin tidak. Namun, apa yang saya fikirkan itu membuatkan saya sentiasa berfikir yang seterusnya.

Apa yang saya fikir?

Saya fikir – rupanya saya masih lagi hidup lagi pada hari ini, saya masih...

Jumaat, 13 Januari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Pandang Ke Langit


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Sewaktu dalam sebarang perjalanan, tak kira jauh atau dekat, tak kira pagi atau petang, ada satu perkara yang saya tidak lepas untuk dipandang mata saya. Tidak lepas untuk mengikuti saya ke mana saya tuju dalam dunia.

Langit yang terbentang luas, itulah ia.

Sewaktu saya perhati dan perhati akan langit, ada saya perasan akan birunya langit. Lama saya perhati, tidak betah untuk dilepaskan olehnya mata. Lambaian langit membuatkan langit yang tinggi terasa dekat untuk dicintuh tangan. Dengan awan-awan putih yang berarak bergumpal, perlahan-lahan. Dengan perlahan-lahan juga ia bersatu dengan langit. Awan-awan putih seolah-olah hidup – seperti manusia – bergerak perlahan dan berubah rupanya kerana angin.

Ada masanya, saya menjadi tercegat – seketika – dalam memerhati.

Langit yang biru hanya diam, bagai tersenyum  kerana telatah awan-awan putih. Tidak ia berubah kerana awan-awan. Tiada ia mengeluh kerana angin yang lalu. Ia juga bagai tidak kisah bila dilitupi awan-awan – hilang daripada pandangan mata-mata. Setia menunggu dalam sorokannya. Gembira jika bertemu hari cerah. Menunggu dengan sabar bila hari menjengah mendung dan hujan.


Waktu itu, tatkala saya melihat ke langit dengan perasan seperti anak kecil yang baru mengenal dunia, barulah saya sedar setelah sekian lama hidup.

Bahawa langit dan kehidupannya itu cukup indah.

Pandang ke langit, pandanglah.

ANTOLOGI UNTUK HATI - Anak Kecil



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Kisah anak kecil semua orang sudah tahu. Kerana kehidupan anak kecil setiap manusia telah lalu. Tiada terkecuali.

Anak kecil hidup dalam ruangnya tersendiri. Kalau bermain, mainlah ia tanpa henti. Kalau gembira, sentiasalah ia gembira. Kalau menangis, sekejap sahaja ia menangis. Jikalau merajuk, akan hilang juga rajuknya nanti sendiri. Tiadalah anak kecil memikir susah. Kerana ia tidak sesekali memikir susah. Sebegitulah hidup si anak kecil. Cukup mudah, sungguh senang, tiada gundah, tidak bermasalah.

Dan ini, setiap kali, sebenarnya, adalah tanggapan saya – orang yang bukan lagi anak kecil – apabila melihat kehidupan anak-anak kecil.

Apakah kehidupan anak-anak kecil berbeza daripada yang saya – orang yang tidak akan lagi menjadi anak kecil – fikirkan?

Bila anak kecil melalui kehidupannya, anak kecil juga melihat sekitarnya. Anak kecil pandang wajah ibunya, anak kecil pandang wajah ayahnya. Apakah anak kecil tidak memikir sesuatu?

Anak kecil bukan sebarang anak kecil. Kredit: ohnurre

Bila kita mengalih wajah, saat itulah, anak kecil akan datang untuk mengelap peluh di dahi ayah, anak kecil akan datang ke sisi ibu timpuh untuk sekali menggetis sayur. Apakah saya – orang yang dikatakan dewasa – tidak melihat sebegitu?

Apakah saya – orang yang tidak jauh daripada hidup anak kecil – memikirkan bahawa anak kecil hanya melihat dirinya sendiri, tidak memikir akan perihal hidup?

Hidup anak kecil – setiap mereka-mereka sentiasa melihat hidupnya – tidak tertanding oleh saya kini. Jika dibanding antara saya dengan anak kecil, sudah pasti saya akan alah terduduk di sudut tepi. Kisah anak kecil juga membuatkan saya kembali mengingat.

Kini, bila sudah menjadi dewasa, saya membuang jauh-jauh kisah anak kecil. Sungguh, saya menjadi lupa bahawa dahulunya saya pernah hidup sebagai anak kecil.

Selasa, 11 Januari 2011

[Sahabat] Tujuh Wasiat Imam Syafie


Wasiat Imam Syafie tentang Bersahabat

 Cuplikan daripada Pembina dan Devianart-indrante


Perihal Yang Pertama: Sahabat Yang Baik

Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk perkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak  aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.
 

Perihal Yang Kedua: Mencari Sahabat Di Waktu Susah

Belum pernah ketemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Padahal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

Kalau duka melanda, aku sering bertanya... siapakah yang sudi menjadi sahabatku?

Dikala aku senang, sudah biasa bahawa orang akan iri hati. Namun bila giliran aku susah, mereka pun bertepuk tangan.
 

Perihal Yang Ketiga: Pasang Surut Persahabatan

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapati mereka tidak ubahnya seperti roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka  mencemuhku, dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

jika hidupku berlumur kebahagian, ramai orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.


Perihal Yang Keempat: Mengasingkan Diri 
Apabila tidak kutemukan sahabat-sahabat yang bertakwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku bergaul dengan orang-orang jahat.

Duduk bersendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkanku daripada bersahabat dengan kawan yang mesti ku waspadai.


Perihal Yang Kelima: Sukarnya Mencari Sahabat Sejati

Tenangkanlah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan dari manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka, maka kelak kamu akan memperolehi kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang-orang yang bodoh kerana kejelekannya dan kujauhi orang-orang mulia kerana kebaikannya sedikit.



Perihal Yang Keenam: Sahabat Sejati Di Waktu Susah

Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripda kawan. Tiada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidupku aku berjuang keras mencari sahabat sejati sehinggalah pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.
 

Perihal Yang Ketujuh: Menjaga Nama Baik

Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya.

Ramai orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat sang kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.

Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang dari tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah dibentuk dan akan menampakkan hal-hal yang kelmarin menjadi rahsia.

Selamat tinggal dunia jika atasnya tidak lagi ada sahabat yang jujur dan menepati janji.