Khamis, 11 April 2013
Membaca
Fiil membaca saya agak berlainan daripada orang - pembaca - yang lain. Saya membaca kurang atau lebih sepuluh (beberapa) buku serentak. Itu gaya saya. Sesebuah buku selalunya tak menggamit untuk mengulitinya daripada awal hingga akhir pada satu masa. Malang sungguh pada buku tersebut. Sampai beberapa muka surat, saya sudah menutupnya kembali. Mungkin ianya kerana sikap tergesa-gesa. Mahu cepat habis atau tamatkan sesuatu pada masa yang singkat. Tidak selesai satu buku, saya buka pula buku seterusnya. Tidak selesai pada buku tersebut, saya buka lagi buku-buku seterusnya.
Sampai satu masa (buku yang ditakdirkan) saya kembali semula ke buku yang dibaca pertama sekali - atau buku-buku yang berada di antara buku pertama dengan buku terakhir. Sungguh malang buku yang pertama (jikalau begitu).
Perlakuan saya ini berulang-ulang. Ada buku yang akan dihabiskan baca. Ada buku yang baru dimasukkan dalam pembacaan (dan mengalami nasib yang sama). Ada juga buku yang langsung saya tak sentuh sudah sekian lama (akhirnya diulang semula baca pada halaman satu, tidak di mana saya berhenti). Perlakuan saya ini diulang-ulang, walau pada buku yang berhalaman nipis - tetap menjadi mangsa.
Namun, ada juga buku yang mampu menarik saya untuk membacanya dalam sepintas lalu. Malah, dalam sekelip mata, seputar jarum di jam, seduduk dan sekisar punggung di atas kerusi, saya mampu mengulitinya daripada halaman pertama hingga halaman terakhir. Bahkan, saya sempat lagi membeleknya beberapa kali, melihat sudut-sudut, ada juga pembacaan kedua yang lebih teliti daripada yang pertama.
Buku ini sungguh bernasib baik.
Buku ini - grafiknya lebih banyak daripada huruf-abjad-kata-kata-bahkan nombor.
Tampaknya, buku sebegini lebih menggamit.
p/s: Ada sesetengah buku yang membikin saya untuk meneliti dengan lebih.Demikian, saya suka untuk membaca lambat-lambat, untuk diletak catatan dan fikiran di tepi dan di ruang-ruang kosong, untuk digaris dan dicerahkan untuk ingatan dan pembelajaran. Buku seperti ini memerlukan masa yang lama, berulang-ulang pembacaan (tidak cukup sekali), lalu berdikit-dikit pada satu-satu masa adalah perkara kegemaran saya padanya.
Sabtu, 23 Mac 2013
Pulang ke Rumah
Saya pulang tiga hari lepas. Malam hampir menjengah pertengahan, dan kala itu saya meredah pulang dalam kesunyian dan gelap gelita. Orang lain - teman-teman - tak tahu saya pulang. Saya pulang dalam diam. Saya rungsing ketika itu, dilakur sekali dengan perasaan pilu. Orang lain - teman-teman - tak akan mengerti apa yang saya rasa. Mereka tak pernah merasa. Rasa malu yang lalu menyiat-nyiat hati. Mereka asyikin dengan tubuh sendiri, dan tubuh saya adalah satu dalam sejuta. Parut yang berlubang kecil bila ditaruh dengan paksa akan membesar dengan penuh luka. Itu sebab saya pulang - harus pulang. Pulang dalam senyap. Seperti malam yang berlalu dengan senyap. Saya menghilang dalam kesenyapan itu.
Harapan saya meninggi, bersipongan dalam fikir, yang rumah tempat damai di perosok hutan itu ada ubat untuk luka saya.
Rumah, saya pulang ke sana. Senyap diri. Tak siapa yang tahu.
Rumah, tempat hati-hati orang tak kisah apa luka saya - mereka tak pernah meminggir.
Khamis, 14 Mac 2013
Ke-gembira-an
Bila kita berduka Tuhan itu datang menggembirakan kita.
Dia gembirakan kita dengan melalui perantaraan hamba-hamba-Nya - dengan dorongan semangat dan ucap terus ke hadapan oleh insan-insan yang dekat dengan kita.
Dia gembirakan dengan cita-cita dalam diri kita. Cita-cita yang terpendam, yang kita lalukan dalam hati suatu ketika dulu, Dia timbulkan semula. Cita-cita yang baik, pastinya akan diingatkan kembali oleh Tuhan.
Itulah. Bagi kita, bila berduka jangan sekali berpaling daripada Azza wa Jalla. Tapi dekatlah dengan dia serapat-rapatnya. Tuhan tak pernah lupa untuk mengingat kita walau sedetik.
Rabu, 6 Mac 2013
Seorang Penulis
Tidak setiap hari saya dapat menulis. Dalam tempoh sebulah pun, belum tentu ada karta yang ditulis dengan baik. Orang yang tidak menulis, biasanya mereka memandang penulisan sebagai kerjaya rutin. "Mengapa anda tida menulis?" tanya seseorang apabila mendengar si penulis mengeluh; kerana dia berada tertekan kerana lama tidak menulis. Masalah ini hanay dirasai oleh golongan penulis yang mencari sisi terbaikuntuk karya mereka.
"Sekarang saya dalam proses pengeraman. Tidak dapat menulis lagi," jawab penulis tersebut.
[I want to be a writer, Ummu Hani Abu Hassan, halaman 194]
Apakah ini jawapan yang dirasakan baik berkenaan dengan saya?
Langgan:
Catatan (Atom)