antologi.dunia: Januari 2013

Isnin, 21 Januari 2013

Kota Terakhir (i)


Kita bertemu tak bercukup sebulan.

Kita bertemu pada hari itu - masih lagi terasa di hujung mata. Kecil tubuhmu, halus-mulus peganganmu, masih berbekas dari hari yang pertama-tama itu. Saat aku ketawa gembira bertemumu, waktu kau berasa selesa dalam genggam dua tanganku, semuanya bakal tinggal dalam memori dunia.

Kita bertemu kerana takdir, dan aku amat bersyukur - hari ini - kepada Tuhan kerana mendatangkan dirimu dalam perjalanan hidupku ini.

Tapi, Tuhan tak mengizinkan kita untuk pergi bersama-sama lebih jauh lagi.

Malam itu, kali terakhir kita bersua, aku akan kenang dalam rindu.

Bukankah tanah yang menjadi hijab kali ini (dan selamanya) tidak menghalang hati, dan harapan kepada Tuhan.

Saat akhir petang esoknya, dalam dakapan bumi yang menjadi ibu kepadamu yang seterusnya, perlahan-lahan aku yang menutup wajah sucimu dengan seroi dan besar selimut yang tebal (dalam seorangan itu, dalam pandangan kepada tempat sementaramu) menutur perasaan hati.

"Tuhan... temukan kami kembali di dunia sana - dunia yang tak fana."

Atas perpisahan kita aku bersyukur, kerana akhiranmu tidak disia-siakan oleh Tuhan. Tidurmu di dunia akan jadi selamanya. Dan aku tahu Allah sudah menyambut kedatangmu di sana - lalu kasihku, sampaikan RINDUKU (yang tak seberapa) kepada-Nya.

Perpisahan kita ini adalah sementara, seperti dunia seperihalnya jua. Perpisahan kita selepas hidup bersebulanmu - walau ia tak lama - moga ia meneguh hati dan jiwa ini, bersedia untuk tidak menangis, bila datang perpisahan-perpisahan yang akan datang.



-Selamat tinggal (pertemuan jasad) sang kasih hati-
21 Jan 2013 
di tengah zuhur yang makin ketepi


Jumaat, 18 Januari 2013

Tahun Berdepan-depan Untuk Rintik-Rintik Hanya Singgah


Rintik-Rintik Hanya Singgah itu makin memetik masa lalu akan jadi sebuah cerita yang akan ditinggal belakang, yang akan orang lupa. Setiap perkara adalah fana, sebagaimana namanya juga - sang rintik-rintik tak kekal untuk berterusan turun. Jika ia suatu yang berlayar di laut biru, ianya akan tenggelam jua ke dasar.

Rintik-Rintik Hanya Singgah walaupun ianya adalah kejayaan saya yang pertama - kejayaan nan sejemput - ianya masih tak mencukupi (kerana ia sejemput). Ada seribu satu nilai yang saya mahu teruskan dalam dan sewaktu hujan renyai yang turun itu.

Cerita ini bakal jadi cerita lama, yang tidak didendang lagi. Hilang dalam senarai mata.

Apakah ianya akan dikenang? Barangkali... pada siapa yang telah mengenal ia.

Lalu, sekarang ini saya ada berimpi lagi - cita-cita tinggi - mahu mengapungkan cerita rintik-rintik yang akan tenggelam ini. Dan ini cerita untuk bertahunan akan datang, tahun berdepan, untuk dilaksana, insyaAllah.

Sangkala ini, ada tulisan lain yang lebih mendahulu utama. Ada beberapa; kisah damai, warkah kepada teman-teman, dan bicara tentang kesulitan sepertimana jua bersinggahnya rintik-rintik - cita-cita saya yang mahu dimurni. Walakin, perjalanan tulisan-tulisan ini agak macet. Puncanya, semangat saya didorong dengan ingatan dan perasaan. Keadaan yang selesa sememangnya bukan teman yang baik. Sebab itu juga, kisah bicara lat pepohonan dengan hati manusia - cerita dahulu-dahulu - menjadi tergendala lebih dua belas kali bulan berterang di langit.

Rintik-rintik itu pemula saya, dan itu menjadi harus bagi saya untuk mengapungnya sentiasa.

Begitu juga dengan hasil lain, damai atau kisah berkenaan gadangnya hati dan segalanya saya harus apungkan.

Bukan tulis, kemudian layarkan, dan biarkan ia menjadi karam. Jangan sesekali.

Kisah rintik-rintik ini ada yang berkata, ianya sebuah kisah yang berat, kisah yang tidak mampu menarik - ramai - orang. Atas perihal ini, ia membuat saya berfikir, terenung jauh.

Apa kata kita permudahkan rintik-rintik yang lebat ini menjadi rintik-rintik yang mana orang tidak gusar untuk meredah sewaktu ia mencurah-curah? Ada orang memberi cadangan. Jadikan bahasanya untuk memudahkan anak-anak bangsa generasi baru. Ringkas, tapi padat. Bahasanya senang tapi tidak ringkas sezaman 'taipan jari', malah masih indah, berisi dan malah molek bicara dan jemputnya.

Ini juga perancangan bertahunan mendatang.

Walau senipis mana ia jadi, ia tetap jadi rintik-rintik yang hanya bersinggah. Masih rintik-rintik yang telah turun - masa ini - rintik-rintik yang sama.

Dan juga, apungan si rintik-rintik tidak setakat rintik-rintik di zaman Rifqi Sabran, zaman awal-awalnya. Jika dipegang tangan saya oleh Tuhan, kemudiannya ditarik mengikuti larikan-Nya, rintik-rintik tetap akan berlangsung. Menjingkau selepas Rifqi Sabran, jauh menjauh perginya - hingga Abah tiada, Emak tiada, Hambali tiada, hingga Rifqi Sabran sudah tiada. Hingga hujung masa.

Sungguh, ceritanya sudah difikiri, tetapi masih tidak lengkap. Ada perkara yang perlu dicari, seperti kita yang masih diduga hujan lebat di hujung petang, di tepi lebuhraya, sebelah kiri kita gelap dek awan mendung, dan nun di belah kanan, rewang terang petang yang menjadi lambat memancar-mancar.

Judulnya yang menjadi sedikit ruwet. Kerana tanpa judul yang serasi, kisah ini tidak akan ke mana-mana. Sering kali saya mahu mengambil konotasi mendung. Tapi acapkali, 'hujan' tidak mahu melepaskan saya.

Tidak mengapa, Tuhan itu tidak mengizinkannya pada saya waktu ini.

Walakin, impian saya pada Rintik-Rintik Hanya Singgah, tetap tak terhenti, untuk tidak berhenti.


Selasa, 15 Januari 2013

Damai (iii)


Daun jambu batu itu lain daripada buah jambu batu. Daun jambu batu itu daun – uratnya berjejari tapi bersepadan molek, sememangnya. Buah jambu batu itu buah; buahnya banyak biji di tengah, keras dikelilingi isi putih ke merah jambu yang nikmat – yang membuat orang terawang terangkat. Mungkin buah jambu batu tak mengingatkan kita pada sang daun, tapi bagaimana pula sebaliknya? Mungkin bagi sesiapa, daunnya tak sehebat buah. Dipinggir kerana ianya tidak boleh diterima rasa lidah; sebetulnya tiada siapa yang mahu – memakan si daun jambu.

Daun jambu batu mungkin begitu. Namun daun jambu batu – buat pengetahuan kita – acap kali membuat kita merindu buah si jambu batu. Siapa yang tahu sekiranya tidak mencuba? Dilipat dua menjadi empat. Digentel-gentel membuat bulat. Diramas dekam dalam genggam tangan. Daripada empat jadi lebih dilipat-lipat, direnyuk kita selaksana peronyok asyikin buahan.
Lalu dibuka – tercium bau terbitnya harum – mengingat bau si jambu batu,buah masak kuning dan hijau, berserayut satu demi satu di hujung dahan.

Itulah, jikalau rindu si buah jambu batu sebelum musimnya, hendaklah rindu terlebih dahulu pada daunnya. Daun yang dibentuk oval oleh Tuhan, dengan urat yang terasa alurnya dek tangan bila memegang bawahnya, dan hidup utamanya – si daun – hidup bersetentang antara satu sama lain.

Ianya seperti kisah manusia yang perlukan jua manusia lain dalam berkehidupan – hidup setentang. Daun yang sekadar daun, bukan manusia, membawa tamsilan manusia – makhluk terbaik ciptaanNya – lalu, apakah kita tidak terkesima? Daun yang menerbit harum lantas rindu, adalah hidup yang mengajar mengingat.

Kisahnya, seperti saya dengan Emak.

Ya... seperti kita dengan emak.

Isnin, 14 Januari 2013

Cerita Kita Adalah Gembira



Ceritanya - bagi kehidupan saya - masih terus berlangsung dengan pelbagai rona dan citra. Ia tak sama dengan orang lain. Mungkin bagi orang lain kehidupan saya hanya berlapis satu, tiada isi tiada indah pada mata - mereka. Terlalu tidak 'adventurous'. Hanya berkeliling - jumud pada sekeliling nan jauhnya tak hilang bayang sepenggalah.

Namun, saya tetap gembira. Kerana 'jauh'nya itu adalah nikmat dan rahmat - untuk saya mengerti lebih banyak orang yang dekat dan berhampiran.

Buat saudara dan saudari, cerita yang saya perolehi dan mengerti itulah cerita yang ditulis.