Khamis, 29 Mac 2012

Cinta dan Sayang Makin Pergi


Cinta sejati pasti ada. Kredit.

Mungkin benar manusia itu makin hari makin surut kasih sayangnya. Makin hari makin hilang rasa cinta. Yang lebih diutama adalah kepentingan diri. Nilai untuk berkongsi kasih itu mula pudar, mula terbang.

Namun, apakah dengan maksud itu sudah tiada lagi manusia yang berkasih sayang? Yang benar-benar berkasih sayang? Yang bukan sahaja di luaran tetapi juga dalamnya?

Ingatlah.

Selagi bulan masih tergantung di langit malam, selagi pada pagi hari masih lagi mentari terbit di ufuk timur, selagi itu masih ada insan-insan yang menabur cinta sejati.

Cinta pada Tuhan.
Cinta pada Junjungan.
Cinta pada keluarga dan saudara.
Cinta pada rakan dan taulan.

Kita pilih cinta dan sayang, dan jangan kita mula-mula yang membuang kasihnya.

Mungkin benar manusia itu makin hari makin surut kasih sayangnya. Walaupun begitu, janganlah kita yang menjadi manusia sebegitu. Walau yang tinggal nanti hanya kita seorang yang berkasih sayang, biarlah.

Kita tabur cinta kita, dan itu - Tuhan itu pasti akan melihat segala-galanya.

Sabtu, 24 Mac 2012

Rintik-rintik Hanya Singgah - Bab 47




Gerimis Nan Datang Ini Petang Bukan Berlenggang, Teh Panas dan Cucur Goreng Ada Dijinjit Ada Dibentang, Gerimis Petang Ialah Kisah untuk Dikenang – Sebuah Masa Nanti, Bila Tiba Nanti, Sebuah Janji
Takkan diduga kita sebuah peristiwa, takkan tahunya oleh kita...


Hujan turun - rintik-rintik - tadah dengan tangan. Kredit.


Gerimis turun, gerimislah turun... Turun dengan perlahan, dengan perlahan-lahan ia turun... Pejam mata, pejamlah mata... Biar ia lalu, menimpa muka, membasah dunia, mengalir ke tangan...

Biarlah ia, biarlah... Tiada duka kerana gerimis.
Tidak luka pada kita.

***

Gerimis berkertap-kertap bila bertemu dengan atap. Perlahan bunyinya tenang rasanya – seperti ibu yang mendodoikan anak di dalam buai, tenang si anak kerana hadir dan dendang ibu. Dari atas gerimis yang halus dan kecil bergabung-gabung. Menjadi satu-satu dan akhirnya dari hujung atap – ia meluncur jatuh menimpa batu dan tanah, menimpa bumi, bertakung di selipar hitam dan sandal berwarna hijau, membasahi daun, dan kuntum-kuntum bunga warna-warni di pinggir serambi.

Begitulah resmi si gerimis turun.

Dia memerhati gerimis turun. Seraya bersandar pada kerusi rotan. Diam dan diam dia, memerhati sekali asap yang berkepul-kepul naik – daripada cawan teh panasnya yang berjernih merah. Hilang di serambi – asap itu – dalam gerimis yang turun sedari lama tadi.

“Apa yang kamu sedang lamunkan itu, teman?”

Dia menggelintar mata ke punca suara. Tercegat seseorang yang dia amat kenal. Memandang dari tepi pintu – sambil menyilang tangan – sambil menyandar di tiang pintu. “Tiada apa-apa... Cuma terkenangkan peristiwa lama...” Dia memberi senyum mesra. Dua-dua lesung pipit di pipi kelihatan. Kelopak mata menutup sebahagian mata, bagai orang memikir jauh – seperti layu keadaannya, tapi bukan layu seperti daun yang layu.

Bening ia seperti air sungai mengalir jernih dari mata puncanya. Dari dalam bercahaya ia seperti matahari di langit tinggi.

“Lamakah kenangan sampai jauh sebegitu menungnya?” Tanya lagi insan yang berdiri. Dalam gerimis ia bertambah erti.

“Kamu mahu mengusikkah?” Lesung pipit di pipi semakin jelas lesungnya. Gigi dia di kerusi rotan itu tampak baris dan susunnya dari sandar pintu.

“Kalau bukan usik apa lagi?”   

Dia diam. Dia mencicip sedikit teh panas sebelum diletakkan kembali di atas meja. Terhidang sekali sepiring cucur goreng yang masih tidak tersentuh. Dia mengalih matanya lagi. Kali ini dibiar tenggelam dalam gerimis yang turun.

“Kalau kenangan adalah bukan sembarangan, tidakkah berbaloi untuk mengenang si kenangan?” Dia pula yang beralih menjadi tanya.

“Tiada salah bagi sesiapa. Kenanglah jika ia baik untuk diri...” Insan yang berdiri turut sama mengeluk mesra.

Gerimis turun ibarat gurindam dalam geram, seperti seloka ketika duka. Gerimis turun berjujai-jujai – tidak ada henti. Insan yang memerhati masih lagi di tepi pintu. Teh panas merah dengan asap kepul-kepul dan cucur bilis goreng tetap berada di atas meja.

Masa gerimis masih turun lagi itu dia sudah berada di tepi serambi – menadah gerimis – seperti yang dia ada lakukan suatu ketika waktu dahulu. Lesung pipit bertambah-tambah dalam lekukannya, perlahan-lahan. Kerana itu dia mengenang jauh..

Kerana kita menjadi rindu... sebab itu kita mengenang...
Biarlah kita menanggung rindu.

Selalunya kisah yang bakal datang itu tidak jauh benarnya daripada kita. Kisah yang makan tahun itu hanya sekedip mata.

Dia tidak bena untuk merasa bena kerana kisah lama tidak akan dapat dibuang.



p/s: Ini antara bab 'hati' saya dan bab yang menjadi 'janji' saya.

Jumaat, 23 Mac 2012

Dua Individu, Tambah Ketiga, Tetap Berbeza


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
 
Pertemuan antara dua individu pastinya akan membuat telagah dalam cita rasa dan kemahuan. Berbeza.

Dua-dua punya minat yang lain-lain. Apatah lagi wujud yang ketiga yang pastinya tidak akan membelahi mana-mana pihak - kerana dia juga punya kemahuan asing-asing. Itu adalah pasti. Sedangkan burung-burung yang terbang sama jenis dan tidak punya fikiran pasti wujud kelainan.

Ini adalah bukti kebijaksanaan Tuhan. Kekomplesitian dalam mencipta kelainan dan kesamaan - dua-dua ini manusia tidak punya dalam dunia realiti.

Namun.

"Apa kena dengan pilihan dia?Pembaziran. Kekolotan. Mentang-mentanglah statusnya lebih berupaya daripada kita."

Akan ada kata-kata - sebuah sindiran, umpatan, status yang bawah sedikit daripada kebencian, asalnya daripada penidakan kerana ketidakupayaan - wujud pada mulut sebelah pihak (kita sendiri).

Bila sebelah pihak - kita - tidak gemar dengan pilihan pihak yang lain, kerana faktor-faktor yang berbagai-bagai, usah dijadikan mulut itu seperti burung kakak tua yang hanya tahu mengajuk perkataan sedangkan akal itu tiada padanya (sedangkan di sini kakak tua jadi lebih mulia daripada kita).

Bersyukur kerana rezekinya, kagum kerana kelebihannya, hormat kerana pendirian. Usah dicemuh, kerana mungkin sindiranmu itu akan berputar seperti boomerang mengenai dahimu pula.

Mungkin dia ada sesuatu yang lain - kelebihan - yang kamu tidak punya dalam cakupanmu. Pemberian Tuhan. Kasih Tuhan.

Pejam mata. Bina fikiran baik-baik. Senyum. Jaga mulut. Ucap Alhamdulillah.

Sesungguhnya Tuhan itu lebih mengetahui.


Khamis, 22 Mac 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Tak Luka Dek Hujan Tak Sakit Dek Tempias


Waktu hujan turun. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Bila hujan turun, semua manusia akan ke tepi – meneduh di bawah teduhan sambil melihat huna turun – hanya membiar hujan turun dari langit, jatuh ke tanah, bertakung dan hilang diresap bumi.

Tidakkah kasihan melihat hujan turun tak berteman – tidak disahut tidak disambut oleh kita – manusia-manusia yang melata.

“Hujan kini bukan macam hujan dahulu. Hujan kini lain seperti hujan dahulu. Jauh beza. Kerana hujan bakal demam, kerana hujan bakal sakit, hujan kini tidak elok berbanding hujna dahulu.”

Itu kata-kata kita, kata manusia. Bila melihat hujan turun hari ini.

“Siapa yang buat hujan jadi sebegini?”

Namun, itu soalan yang patut kita tanya pada diri kita hari ini.

“Hujan dahulu tidak seperti hari ini. Hujan dahulu tidak bawa duka, tidak bawa bahana. Asal hujan adalah suci. Manusia datang lalu mencemarnya. Atas nama pembangunan, atas nama teknologi, semua hanya difikirkan tentang hal diri. Tak langsung difikir tentang hujan yang menerima kesan.”

Hujan yang turun itu asalnya teman manusia. Kala gembira, kala sedih, ia datang membawa tawa. Tapi sekarang hujan turun tak siapa yang sudi – untuk menemani hujan seperti dahulu. Dibiar ia hujan, disambut tidak, dipandang dari jauh pula.

Jikalau satu masa nanti, hujan tidak akan turun lagi, barulah kita menyesal tak bertepi. Hatta tangis mengganti sungai, takkan ia dapat diganti.

Asal hujan tidak bawa bahana dan duka, asal manusia yang menjadikan hujan begitu.

Lalu, bila hujan turun, tadah hujan dengan tangan. Perlahan-lahan kita masuk ke dalam hujan. Depang tangan dan pandang ke langit. Putar seperti darwisy yang rindu pada cinta. Biar titis-titis hujan menimpa muka.

Ingat wahai kita, tak luka kita dek hujan, tak sakit kita dek tempiasnya.

 

Selasa, 20 Mac 2012

Novel Rintik-rintik Hanya Singgah : Kisah Untuk Hati [Bakal Datang ]



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Rintik-rintik Hanya Singgah - ini hanya desain awal bagi kaver. Kredit - Pelima Media.

Segala puja dan puji kepada Azza wa Jalla. Sesungguhnya tanpa izin-Nya novel ini tidak akan wujud dalam dunia nyata. Kepada keluarga dan teman-teman seperjuangan yang sentiasa menyokong di belakang - sama ada diketahui oleh saya atau tidak - hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa dan budi kalian. Jika tidak kerana kalian juga, saya pasti tidak akan berdiri di sini pada hari ini.

Setelah berhempas-pulas mengejar cita-cita, akhirnya Allah memberi berita gembira. Setelah menatang anak sulung ini selama empat bulan, siang malam diperhati dan dibelai dengan hati dan jiwa, dibawa ke sana dan ke mari, akhirnya ia bakal juga lahir ke dunia. Alhamdulillah.

Pasti setiap orang tertanya-tanya, novel ini adalah kisah apa? Cerita apa yang dinukilkan dalamnya? Kisah cinta? Kisah kehidupan? Kisah sebagainya?

Ya, dalamnya kisah cinta, dalamnya juga kisah kehidupan, dan dalamnya juga adalah kisah sebagainya. 

Rintik-rintik Hanya Singgah adalah kisah manusia, dalam mencari kisah bertuhan dalam kehidupan. Dalamnya ada kisah cinta - cinta kepada keluarga, cinta kepada saudara, cinta ketika hujan turun renyai-renyai. Kisahnya mengenai kegagalan, dan apa yang ada pada kegagalan. Ia kisah mengenai dunia yang ditumpang manusia, dan pilihan yang dipilih oleh manusia yang hidup melata di atasnya.

Rintik-rintik Hanya Singgah banyak mengajar saya sebenarnya. Dalam menulisnya, saya meletak hati - mengikut pesan seorang guru yang tak pernah ditemui bertentang mata - yang banyak mengajar saya dengan ayat-ayat yang singkat tapi hidup dalam hati saya.

Saya hidup dalam Rintik-rintik Hanya Singgah, dan moga Rintik-rintik Hanya Singgah sentiasa hidup dalam hati saya ini.

Dalam tempoh empat bulan pembikinan kisah ini, ramai manusia - sahabat-sahabat dan teman - bertemu dan bersuka, merantau mencari pengalaman menerusi langkah dan capaian tangan. Tapi, saya tidak berkedapatan. Lalu, pada Rintik-rintik Hanya Singgah saya bercerita dan berdamping, siang dan malam.

Saya luah pada Rintik-rintik Hanya Singgah rasa saya ketika melihat langit jauh, ketika mengimbau teman dan saudara. Saya luah padanya ketika saya berharapan - doa saya, ingatan saya.

Rintik-rintik Hanya Singgah mungkin tidak seberapa dengan novel-novel lain yang sudah berada di pasaran - yang lebih hebat daripada ini. Namun, saya berpuas hati. Kerana ia pilihan saya, antara lupa dan ingat. Dalamnya saya menyebar pesan dan janji, untuk masa mendatang.

Ada seorang guru juga yang mengatakan, antara dua pihak pembaca - penilai yang memberi anugerah dengan pembaca yang mencari hikmah - dia akan memilih pihak kedua, dan saya juga mahu begitu. Karya yang baik adalah karya yang bermanfaat, dan semoga karya saya ini memberi manfaat kepada pembaca.

Saya hanya manusia biasa, yang cuba merasa indahnya rintik-rintik yang turun daripada langit.

Kepada Tuhan saya berharap segala-galanya.

InsyaAllah, jika diizinkan-Nya, novel ini bakal menjengah kita dalam tempoh sebulan dua lagi.


Hidup ini tidak hanya kisah kita,
akan ada kisah dia dan mereka.
Antologi kisah kita mungkin tidak sama,
tetapi sudah pasti tidak banyak berbeza.
Begitulah hidup...

Jumaat, 16 Mac 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Kata-kata dan Suara Dari Jauh


Di sini kita bermula - kita mengenang. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Bila jauh menjadi jarak, yang merapatkan dua hati menjadi satu adalah kata-kata – suara.

Ada dua perkara yang menjadi anugerah yang dibawa suara – suara yang menjengah menjadi penenang bagi jiwa yang mendengar dan suara yang bertandang laksana ubat dan penawar bagi rindu bagi mereka yang memulakannya – kata-kata itu.

Sebegitulah rangkulan suara dan kata-kata – kepada saya. Ini kerana saya tidak akan rasa sekiranya saya tidak mengalami dan mengutip bagaimana kata-kata dan suara yang menuturkannya itu menghampiri.

Hari itu saya berkira-kira, dengan telefon bimbit di sisi telinga – saya berkira-kira untuk bertanya khabar ke rumah. Cuma perkara-perkara yang kebiasaan – bertanya sudah makan atau belum, sihat ataupun tidak – akan perihal emak, ayah dan adik-beradik.

Sudah jauh daripada keluarga, tidak bertemu buat sekian masa, sungguh, ia cukup membuat ingatan kepada saya. Benarlah kata-kata orang telah mengalami, kerana jauh itu lebih merapatkan dua hati menjadi satu. Kerana jauh, rindu dan kasih lebih bertambah dekat. 

Bahkan, ditambah dengan suara daripada insan yang menjadi rindu – ia lebih merapatkan.

Namun, telefon bimbit di pinggir kepala itu hanya duduk diam. Terjelepuk tak bersentuh langsung. Tampaknya, saya tidak ditakdirkan untuk melempiaskan rindu malam itu walau keinginan itu membuak-buak.

Yang pasti kemudiannya – Allah itu lebih mengetahui. Dia melihat jelas-jelas hati hamba-hamba-Nya, tidak dapat disembunyi.

Emak yang menelefon dari rumah – malam itu.

Perbualan itu singkat. Namun demikian, sungguh, kerana suara emak, hati saya terubat. Tenang. Seperti saya berada di rumah di desa jauh. Seperti emak, ayah dan adik-beradik duduk bersebelah menyebelah – satu keluarga.

Seperti saya tidak berada di sini – yang jauh dari mereka.

Benarlah – saya mengia lagi. Dengan kata-kata itu, ia memberi anugerah tenang dan tenteram kepada pendengarnya. Rindu bakal terubat. Kasih bertambah kasih. Daun yang hijau nan gugur ke bumi berganti baru.

Dan juga, saya merasakan dengan hati – baik-baik – bahawa emak juga merasa begitu.

Selasa, 13 Mac 2012

[Memoir Anak Desa] Saya Anak Dua Negeri


~Peruang, Benta, negeri Mat Kilau. Bertahunan yang sudah~

Saya anak dua negeri.

Di timur, saya anak negeri perawan Walinung Sari, juga negeri beduk perang tiga pahlawan berbunyi, apatah lagi negeri bergunung-ganang dengan hutan banat. Juga negeri asalnya Seri Pahang, naga bersisik perak yang alah bertempur dengan naga Seri Kemboja di pantai negeri Siam, yang tinggal sekarang Seri Gumum di Tasik Chini memendam rasa.

Inilah Pahang, dan saya anak jati yang tumpah darahnya di sini.

Di barat, saya pula anak pengembara dari seberang samudera. Yang gemar makan pedas sebagaimana hari yang tidak lekang dek didatangi terang siang. Tinggal menetap diam di negeri Dato Maharaja Lela Tan Lela, pejuang bangsa dan agama, yang syahid digantung bersama tiga lagi pahlawan negeri. Diam di negeri ini, dua darah mengalir dalam urat pembuluh. Darah yang pernah dahulu di kemuncak dunia. Dari Tanah Jawa asalnya moyang, datang berhijrah dan berkamir darahnya dengan Tanah Melaka.

Inilah Perak, dan saya anak yang punya dua darah dalam susur diri saya.

Bak erti kata lain, saya anak Pahang, saya anak Perak, saya anak Melayu dan saya anak Jawa.

Itulah saya dan saya akan cuba sentiasa mengingati asal- usul ini.

(Entri ulang tayang semula)

ANTOLOGI UNTUK HATI - Antara Tunggu Dengan Yang Tidak


Tunggulah~ Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Ada masa sahabat pulang, saya akan menjadi keseorangan. Dalam ruang yang dahulunya berdua – kini saya hanya tinggal saya. Pulang sahabat itu tidak lama, cuma tiada seketika dalam ruang cakupan mata dan langkahan kaki.

Apakah dengan pulang sahabat itu saya perlu berusah hati? Juga, apakah saya tidak perlu untuk menunggu sahabat untuk kembali ke sini lagi? Kerana semua, takdir Tuhan, tunggu ataupun tidak tetap sama hasilnya nanti. Susah hati atau sennag hati memikirkannya – tetap sama juga hujungnya jua.

Namun, bagi saya – itu kata-kata manusia yang tidak pernah merasa.

Ya, saya tidak perlu bersusah hati di sini, tapi saya perlu memandang langit Ilahi – sentiasa – dengan wajah yang gembira dan hati yang juga gembira.

Menunggu? Saya tetap akan menunggu sahabat di sini, menunggu sahabat pulang dari pulang. Saya perlu menunggu, bukan dengan dahi yang berkerut seribu tapi dengan tangan yang menadah dengan ingatan hati.

Saya katakan pada diri saya.

“Panjatkan pada Tuhan kata-kata dan hasrat dalam hati. Doa hari-hari. Doa selalu. Doa jangan tidak sesekali. Doa sepanjang masa. Tak kira masa hujan turun atau mentari petang menjengah pulang.”

Saya katakan lagi.

“Tunjuk sungguh, hati dan ingatan kita. Dan yakinlah, Tuhan itu pasti akan melindungi sahabat kita – yang jauh itu.”

Sungguhlah kita, biarpun jauh di mata, pada hati itu tidak sesekali.

 

Khamis, 8 Mac 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Seekor Biawak, Angin dan Saya.


Kala ini pulanglah kita ~ pulang. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Petang itu makin larut dan saya masih berada di tepi bukit.

Ini kehidupan saya untuk menenangkan diri, untuk berfikir serta merenung akan kisah manusia, hati dan dunia – saya akan mampir ke tepi bukit ini pada petang-petang hari sebegini jika diizinkan Tuhan. Saya akan duduk bersendirian – duduk – dan berteman buku catatan dan pensel buat pengisi ilham dan fikiran yang datang.

Di ufuk barat, suria siang susah siap-siap untuk beradu – siap untuk mengucap selamat bertemu kembali. Balam-balam ia dengan cahaya perang membawa saya kepada ingatan rumah di desa jauh, di mana saya sering kali berbuat perkara yang sama – melihat langit petang dan matahari terbenam di garisan langit.

Namun, saya sekarang bukan di rumah, bukan di desa jauh, saya di tepi bukit – melihat langit yang mula menjengah senja.

Dan itu, kaki dan duduk masih lagi tak berganjak. Kemudian, mata saya terpandang sesuatu bergerak dalam balikan semak di tepi bukit.

Makhluk ciptaan Tuhan - seekor biawak.

Merenung dan kemudian tersenyum, waktu itu saya tidak berada apa-apa. Tidak berfikir baik-baik.

“Kamu sedang pulang biawak?” soal saya perlahan – itu sahaja. Kala itulah, perkataan pulang menjadi fikiran saya. Kala itu juga, saya mula berfikir baik-baik.

Saya pandang ke langit kemudiannya. Matahari sedang beransur pergi. Mega juga turut sama mengiringi. Saya teringat rumah di desa jauh, dan petang yang semakin disinar dengan kirmizi menjadi latar suasana hati. Saya pandang semula biawak yang masih merangkak perlahan-lahan – dalam menuju pulang. Kenangan dan ingatan silih berganti memberitahu.

Saya menjadi jeda memandang alam.

“Saya juga harus pulang...” Bait kata itu yang menjadi sebutan saya.

Bingkas bangkit, seluar dikibas, selipar disarung, langit yang senja dipandang, biawak yang makin menghilang seperti matahari direnung – saya mula beransur-ansur gerak – sambil memandang ke belakang untuk menuju pulang. Tatkala itu, angin yang tiada lalu berderu kencang tidak semena-mena. Bagai meneman saya.

“Pulang...” itu kata saya akhirnya.

Dengan itu saya menjadi tersenyum. Angin masih lagi menemani sehingga saya jauh dari situ - tempat semuanya bermula.

Isnin, 5 Mac 2012

Bunga Kemboja Untuk Yang Pergi - Fragmen-fragmen


Bunga kemboja cucunda taburkan. Kredit.


Oh sahabat, inilah hikayat seorang pendeta kata dan alam, alkisah mengenai pesan-pesan daripada seseorang yang mengitari hidupku. Seorang musafir dunia yang telah jauh pergi dari dunia ini. Itulah nenek yang senantiasa tak lekang hikmah dan hikmat di sebalik tutur katanya. Gemulah yang pergi tak hanya meninggalkan nama dan kenangan. Tapi juga pesan-pesan kehidupan. Imbalan daripada kaca mata seorang pengkelana yang hampir seabad meredah onak duri dunia, itulah nenek.

Ya sahabat, gemulah nenek pernah berkata, dunia ini hanya sementara. Tak jauh beza daripada bunga. Kuntum dan harumnya hanya sekali. Lepas itu ia akan layu. Jatuh ke bumi. Dilupa begitu sahaja. Bunga itu dipuji saat ia mekar dan wangi. Bila ia kuncup ia akan dibuang ke tepi. Jauh daripada mata-mata sang insan. Dipandang ia tak disudi.

Nenek lebih gemar akan bunga kemboja yang putih citranya itu. Walau orang lain kurang berkenan akan bunga kemboja atau Plumeria Acuminata daripada keluarga Apocynaceae ini. Lebih-lebih lagi jika ditanam di perkarangan rumah, sial orang kata. Tapi lain pula bagi nenek.

Biarlah apa orang lain nak kata, lain pula jawapan nenek. Mereka tak tahu ertinya bunga kemboja yang cantik itu - begitulah yang gemulah kata.

Mengingati si bunga kemboja bukan sebarangan. Ia membuatkan nenek supaya bersiap sedia awal-awal. Jemputan itu datang tanpa khabar. Tanpa berita, sedar-sedar sudah tercegat di muka pintu.

Itulah kenapa nenek gemar benar dengan bunga kemboja. Simbol penyeri kota terakhir menjadi simbol peringat diri yang alpa.

Gemulah nenek  pernah lagi berpesan, hidup ini adalah satu perjalanan. Kelahiran itu adalah permulaan, dan pengakhiran yang menunggu di penghujung perjalanan adalah pemergian abadi. Itu kota terakhir nenek sambung, kota penghujung bagi perjalanan dunia yang pendek ini.

Oh sahabat, manusia ini hidupnya hanya sekali. Dunia ini juga hanya sekali. Begitu juga dengan bunga, mekarnya hanya sekali dan amat-amat singkat. Kadang-kadang belum mengembang sudah jatuh ke tanah ditiup angin.

Benarlah kata nenek - hidup itu insyaAllah, mati itu adalah pasti.

[Entri ulang siar] 

Ahad, 4 Mac 2012

Rintik-rintik Hanya Singgah - PROLOG



Jangan khuatir duhai manusia. Rintik-rintik yang turun hanya singgah...
[Kredit - petikan novel]

“Mungkin tidak keberatan untuk memohon akan hati saya menjadi satu, bukan dua apatah lagi tiga. Begitu juga lebih daripada itu, saya tidak mahu akannya.

“Ini kerana hati yang satu dapat mengerti banyak perkara. Tapi hati yang banyak susah untuk memahami walaupun perkara yang satu. Biarlah hati itu satu, dan biarlah erti yang difahaminya itu banyak.

“Kehidupan ini bak roda kereta sorong hijau yang selalu diguna abah. Selalu dalam kerja abah mengangkut buah kelapa sawit di ladang ia diguna...

“...dan berpusinglah ia dan berpusing, dan akhirnya pada satu masa henti itu menjadi nyata...

“Malah, dalam hidup kita bukan hanya ada kisah kita seorang sahaja, tapi ada juga kisah hidup orang lain...

“Dalam mengerti kehidupan, saya mahu mengerti akan perihal kisah di dalam dada ini. Tapi saya takut dan gusar sekiranya saya tak mampu hendak menghadapinya...

“Apakah saya berupaya untuk melaluinya?

“Yang pasti pedoman Allah itu pasti akan sampai pada mereka yang mencari-cari bukan? Ia akan datang dalam berbagai-bagai bentuk dan cara. Malah punca datangnya juga tak diduga oleh kita.

“Tiada yang mustahil bagi Allah dalam mengatur takdir hambaNya. Kun fayakun... kemustahilan itu tiada bagiNya.

“Sebegitulah hidup selaku seorang manusia iaitu pada masa yang sama adalah seorang hamba...

“...dan saya mahu menjadinya...”

 ...jiwo raso melaye, raso tok terhinggo, uje ributlah date, basoh jeghuk...
-Maing Mato-


p/s: Ini adalah prolog novel saya, Rintik-rintik Hanya Singgah judulnya. InsyaAllah bakal keluar.

Jumaat, 2 Mac 2012

Suara Kepada Hati


Suara yang disalurkan kepada hati itu asalnya untuk menenangkan diri - atas kesulitan dan kecemburuan yang berlaku.

Ia baik, maka buatlah ia dengan selalu. Kerana ia menyedarkan diri - agar tidak berbuat sesuatu yang nista - kepada diri orang lain, apatah lagi kepada diri sendiri.

Suara itu asalnya untuk memberi ketenangan.

Kemudian untuk masa mendatang, jadikan ia sebahagian daripada diri - kekuatan yang mengatur hidup untuk berhati lebih gedang.

Hari ini saya telah melakukannya. Untuk hari yang mendatang, saya mahu melakukannya lagi.