Selasa, 28 Februari 2012

Rintik-rintik Hanya Singgah - Bila Bertamu Dalam Dua Dunia


Setiap rintik-rintik yang turun pasti akan berhenti juga. Kredit.


Ruang itu putih. Namun tak disedar oleh mata. Ruang itu tak bersempadan. Juga tak dipedulikan dek akal. Tapi manusia yang bertemu dengannya itu benar-benar bertancap di ruang fikiran. Pemuda yang masih tak bernama itu dia ketemu dalam bila dia dicampak ke ruang itu, dan senyum sang pemuda itu masih juga mekar di situ.

“Rifqi, Rifqi. Apakah dukamu sudah kebah?”

“Tidak, ia masih belum sudah lagi...”

“Tidak walaupun sedikit?”

“Tidaklah begitu... Ya, hanya sedikit sahaja yang pergi terbang melayang.”

“Jikalau begitu, ia lebih baik daripada tiada bukan? Rifqi, Rifqi. Apakah kamu sudah ketahuan jawapan yang pertama dan kedua yang telah datang? Apakah kamu sudah ditemui dan ketemui manusia-manusia yang memberi jawapan?”

“Mungkin...”

“Kenapa begitu jawapannya?”

“Saya tidak tahu bagaimana rupa jawapan yang datang. Sekalipun ia jelas datangnya, saya tidak mengetahui ertinya...”

“Apakah dikau tidak menemui manusia pertama dengan anggota pertama dan apakah kau tidak menemui yang kedua juga?”

“Saya masih tak dapat menangkap maksud yang ada dalam peristiwa yang saya tempuhi.”

“Rifqi, Rifqi. Apakah dirimu tak ketemu dengan peristiwa yang membuatkan hatimu terasa sesuatu dalam setiap hari yang kau lalui, dan peristiwa itu membuatkanmu untuk berfikir dan membuat tubuhmu melakukan sesuatu?”

Rifqi Sabran diam.

“Jika kau masih was-was pada pertemuan jawapan itu. Perhatikan pada hujungnya peristiwa. Kamu pasti akan memperolehi satu tanda.”

“Satu tanda? Apakah tanda itu”

“Rifqi, Rifqi. Tidakkah kau menerima tanda yang tak diduga-duga, asalnya tangan, yang dilihat mata, dibaca mulut?”

“Asalnya tangan, yang dilihat mata, dibaca mulut? Maksud abang...”

“Tak mengapa jika kau masih dalam ragu-ragu. Jangan khuatir Rifqi, perjalanan masih jauh. Laluinya dengan perlahanlahan, amatilah dengan rasa kalbumu. Kamu pasti akan mengertinya kelak.”

“Tapi bang...”

“Jangan rasa bimbang itu menjadi isian ragamu. Ia akan datang, ia adalah takdirmu Rifqi.

“Rintik-rintik hanya singgah duhai saudaraku...”

Rifqi Sabran terhenti di sini. Ruang serba putih hilang daripada mata. Susuk tubuh pemuda misteri juga hilang entah ke mana. Yang ada tinggal sekarang hanya kegelapan yang muncul tak semena-mena. Yang samar-samar dengan pantulan cahaya
jingga dari luar jendela. Kedua matanya hanya terkebil-kebil memandang siling yang kosong dan kelam.

Dia sudah kembali ke sini, ke ruang asalnya – biliknya.

“Tanda yang tak diduga? Yang dilihat mata dibaca mulut? Asalnya tangan?” Dalam baringan Rifqi Sabran berulang-ulang menyebut perkataan itu dalam bisikan.

Perkara itu menjadi memorinya mulai masa itu.

~Salah satu bab dalam novel Rintik-rintik Hanya Singgah~

Manusia dan Kata-kata


Ini huruf - kumpulan yang asalnya kata-kata.

Manusia itu bertindak dengan kata-kata. Kebanyakan kita menafsir mula-mula niat penuturnya yang tidak diketahui oleh kita - ditafsir bersandarkan situasi penutur - dan bukan kata-kata itu yang diambil kira terlebih dahulu oleh kita.

Maka, dengan itu ia tidak baik untuk dicontohi kerana niat penutur hanya dia - penutur itu - dan Tuhan sahaja yang tahu.

Justeru, tafsirlah dengan maksud kata-kata itu pertama-tama - bukan niat penuturnya pertama-tama. Jangan ambil kira dan rungsing akan hal niat, tetapi ambillah maksud yang tersurat yang ada pada kata-kata yang keluar.

Ambilnya makna yang boleh difaham baik-baik. Untuk disemat dalam hati - untuk dijadikan pedoman.

Sabtu, 25 Februari 2012

[Memoir Anak Desa] Saya Anak Desa di Hujung Daerah


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Adik di petang hari...

Petang ini saya melihat lagi.

Berbatas-batas tanah yang sudah digembur hampir sebulan lalu dan kacang panjang yang baru hendak berbunga menjadi saksi. Ini tempat bermain saya mengutip kata-kata untuk peri dan budi diri. Ini tempat saya bergalang untuk melangkah ke depan.

Tempat yang sudah kenal dan jenuh dengan jatuh dan luka ini bukan sebarangan tempat pada saya yang kembali berdiri hari ini.

Mengertikan kembali masa silam untuk mencakna masa depan, saya berada di sini untuk menggetis apa rasa yang ada. Di hujung daerah ini, desa yang tidak banyak diketahui orang, saya mula-mula belajar terbang untuk menggapai awan tinggi.

Di sini, bunga-bunga kacang panjang yang kecil bercitra kuning turut gembira kepalang - bahawa saya masih lagi mengingat masa yang telah berlalu.

(Entri ulang tayang semula)

Jumaat, 24 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Harapan dan Kita di Sini


Harapan itu ibarat menguntum bunga pada sahabat yang lalu di hadapan kita. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Untuk pulang dari universiti – ke desa halaman – biasanya saya akan mengambil perjalanan bas di lewat petang. Saya selalu berseorang, kerana saya satu-satunya anak kampung yang menuntut di universiti di mana saya belajar ketika ini.

Sewaktu kepulangan itu, ketika rewang matahari di langit mula memunculkan diri, kala saya bersendirian – di dalam bas selalunya hanya tinggal saya seorang waktu itu tidak terkecuali pemandu bas – hanya memandang dada langit yang penuh dengan biasan perang mentari daripada jendela bas yang dilapisi gentian kaca lutsinar. Keadaannya diam, dan kala suasana menjelang senja itu acap kali tidak membuatkan saya untuk tidak mengimbau.

Kisah dunia, kisah hidup, kisah-kisah mereka yang berada di sekeliling saya, teman-teman yang saya tinggalkan di universiti – kala itu, petang yang perang itu membuat ingatan menjadi warna nostalgia, seakan sudah jauh masa itu ditinggalkan.

Kirmizi di kaki langit yang cantik – langit yang mula gelap menjadi malam.

Saya bersendirian – tidak bersuara.

Buku catatan yang terbuka di peha – pensel mekanikal di tangan kanan.

Semuanya menjadi sebab imbauan dan ingatan saya – sehingga sampai ke destinasi pertama – stesen bas di bandar besar yang menjadi perhentian untuk saya turun.

Dan sewaktu turun daripada bas itu, kala itu hari senja sudah menjadi malam, lampu neon sudah mengganti suria, lampu kenderaan bersimpang-siur, hiruk-piruk kota masih tidak mati, dan harapan yang tidak pernah menjadi kenyataan – menjadi impian saya.

Ia adalah harapan untuk pertemuan.

Ketika turun daripada bas, saya cukup-cukup berharap dapat bertemu dengan sahabat yang pernah dikenali. Sahabat yang sudah lama tidak ditemui. Sahabat yang dahulunya pernah menyandar di bahu, hidup bersama di dunia jauh tanpa keluarga. Sahabat yang pernah makan dan melihat langit bersama. Sahabat yang pernah menjadi janji dan hati saya. Hatta sahabat sekarang atau tahunan yang lepas.

Itulah yang menjadi harapan saya, bila ketika kaki turun menjejak bumi semula, bila saya tinggal benar-benar bersendirian – dalam gelap, kerana saya diturunkan jauh dari stesen bas.

Ingin benar saya bertemu dengan mereka. Sekadar cukuplah pertemuan yang singkat. Kerana hati saya tengah gembira saat itu – kerana pulang – dan saya mahu berkongsi dengan mereka kegembiraan itu. Namun, impian itu tidak pernah menjadi nyata, harapan itu hanya tinggal harapan. Saya tetap menjadi sendirian kala itu, menanti untuk diambil pulang.

Namun.

Saya tidak akan mengalah. Tidak akan putus asa. Kerana saya percaya, pada malam ini, atau malam-malam yang mendatang yang saya tidak ketahui, Tuhan itu pasti akan memberi kisah gembira itu juga nanti.
Pasti.

Tuhan itu Maha Mendengar. Saya akan sentiasa dan tetap berharapan untuk pertemuan itu – selama-lamanya.

Setiap ketika dan masa, setiap kali saya turun di sini.

Sabtu, 18 Februari 2012

Seti Kayu di Bawah Rimbun


Hati mana yang gadang itulah yang akan mencapai cita. Seperti rimbun gadang di tepi sawah. Kredit.




Seti kayu itu sudah lama. Pokok rambutan kawin itu juga sudah lama. Sepuluh tahun. Lagi tua daripada seti kayu di bawah naungannya. Seti kayu sepanjang masa – sebenarnya seluruh kehidupannya – hanya diam. Diam bak juga seperti rimbun pokok rambutan kawin yang menaung. Namun, kadang kala pokok rambutan kawin itu ada juga tidak diam. Bila angin menderu kuat atau ribut datang terkoncoh-koncoh, waktu itu pokok rambutan kawin galak sungguh geraknya. Tidak seperti seti kayu, yang tetap diam, tidak berkuik langsung. Kerana lama, tiga kaki – daripada empat – seti kayu sudah dipanjat anai-anai. Walakin, seti kayu tetap utuh untuk menongkah alam. Bagai berjanji dengan pohon yang rimbun di atasnya. Kamu pergi aku pergi. Kamu ada aku ada, ibarat sebegitu. Pokok rambutan kawin masih sihat masih tegap, walau ada beberapa dahan didugang dengan batang tiang sebesar cakupan dua tangan. Sama juga dengan perihalnya seti kayu di bawah, masih lagi kejap, masih lagi teguh.

Seperti hari-hari nan sudah, ia tetap biasa. Bak masa yang berlalu, ia hanya disedari – sesetengah manusia. Bak bumi dan langit, ia sudah jadi lali pada manusia. Pandang sudah tak kisah, lalu tak lagi duduk. Itulah kisah si seti kayu. Namun, ada juga manusia yang tidak membiar.

Pada hari ini ada seorang manusia yang duduk di atasnya bertanya, “Jikalau yang dewasa mahu menjadi kecil kembali, apa yang akan jadi pada si kecil pula?” Seti kayu mendengar benar-benar tanyaan itu – jelas dan terang. Bahkan manusia itu ada bertanya lagi, “Jikalau yang besar itu sudah menjadi kecil semula, apa bakal berlaku pada yang kecil itu pula demikian?” Berulang-ulang.

Seti kayu kendatipun hanya mampu diam. Seti kayu hendak menjawab – tidak mampu bersuara – hanya boleh diam.  Lalu, manusia yang duduk di atasnya, di bawah rimbun pokok rambutan kawin yang rendang dan lebat itu menjadi menunggu.

Seti kayu, kendatipun – kerana manusia itu –  tidak hanya membiar. Seti kayu, mewasitkan angin untuk menjawab bagi pihaknya “Usah khuatir, kalau hati itu besar, takkan ia menjadi sia-sia,” kata angin – kata daripada seti kayu sebenarnya. “Biarlah musim berganti. Buah yang muda menjadi masak. Buah yang sebutir menjadi segugus. Biarlah tali air berpasang dan surut. Tapi, jangan sesekali biarkan hati menjadi mati.” Angin menderu-deru membuatkan manusia yang duduk memejam mata.

“Mahukah kamu mendengar sebuah kisah? Ini kisah biasa-biasa pada mata, tapi pada hati ia bukan biasa-biasa. Ini kisah mengenai manusia-manusia seperti kamu juga,” lagi angin berkata menyampaikan apa yang dikata seti kayu.

“Ini kisah mengenai apa?” Manusia yang duduk itu bertanya – membuka mata.

“Ini adalah kisah mengenai dua jiwa. Dan ini juga kisah tentang hati yang besar. Iaitu yang akan menang, pada akhirnya.”

Saujana sawah menguning di depan seti kayu berayun-ayun. Burung ruak-ruak menyudu lopak di celah rumput sumbu. Langit biru dengan awan menyilih santun. Seti kayu tetap di situ. Di bawah rimbun seti kayu ia terus menabur bakti, bersama angin lembut menyapa pelupuk mata, bersama rimbun yang menaung redup.

Bagi manusia yang duduk, dengan bait-bait pada desir angin yang lalu – yang bawanya daripada seti kayu yang sudah mengetahui kebenaran kehidupan yang dilihat – dia jadi tidak betah untuk tidak tersenyum lebar.

Rabu, 15 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Bila Angin Tiada



Angin datang, anginlah datang. Kredit.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Waktu angin datang kita berasa gembira. Namun, kita tidak sekali untuk mengucap terima kasih pada angin yang sudi datang. Kemudiannya, bila angin menjadi tiada kita mula berasa marah. Kita mula menyumpah-nyumpah.

Itulah kita. Barang yang ada tidak dikenang jasa, dan barang yang tiada disalahkan barang itu semula.

Bila angin datang kita tidak menghargai, kita tidak mensyukuri. Kita biarkan angin lalu dan pergi. Kita hanya diam tanpa menoleh ke mana angin itu berlalu sunyi.

Adakah kita ini manusia yang sungguh tidak berbudi bahasa? Bukan sahaja pada manusia tapi juga pada angin yang memberi kepada kita.


Angin yang datang untuk memberi tidak pernah mengharap apa-apa. Tidak mati angin kerana manusia. Dan manusia itu pula tidak pernah memberi kepada angin. Akan tetapi, manusia itu akan mati jikalau tidak kerana angin.

Tiada rugi angin kerana kita. Sebaliknya pula terjadi kepada kita.

Oleh itu wahai kita – manusia-manusia – barang yang ada itu dikenanglah. Dipeluklah ia rapat-rapat, dan lepaskan ia sekiranya ia mahu pergi. Jangan ditahan-tahan. Barang yang sudah menjadi tiada itu jangan disesali. Jangan dilupa dan jangan dinista kerana ia tiada. Barang yang sudah tiada itu rindulah ia. Berharap moga pada lain masa barang itu kembali ada.

Angin tidak pernah menghukum. Kerana rindu manusia, ia muncul dengan pesan Tuhan. Ia tiada kerana manusia itu sudah lupa. Ia ada bila manusia itu kembali mengingat.

Sabtu, 11 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Pejam dan Celik


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


Tenang itu pada diri yang mengerti. Kredit.
Jika mahu khusyuk dan tenang diri, saya akan memejam mata. Namun, itu tidak lama, kerana saya akan kembali untuk berfikir akan perihal dunia tatkala saya memejam mata.

Bila saya kembali sedar, saya akan membuka mata – mencari kekuatan dan ketenangan yang hilang sewaktu pejaman mata, semula. Akan demikian, itu juga adalah sementara, kerana saya akan kembali terawang-awang dalam celah dua dunia.

Oleh demikian, saya melihat semula.

Dalam mencari tenang dan kekhusyukan, saya tidak boleh hanya bergantung kepada pejam dan celiknya mata. Saya perlu pergi lebih dalam lagi daripada itu – hanya mata.

Ia perlu mendakap kisah di mana fikiran itu asalnya datang untuk bertamu.
Saya perlu menenteramkan hati saya dahulu, saya perlu pastikan ia tidak lepas untuk mengingat daripada tujuannya sebelum pejam dan celik. Barulah, selepas itu, saya boleh dan akan menjadi diam dan tenang.

Tidak kira saya pejam, atau saya celik.

Rabu, 8 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Yang Lama dan Yang Baru


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Kebanyakan manusia suka memilih benda baru. Kerana bagi mereka benda yang baru itu lebih selesa daripada yang lama. Lebih indah, lebih menarik pada diri, lebih sesuai dengan masa. Benda yang lama, walaupun masih boleh diguna, masih baik masih selesa – tiada cacat dan cela – kerana benda yang baru, akan ditolak ke tepi. Tidak dipandang lagi. Diamlah ia di sudut sesuatu yang dikenali sebagai sampah.

Inilah adat dunia, adat manusia.

Kerana datang yang baru, yang lama akan dibuang. Yang baru itu pula akan dijulang tinggi-tinggi. Yang lama jadi hilang daripada ingatan.

Kadang-kala saya juga tidak terkecuali. Bila saya dalam lupa, bila saya hanya fikir gembira.

Oleh itu, saya cuba tembus kembali.

Saya cuba bersungguh-sungguh untuk tidak menjadi dan berlaku sebegitu lagi. Suatu yang lama, jika ia baik, jika ia penuh dengan erti, saya akan tetap cuba untuk terus mengguna. Sehingga ia benar-benar tidak lagi mampu memberi. Barulah saya akan menukar.

Malah, jika ia telah menabur banyak jasa, saya akan cuba untuk simpan sehingga ke mati – sebagai mengenang budi – walau benda itu tidak bernyawa. Sungguh, yang lama dan yang baru itu mengajar saya erti nan dua – menghargai dan mengingat. Jika saya fikir betul-betul, apakah dengan tidak melakukan sesuatu perkara itu kita akan merasai makna yang ada di sebaliknya?

Sebegitulah yang ada pada kisah lama dan baru.

Sungguh juga, ini juga, menyedarkan saya bahawa manusia itu sama seperti barang lama dan baru. Bila kita baru kita akan dikenang, kita akan dipuji. Bila kita sudah lama – yang perlu juga diganti baru seperti barang-barang – kita akan menjadi sebuah memori yang seimbas lalu.

Kita akan dibuang dan dilupa apabila datang yang baru.

Itu sewaktu saya ada. Bagaimana pula sekiranya saya sudah tiada.

Hilang begitu sahaja. Seperti tidak pernah wujud dalam kamus dunia. Namun, ingatan itu tetap ada pada Tuhan.

Perkara lama apakah mampu ditangkap dan dibekukan masanya? Kredit.

 

Khamis, 2 Februari 2012

ANTOLOGI UNTUK HATI - Pandang Ke Langit II


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Melihat pada langit sering membuatkan saya lebih berfikir dan lebih untuk merasa. Sama ada pada langit pagi atau petang, atau tatkala malam menyelubungi, yang sama disertai dengan bulan dan bintang, atau yang hanya bergelap semata-mata.

Langit yang berubah daripada cerah kepada mendung dan hujan kepada terang, acapkali turut membuat diri turut berubah sama.

Ya, kerana langit yang berubah, fikir dan perasaan saya juga berubah, sebagaimana langit yang berubah cerah menjadi mendung. Dan begitu juga apabila siang beransur-ansur menghilang dan malam pula mendatang perlahan, ia beransur-ansur juga mengalihkan duduk dan tenung saya.

Kisah langit - kisah manusia. Kredit.

Langit itu ibarat hati, ini yang saya fikir. Dan langit itu juga umpama kehidupan manusia.

Langit yang berubah suasana tatkala angin menghembus awan untuk bergerak dan bergumpal hitam, dan langit yang berubah kerana fitrah masa dan kehidupan yang perlu dipatuhi – matahari dan bulan perlu bersilih ganti – memang tidak jauh ubah seperti manusia, yang bertukar kerana sekitarnya, isi dan luar.

Saya lihat lagi, kadang-kala hati itu akan lemas dengan perubahan. Namun, lama-lama ia – hati itu – akan biasa, akan pandai berenang dalam genangan air itu. Sama juga dengan langit dan kehidupan di dadanya. Tatkala melangak ke langit membuatkan saya tertanya-tanya. Bukan tanya berkenaan langit tetapi mengenai manusia.

Apakah langit itu dilihat pula oleh insan-insan lain, dan dirasai sama seperti dirinya juga, sebahagian daripada kehidupannya?

Sebegitulah.